ARKIB : 17/03/2011
Kesal botol polikarbonat masih dijual
KUALA LUMPUR 16 Mac - Orang ramai di ibu negara kesal dengan sikap sesetengah pasar raya yang masih menjual botol susu bayi jenis polikarbonat dan mengandungi Bisphenol A (BPA). Mereka juga mempersoalkan tentang tarikh pengharaman botol susu itu kerana ia sepatutnya berkuat kuasa serta-merta dan tidak perlu menunggu sehingga 1 Mac tahun depan. Seorang peniaga, Ahmad Abdul Aziz, 33, berkata, tindakan pihak yang masih menjual botol itu adalah seperti tidak endah dengan keselamatan bayi dan kanak-kanak. "Jangan fikirkan tentang keuntungan sahaja. Bila sudah diumum tidak selamat, janganlah jual lagi," katanya. Beliau mengulas mengenai pengharaman botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA yang boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon dan fungsi tubuh kanak-kanak. Seorang guru, Suhaimi Sapiee, 32, berkata, terdapat dua perkara yang membuatkan dia tidak berpuas hati dalam perkara itu. Pertama, katanya, kerajaan seharusnya menghentikan serta-merta penjualan botol susu itu dan kedua, kerajaan perlu memberi penjelasan mengapa barangan itu hanya diharamkan pada tahun depan. Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Khairunnisa Azmar,23, berkata, para peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dalam hal berkenaan. "Peniaga perlu mementingkan aspek keselamatan pengguna terlebih dahulu berbanding mengejar keuntungan. "Jika sejenis botol susu diharamkan, peniaga tidak perlu risau kerana kita mempunyai pelbagai botol susu lain yang jauh lebih selamat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.