Isnin, 26 Disember 2011

Haramkan segera penjualan botol BPA

ARKIB : 16/03/2011

Haramkan segera penjualan botol BPA

PULAU PINANG 15 Mac - Kerajaan diminta menguatkuasakan serta-merta pengharaman penjualan botol susu polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA). Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, Kementerian Kesihatan tidak seharusnya memberi tempoh setahun lagi untuk melaksanakan pengharaman tersebut kerana penggunaannya boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon termasuk fungsi tubuh bayi dan kanak-kanak.Tegas beliau, penangguhan tersebut hanya menyebabkan lebih ramai bayi dan kanak-kanak terdedah dengan persekitaran yang tidak sihat."Bayi khususnya amat berisiko kerana jumlah toksin yang dihadam adalah besar berbanding berat badannya. Begitu juga organ-organ bayi yang sedang membesar akan lebih teruk terjejas berbanding orang dewasa sekiranya masih menggunakan bahan kimia industri ini.''Oleh itu, kami menggesa pihak kementerian supaya menguatkuasakan serta-merta tindakan pengharaman pengimportan dan penjualan botol susu tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini. Akhbar hari ini melaporkan kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penggunaan penjualan botol susu BPA mulai 1 Mac 2012. Tindakan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini masih tiada bukti saintifik menunjukkan botol susu tersebut selamat digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutama bayi dan kanak-kanak. Mengulas lanjut, menurut S.M. Mohamed, China merupakan negara pertama di Asia yang secara rasmi mengharamkan botol susu bayi yang mengandungi BPA pada 4 Mac lalu. Beliau berkata, Kementerian Kesihatan China telah merangka satu peraturan yang disiarkan di dalam laman web rasmi mereka untuk mendapatkan pandangan umum tetapi tidak menjelaskan bila peraturan itu akan dikuatkuasakan. Selain itu katanya, dua negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Perancis dan Denmark telah mengenakan tindakan tersebut ke atas pengeluaran botol susu terbabit dan telah melanjutkan larangan terhadap semua produk makanan untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah. Justeru, kata S.M. Mohamed, CAP menyeru pihak berkuasa supaya mengharamkan pemasarannya termasuk melabelkan BPA sebagai bahan berbahaya. Sementara itu, di KUALA LUMPUR, kerajaan digesa supaya menyegerakan pengharaman penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) kerana bimbang penggunaannya yang membahayakan kesihatan akibat sikap tidak peka pengguna. Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, sepatutnya usaha mengeluarkan produk tersebut dari pasaran perlu disegerakan tanpa perlu melakukan penangguhan."Tidak sepatutnya alasan untuk membuat persediaan menukar, membeli mesin dan memilih bahan mentah yang sesuai digunakan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan menghalang penjualan produk itu setahun lagi. "Seharusnya, pelbagai inisiatif lain perlu dirancang bagi mengatasi masalah tersebut sebelum pengumuman pengharaman penjualan botol susu jenis polikarbonat dilakukan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.Yusoff menambah, kerajaan seharusnya bertanggungjawab menghalang kebanjiran produk yang membahayakan pengguna dengan segera.Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sejak tiga tahun lalu pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengharamkan produk tersebut memasuki pasaran, namun ia menemui jalan buntu. Kata beliau, pengharaman botol susu jenis itu tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menghalang lambakan produk tersebut di pasaran. "Sehubungan itu, rundingan antara kerajaan, syarikat pengeluar botol susu jenis polikarbonat dan persatuan pengguna perlu diadakan bagi menangani kemasukan produk itu pasaran secara haram. "Lebih membimbangkan, produk alternatif bagi menggantikan jenis BPA akan dipalsukan bagi tujuan menipu pengguna," katanya. Justeru itu, kata Jacob, rundingan tersebut diharapkan dapat menangani pelbagai isu lain yang bakal timbul berikutan pengharaman botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA di pasaran dalam tempoh setahun ini.

Kesal botol polikarbonat masih dijual


ARKIB : 17/03/2011

Kesal botol polikarbonat masih dijual

KUALA LUMPUR 16 Mac - Orang ramai di ibu negara kesal dengan sikap sesetengah pasar raya yang masih menjual botol susu bayi jenis polikarbonat dan mengandungi Bisphenol A (BPA). Mereka juga mempersoalkan tentang tarikh pengharaman botol susu itu kerana ia sepatutnya berkuat kuasa serta-merta dan tidak perlu menunggu sehingga 1 Mac tahun depan. Seorang peniaga, Ahmad Abdul Aziz, 33, berkata, tindakan pihak yang masih menjual botol itu adalah seperti tidak endah dengan keselamatan bayi dan kanak-kanak. "Jangan fikirkan tentang keuntungan sahaja. Bila sudah diumum tidak selamat, janganlah jual lagi," katanya. Beliau mengulas mengenai pengharaman botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA yang boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon dan fungsi tubuh kanak-kanak. Seorang guru, Suhaimi Sapiee, 32, berkata, terdapat dua perkara yang membuatkan dia tidak berpuas hati dalam perkara itu. Pertama, katanya, kerajaan seharusnya menghentikan serta-merta penjualan botol susu itu dan kedua, kerajaan perlu memberi penjelasan mengapa barangan itu hanya diharamkan pada tahun depan. Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Khairunnisa Azmar,23, berkata, para peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dalam hal berkenaan. "Peniaga perlu mementingkan aspek keselamatan pengguna terlebih dahulu berbanding mengejar keuntungan. "Jika sejenis botol susu diharamkan, peniaga tidak perlu risau kerana kita mempunyai pelbagai botol susu lain yang jauh lebih selamat," katanya.

Bisphenol A (BPA)


ARKIB : 22/11/2009
Bisphenol A (BPA)
Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my



PETUA yang juga merujuk kepada satu bentuk nasihat, petunjuk, atau panduan yang berguna untuk diamalkan individu lain telah lama menjadi kaedah tradisional mewariskan ilmu serta pengalaman dari orang tua-tua kepada generasi berikutnya. Di zaman moden yang serba canggih kini, petua-petua lama telah banyak dilupakan. Banyak ilmu atau petua lama yang hilang berikutan keengganan generasi muda mempelajari mahupun mengamalkannya.Namun, dalam suasana teknologi moden sedia ada, terdapat pihak yang mula menyebarkan bermacam nasihat dan petua melalui e-mel berangkai. Disebabkan kesamaran individu yang ‘menurunkan’ dan sumber maklumat berkenaan, petua yang disampaikan sering menimbulkan keraguan dan tanda tanya.Adakah petua itu benar? Bolehkah ia diamalkan? Apa bukti ilmu yang diajar itu selamat dan berkesan?Berasas Menyampaikan ilmu melalui internet bukan sahaja lebih pantas dan mudah, ia juga menjimatkan kos dan mengelakkan pembaziran kertas. Namun, masalah utama penyampaian melalui internet adalah kesahihan maklumat yang diterima di samping kesukaran membetulkan penyebaran maklumat yang salah. Untuk itu, beberapa nasihat berangkai yang disebarkan akan dirungkai kebenarannya melalui teori dan kajian semasa yang sama ada menyokong atau menyangkal dakwaan tersebut. Petua pertama yang ingin dirungkai adalah perkembangan fizikal dan mental anak yang dikaitkan dengan keadaan ibu ketika mengandung. Dari segi petua orang tua-tua, ibu mengandung dilarang melihat orang yang menghidap penyakit tertentu (kecacatan fizikal), terlalu beremosi dan perlu mendapat apa diidamkan anak dalam kandungan. Secara saintifiknya, tiada bukti menunjukkan apa yang dilihat ibu akan berlaku kepada anaknya (kecacatan atau penyakit). Namun, begitu banyak kajian baru menunjukkan emosi ibu memberi kesan besar kepada perkembangan emosi anak. Ini menyokong petua lama untuk menjaga emosi ibu dan juga memenuhi permintaan apa yang diidamkan (kebiasaannya makanan tertentu). Dari segi fizikal, tahap kesihatan badan ibu sememangnya telah lama diperakui akan memberi kesan terus kepada tahap kesihatan anak kelak. Petua yang paling kerap disampaikan, melalui mulut, internet mahupun bahan bercetak pula adalah berkaitan susu ibu. Disokong semua kajian global, susu ibu bukan sahaja lebih baik dari susu lembu atau soya, ia juga penting untuk perkembangan fizikal dan mental anak, malahan dapat merapatkan hubungan kedua-duanya. Susu ibu juga memberi perlindungan dari penyakit melalui imunisasi pasif apabila antibodi ibu dipindah kepada anak. Walaupun semakin ramai ibu bapa kini memilih penyusuan badan, masih ramai lagi yang memilih untuk memberi susu lembu atau susu soya kepada anak. Ini mengundang bahaya bukan sahaja dari sebarang bahan tambahan (terutamanya bahan kimia) dalam susu berkenaan, malahan dari botol plastik yang digunakan. Bisphenol A (BPA) yang digunakan untuk menghasilkan botol susu bukan sahaja ‘meniru’ fungsi hormon badan malahan meningkatkan risiko obesiti, masalah seksualiti dan masalah kesihatan, terutamanya jika anak didedahkan pada peringkat awal hidup, dan dalam jangka masa yang panjang. Belum ada kajian yang membuktikan kaitan penuh penggunaan produk plastik, sama ada untuk bayi atau golongan dewasa, dengan penyakit-penyakit tertentu. Namun, nasihat yang disebarkan supaya mengelak atau mengurangkan penggunaan peralatan plastik untuk makan atau minum tidak boleh diabaikan sepenuhnya. Kajian sedia ada mungkin masih gagal mengesan sebarang kaitan tetapi ramai pakar sudah membangkitkan kebarangkalian bahan di dalam pinggan, cawan dan sudu plastik yang digunakan mengancam kesihatan. Nasihat utama buat masa ini adalah untuk mengelakkan penggunaan peralatan plastik dengan makanan atau minuman panas. Ini bagi mengelakkan bahan kimia dalam plastik berkenaan (seperti BPA) menyerap masuk ke dalam makanan atau minuman tersebut.
Berisiko
Kanak-kanak merupakan golongan paling berisiko menghadapi masalah kesihatan akibat pendedahan terhadap bahan kimia dalam makanan diproses mahupun radiasi dari pelbagai alat digital yang digunakan di dalam rumah. Seperti BPA, kajian semasa belum dapat menunjukkan kaitan penuh jumlah bahan kimia dalam makanan dan juga radiasi alat digital dengan masalah kesihatan. Namun, pakar-pakar kesihatan menasihatkan ibu bapa supaya mengurangkan jumlah pendedahan kepada anak-anak kerana walaupun jumlah bahan kimia atau radiasi rendah, tempoh pendedahan yang lebih lama berbanding individu dewasa mungkin memberi kesan buruk kepada fizikal dan mental anak kelak. Petua ini amat wajar diikuti ibu bapa dan golongan dewasa memandangkan terlalu banyak produk makanan diproses dijual di pasaran kini. Apa sahaja makanan yang ditambah bahan kimia untuk meningkatkan rasa, warna mahupun sebagai pengawet dikira sebagai makanan diproses. Ini termasuk produk-produk siap dibungkus untuk memudahkan dimasak. Tambahan pula, ibu bapa juga mula memberi alat digital seperti telefon bimbit, permainan video dan pemain muzik MP3 yang mendedahkan anak kepada kesan gelombang radiasi, sedikit atau banyak. Kebelakangan ini juga, terdapat peningkatan mendadak maklumat berangkai yang membabitkan pengambilan ubat, produk kesihatan dan suplemen tertentu melalui internet. Sememangnya terdapat produk yang boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan tetapi perlu difahami bahawa tiada produk yang 100 peratus dapat mencegah penyakit (seperti didakwa sesetengah laman web dan e-mel). Seperti juga senaman, menjaga pemakanan, gaya hidup dan mengenal faktor risiko; ubat, produk kesihatan dan suplemen cuma menjadi antara langkah untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit tertentu. Pemeriksaan berkala sebenarnya lebih atau sama penting bagi membantu mengesan sebarang penyakit dari peringkat awal. Kebanyakan penyakit paling mudah dirawat, dikawal atau mungkin dipulihkan jika dikesan pada peringkat awal.
Kronik
Antara maklumat paling menarik disebarkan di internet kini adalah mengenai tahap pH (asid atau alkali) badan yang didakwa menentukan sel barah hidup atau mati. Tahap pH dalaman badan, terutamanya darah, yang sedikit beralkali didakwa menghalang pertumbuhan dan juga membunuh sel barah, membunuh kuman serta merawat penyakit tertentu. Dilihat kembali kepada perubatan tradisional, banyak ramuan untuk merawat penyakit berasa pahit atau kelat akibat tahap pH yang beralkali. Kuman pula dilihat lebih suka hidup dalam suasana lebih berasid (seperti pada kulit manusia dengan pH sekitar 5.5). Secara umumnya ini mungkin ada kebenarannya. Namun, belum ada bukti saintifik kukuh yang dapat menyokong dakwaan ini. Asas utama mengekalkan kesihatan adalah keseimbangan. Sesetengah sistem badan memerlukan suasana berasid, yang lain pula beralkali untuk berfungsi dengan baik. Jika keseimbangan dijaga, sistem imuniti badan dapat melindungi diri sendiri dari kebanyakan penyakit dan juga menghalang pembentuk barah dari peringkat awal. Antara teori utama berlakunya barah juga menunjukkan kaitan dengan masalah sistem imuniti yang lemah sehinggakan gagal membunuh sel barah dari peringkat awal - sehingga membentuk ketumbuhan besar, yang jauh lebih sukar untuk dikawal. Jika dapat dikawal dan dirawat dari peringkat awal, kebanyakan penyakit manusia tidak akan berkembang ke tahap yang lebih teruk. Sebagai contoh, strok atau angin ahmar. Sebilangan pakar saraf mendakwa sebahagian besar kesan serangan strok terhadap seorang pesakit dapat dipulihkan jika mangsa dikesan dalam tiga jam pertama. Seperti barah, strok yang dikesan awal membezakan keadaan pesakit - mampu pulih, atau lumpuh selamanya. Antara tiga cara mudah mengesan mangsa serangan strok yang disebarkan melalui e-mel berangkai adalah kesukaran untuk senyum, bercakap dengan lancar atau sukar mengangkat kedua belah tangan. Dakwaan terbaru, lidah juga menjadi penanda serangan strok. Jika seseorang itu sukar menjelirkan lidahnya, lidah senget ke tepi ataupun bengkok, dia mungkin telah mendapat serangan strok. Bagaimanapun, perbincangan dengan beberapa pakar neurologi tempatan menyangkal dakwaan ini kerana belum ada bukti yang mengaitkan kesan strok kepada fungsi lidah. Namun, tidak disangkal sebarang perubahan dramatik dalam fungsi mental atau fizikal badan seseorang mungkin menandakan perubahan atau kerosakan besar pada otak. Seperti yang diwar-warkan juga, antara punca utama kerosakan kepada otak dan juga badan adalah kurang rehat serta tekanan (stres). Tidak cukup rehat, tidur serta stres boleh membawa kepada penyakit tertentu dan telah dibuktikan melalui beberapa kajian akan meningkatkan tekanan darah, tekanan emosi, diabetes akut, kerosakan fungsi organ, malah boleh membawa maut.
Makanan
Petua makan! Nasihat mengenai pemakanan mungkin antara paling penting memandangkan kita makan dan minum setiap hari. Nasihat mengenai pengambilan buah ketika perut kosong dan juga meminum air kosong selepas bangun tidur amat baik untuk diamalkan. Buah, juga seperti sayur, kaya dengan serat dan dapat membantu membersihkan sistem penghadaman. Serat buah memudahkannya bergerak lancar melalui usus, sambil mencuci dan membuang toksin. Namun, memakan buah selepas mengambil makanan berat tidak sesuai kerana serat buah akan bercampur dengan makanan lain dan menyukarkan pergerakannya melalui usus. Ini menyebabkan makanan mereput sebelum dapat diserap sementara serat yang ‘tersangkut’ menyebabkan perut berangin. Tindakan banyak berjalan atau melonggarkan tali pinggang selepas makan juga tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan usus yang penuh dengan makanan ‘terjatuh’ atau beralih kedudukannya. Beri sedikit masa untuk makanan melalui perut dan usus sebelum banyak bergerak ataupun melonggarkan tali pinggang. Rasa mengantuk selepas makan juga sebenarnya normal memandangkan darah dari seluruh badan (termasuk kepala) akan bertumpu ke abdomen untuk proses penghadaman dan penyerapan nutrien. Cara makan juga sebenarnya memainkan peranan. Penggunaan tangan ada kelebihannya tersendiri! Petua menjilat hujung jari selepas makan (bagi yang menggunakan tangan) mungkin berkaitan dengan kehadiran enzim-enzim tertentu yang mampu mencerna bahan genetik (DNA dan RNA). Mengikut teori penyerapan DNA secara spontan, terdapat kebarangkalian kecil DNA asing menyerang ke dalam sel badan manusia. Pencernaan bahan genetik (dari sel haiwan dan tumbuhan) mungkin dapat menghalang penyerapan unsur genetik asing ke dalam sel badan semasa penghadaman - yang mungkin boleh membawa kepada pembentukan barah dan kerosakan sel. Dari segi jumlah makanan juga, kita tidak sepatutnya mengambil terlalu banyak makanan atau nutrien tertentu. Makanan atau nutrien yang baik untuk badan juga boleh menyebabkan keracunan jika diambil terlalu banyak.  Ini terbukti dengan kajian keracunan yang dicatatkan hasil pengambilan terlalu banyak vitamin A dan C. Terlalu banyak serat pula boleh membawa kepada masalah ‘angin’, sementara meminum terlalu banyak air kosong pula mampu menjejaskan keseimbangan osmosis dan fungsi sistem dalaman badan. Akhir sekali, apa yang dimakan sepatutnya tidak ‘diperam’ terlalu lama. Petua supaya tidak menahan kencing mahupun membuang air besar penting untuk membuang toksin dari dalam badan. Menahan kencing bukan sahaja meningkatkan penyerapan toksin dari air kencing, malahan meningkatkan risiko pembentukan batu karang di dalam buah pinggang dan pundi kencing. Kita juga disarankan membuang air besar sekurang-kurangnya dua kali setiap hari, pagi dan malam. Jika ditahan terlalu lama, usus besar yang berfungsi menyerap kembali air dari dalam najis akan menyerap bersama toksin yang larut di dalam air. Pengumpulan toksin bukan sahaja menjejaskan tisu usus, malahan mungkin dikembalikan ke dalam aliran darah, ke seluruh badan. Melihatkan begitu banyak nasihat yang dikongsi melalui internet, kita perlu memastikan yang mana benar, yang mana palsu dan yang mana cuma jenaka semata-mata. Lebih-lebih lagi jika panduan samar yang melibatkan pemakanan harian dan juga kesihatan anak-anak kecil.

Nota Tambahan: Terdapat pendapat saintis mengatakan bayi lelaki yang terdedah kepada BPA akan menjadi lelaki lembut apabila dewasa !!! Jangan salahkan lelaki menjadi lelaki lembut tetapi salahkan diri anda yang memberi anak anda minum dalam botol susu plastik !!!

Botol susu polikarbonat. Tak perlu haramkan serta-merta


ARKIB UTUSAN  : 30/03/2011

Botol susu polikarbonat: Tak perlu haramkan serta-merta?
30/03/2011 6:52pm

KUALA LUMPUR 30 Mac – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengharaman penggunaan botol susu bayi polikarbonat mengandungi Bisphenol A (BPA) yang didakwa berbahaya kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak, adalah tidak perlu dilakukan dengan serta-merta. "Walaupun mendapat gesaan pihak tertentu namun sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh dan terdapat ketidakpastian dalam kajian yang dijalankan oleh badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tempoh masa peralihan selama setahun diberi kepada semua pihak yang terlibat termasuk pengguna, manakala pihak industri boleh menarik balik produk terbabit di pasaran serta perlu membuat persediaan bagi mematuhi keperluan pengharaman berkuat kuasa 1 Mac tahun depan, katanya. Tiong Lai berkata, Kementerian Kesihatan telah memantau perkembangan isu ini sejak 2001 dan rundingan secara menyeluruh juga telah diadakan di antara semua pihak bagi membuat keputusan yang terbaik untuk melindungi kesihatan kumpulan berisiko tinggi iaitu bayi dan kanak-kanak. Botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi ”Bisphenol A” (BPA) yang direndam dalam air panas melebihi 10 minit akan mempercepatkan proses pindahan BPA kepada susu yang boleh memberi kesan terhadap sistem saraf bayi. – Bernama

Selamatkah botol susu anak anda?


ARKIB : 03/04/2011
Selamatkah botol susu anak anda?
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my



TIGA tahun lalu, Program Toksikologi Nasional Amerika Syarikat mengeluarkan laporan bahawa bahan kimia dikenali sebagai bisphenol A (BPA) mungkin menyebabkan masalah berkaitan hormon, termasuk baligh lebih awal di kalangan kanak-kanak dan ketumbuhan barah. Kandungan bahan kimia BPA lazimnya ditemui pada botol susu bayi. Bertambah buruk lagi apabila botol air yang digunakan untuk minum ketika hamil juga mengandungi kimia ini. Terdapat kebimbangan pendedahan terhadap BPA boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan sama ada dari segi neurologi atau tingkah-laku. Bayi turut mengalami risiko yang sama jika kajian ini didapati benar. Pertubuhan seperti Majlis Kimia Amerika mempertikaikan tidak ada bukti kuat bisphenol A memberi kesan buruk kepada manusia.  Ketika ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak bercadang mengharamkan BPA dalam plastik. Begitupun, Kanada telah mengambil langkah awal dengan melabelkan kimia itu berbahaya. Namun di sebalik pendedahan tentang BPA, ibu dan bapa masih mempunyai pilihan untuk memilih menggunakan cawan atau botol susu untuk bayi ada. Selain itu, terdapat botol susu bebas BPA di pasaran dan botol susu kaca sebagai alternatif. Jalan yang lebih selamat untuk mengelak kontroversi berkaitan keselamatan penggunaan bekas plastik adalah dengan mengelak daripada menggunakannya. Bukan saja keselamatan anak terjamin bahkan anda sendiri tidak perlu berasa risau. Isu BPA bukan baru tetapi masih ada alternatif lain bagi mereka yang mahu mengekalkan botol lama. Seorang pakar perubatan sebuah hospital persendirian di Lembah Klang memberitahu, botol susu polikarbonat telah sejak dahulu lagi. Sebagai seorang doktor, beliau sendiri belum pernah menerima atau merawat kes bayi atau kanak-kanak akibat polikarbonat. “Dalam kehidupan seharian, kemungkinan botol-botol minuman palikarbonat yang kita gunakan turut terdedah dengan bahan BPA atau Bisphenol A. ‘‘Justeru itu, ia bukan satu persoalan yang baru tetapi semua pihak perlu melakukan kajian terperinci agar botol susu yang digunakan tidak memudaratkan kesihatan ‘‘Adakah satu tahap nanti, ibu bapa perlu menggunakan botol kaca?,” ujar doktor tersebut yang mengutarakan pendapat ringkas. Menurut Pegawai Perubatan Hospital Pantai Ampang, Dr. Hanafiah Bashirun, BPA adalah bahan kimia industri yang digunakan untuk mmbuat botol susu bayi polikarbonat agar botol tersebut keras dan lutsinar.  “Baru-baru ini kajian Universiti Malaya mendapati percampuran bahan BPA dengan kandungan botol susu berkenaan pada suhu tertentu memberi kesan kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak. ‘‘BPA ini pula akan menyebabkan gangguan pada sistem hormon badan bayi sekali gus menjejaskan sistem tubuh badan bayi. Tetapi tiada sebarang kajian saintifik untuk mengesahkan fakta tersebut,” katanya. Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa yang mampu dinasihatkan agar memilih botol susu bebas BPA, contohnya polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA). Beliau memberitahu, botol susu yang mengandungi BPA biasanya bersifat keras dan lutsinar. Selain itu, perhatikan label kod identifikasi plastik pada bawah botol susu. Botol susu dengan BPA akan dilabel dengan ‘nombor 7', ‘nombor 7 dan PC’ atau ‘nombor 7 dan other’. Bagi ibu bapa yang sedang menggunakan botol susu mengandungi BPA, adalah dinasihatkan agar menukar botol tersebut kepada botol ‘bebas BPA’. Jika masih ingin menggunakan botol lama, Dr. Hanafiah menasihatkan agar mereka melakukan langkah berikut :- 

ü  Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.
ü  Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima hingga 10 minit.
ü  Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
ü  Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelak permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
ü  Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.
ü  Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan. 

Katanya, kesan penggunaan botol susu yang mengandungi BPA adalah bersifat jangka panjang.“Ini disebabkan kesan sampingan pada sistem hormon. Adalah agak sukar untuk mengesannya dalam jangka masa pendek kerana kesannya masih tidak kelihatan. Perlu diingat, tidak ada situasi kecemasan yang timbul disebabkan kesan BPA tersebut,” ujar beliau. Kebanyakan ibu sibuk dengan kerjaya dan penggunaan susu botol adalah sebagai alternatif bagi mereka yang ingin memberi susu ibu. Seperti yang kita sedia maklum, susu yang terbaik adalah susu ibu. Berhubung dengan tumbesaran bayi, tiada sebarang kesan pada tumbesaran bagi kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas yang masih menyusu menggunakan susu botol. Ini kerana zat nutrisi yang terdapat pada susu tersebut juga penting. Bagaimanapun pada usia tersebut, digalakkan mereka di ajar menggunakan cawan atau botol biasa terutama jika mula memasuki zaman persekolahan. “ Biasanya pihak hospital tidak akan memberitahu atau mencadangkan jenis-jenis botol susu tertentu yang harus digunakan. Ini kerana kebanyakan hospital menggalakkan penyusuan susu badan. Akan tetapi, pada masa ini, adalah amat digalakkan penggunaan susu botol yang mengandungi BPA dielakkan,” katanya. Kenal pasti botol susu jenis polikarbonat
  • Bersifat keras dan lutsinar yang mana ia mengandungi BPA.
  • Botol susu tersebut juga boleh dikenali melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.
  • Kod identifikasinya adalah nombor 7, nombor 7 dan PC, nombor 7 dan ‘other’.
  • Sementara itu, botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau bebas BPA.