Sabtu, 28 Januari 2012

Siasat segera kes kematian Asmawi


ARKIB : 10/10/2008
Siasat segera kes kematian Asmawi

Oleh NORSHARUDDIN SAPIAN
LUMUT 9 Okt. - Kementerian Kesihatan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kakitangannya termasuk doktor pakar yang didapati cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pesakit lelaki berumur 21 tahun di Hospital Taiping, dekat sini, Selasa lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, siasatan rapi akan dijalankan bagi memastikan punca sebenar kematian pesakit berkenaan.
''Saya tidak akan bertolak ansur dengan kejadian itu dan meminta kes berkenaan disiasat dengan segera. Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Ahmad Razin (Ahmad Maher) telah diminta menyegerakan siasatan.
''Kita akan lihat sama ada wujud sebarang kecuaian atau tidak di kalangan kakitangan yang menjadi punca kepada kes kematian berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat dan meninjau kes demam denggi di Hospital Seri Manjung (HSM) dekat sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datuk Kong Cho Ha; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Zambry Abd. Kadir; Ahmad Razin dan Pengarah HSM, Dr. Zahari Atan.
Semalam, media melaporkan, seorang bapa mendakwa kecuaian pihak Hospital Taiping (HT) Selasa lalu, telah menyebabkan kematian anak lelakinya berusia 21 tahun di hospital berkenaan.
Abd. Aziz Abd. Rasid, 58, seorang nelayan mendakwa anaknya, Asmawi meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang kerana disyaki menghidap batuk kering yang sebelum itu disahkan menghadapi masalah apendiks oleh pegawai perubatan hospital.
Berikutan itu, mangsa yang mengadu sakit perut dan muntah-muntah kemudiannya menjalani pembedahan apendiks sejurus dikejarkan ke hospital pada malam hari raya pertama lalu kira-kira pukul 11 malam.
Bagaimanapun, pembedahan itu bukan sahaja tidak membuang apendiks berkenaan bahkan gagal mengesan punca sebenar penyakit yang dihidapi mangsa.
Pihak hospital juga dikatakan menjalankan pembedahan di sebelah kiri perut mangsa sedangkan ruang apendiks berada di bahagian kanan perut. Berikutan itu, mangsa mengalami lemah badan dan tidak sedarkan diri tiga hari kemudian.
Setelah tujuh hari terlantar di HT, anak kedua daripada empat beradik itu akhirnya meninggal dunia Selasa lalu dan doktor bertugas memaklumkan penyakit sebenar mangsa adalah batuk kering dan bukannya apendiks.
Tiong Lai berkata, sebagai seorang kakitangan yang professional, mereka sepatutnya menjalankan tanggungjawab dengan baik dan sempurna.
''Saya sudah banyak kali mendengar masalah (kecuaian) itu dan meminta mereka supaya berhati-hati serta teliti semasa menjalankan tugas.
''Sekiranya terbukti ada unsur cuai, mereka akan dikenakan tindakan tegas," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.