Khamis, 23 Februari 2012

Haramkan segera penjualan botol BPA


ARKIB : 16/03/2011

Haramkan segera penjualan botol BPA

PULAU PINANG 15 Mac - Kerajaan diminta menguatkuasakan serta-merta pengharaman penjualan botol susu polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA). Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, Kementerian Kesihatan tidak seharusnya memberi tempoh setahun lagi untuk melaksanakan pengharaman tersebut kerana penggunaannya boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon termasuk fungsi tubuh bayi dan kanak-kanak.Tegas beliau, penangguhan tersebut hanya menyebabkan lebih ramai bayi dan kanak-kanak terdedah dengan persekitaran yang tidak sihat."Bayi khususnya amat berisiko kerana jumlah toksin yang dihadam adalah besar berbanding berat badannya. Begitu juga organ-organ bayi yang sedang membesar akan lebih teruk terjejas berbanding orang dewasa sekiranya masih menggunakan bahan kimia industri ini.''Oleh itu, kami menggesa pihak kementerian supaya menguatkuasakan serta-merta tindakan pengharaman pengimportan dan penjualan botol susu tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini. Akhbar hari ini melaporkan kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penggunaan penjualan botol susu BPA mulai 1 Mac 2012. Tindakan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini masih tiada bukti saintifik menunjukkan botol susu tersebut selamat digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutama bayi dan kanak-kanak. Mengulas lanjut, menurut S.M. Mohamed, China merupakan negara pertama di Asia yang secara rasmi mengharamkan botol susu bayi yang mengandungi BPA pada 4 Mac lalu. Beliau berkata, Kementerian Kesihatan China telah merangka satu peraturan yang disiarkan di dalam laman web rasmi mereka untuk mendapatkan pandangan umum tetapi tidak menjelaskan bila peraturan itu akan dikuatkuasakan. Selain itu katanya, dua negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Perancis dan Denmark telah mengenakan tindakan tersebut ke atas pengeluaran botol susu terbabit dan telah melanjutkan larangan terhadap semua produk makanan untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah. Justeru, kata S.M. Mohamed, CAP menyeru pihak berkuasa supaya mengharamkan pemasarannya termasuk melabelkan BPA sebagai bahan berbahaya. Sementara itu, di KUALA LUMPUR, kerajaan digesa supaya menyegerakan pengharaman penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) kerana bimbang penggunaannya yang membahayakan kesihatan akibat sikap tidak peka pengguna. Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, sepatutnya usaha mengeluarkan produk tersebut dari pasaran perlu disegerakan tanpa perlu melakukan penangguhan."Tidak sepatutnya alasan untuk membuat persediaan menukar, membeli mesin dan memilih bahan mentah yang sesuai digunakan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan menghalang penjualan produk itu setahun lagi. "Seharusnya, pelbagai inisiatif lain perlu dirancang bagi mengatasi masalah tersebut sebelum pengumuman pengharaman penjualan botol susu jenis polikarbonat dilakukan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.Yusoff menambah, kerajaan seharusnya bertanggungjawab menghalang kebanjiran produk yang membahayakan pengguna dengan segera.Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sejak tiga tahun lalu pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengharamkan produk tersebut memasuki pasaran, namun ia menemui jalan buntu. Kata beliau, pengharaman botol susu jenis itu tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menghalang lambakan produk tersebut di pasaran. "Sehubungan itu, rundingan antara kerajaan, syarikat pengeluar botol susu jenis polikarbonat dan persatuan pengguna perlu diadakan bagi menangani kemasukan produk itu pasaran secara haram. "Lebih membimbangkan, produk alternatif bagi menggantikan jenis BPA akan dipalsukan bagi tujuan menipu pengguna," katanya. Justeru itu, kata Jacob, rundingan tersebut diharapkan dapat menangani pelbagai isu lain yang bakal timbul berikutan pengharaman botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA di pasaran dalam tempoh setahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.