Bahaya
polystyrene
ANTARA isu kesihatan yang hangat diperkatakan di Jepun akhir-akhir
ini ialah tentang bahaya yang dihadapi oleh para pengguna yang memakan makanan
di dalam bekas polystyrene. Dalam kehidupan moden hari ini polystrene digunakan
dengan meluas sama ada sebagai bekas makanan segera (terutamanya mi segera)
atau bekas makanan bungkus. Pasar-pasar raya juga menyediakan polystyrene
sebagai pembungkus makanan. Adalah dipercayai polysytyrene mengandungi bahan
toksik yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
Pegawai-pegawai kesihatan Jepun mengumumkan bahawa toksik
polystyrene boleh mengganggu fungsi-fungsi reproduksi ke atas manusia dan
haiwan. Bahan beracun tersebut, menurut pegawai Institut Kebangsaan Sains
Kesihatan, yang dikelompokkan dalam istilah environmental hormones boleh
mencemar makanan melalui proses penyerapan. Dengan ayat yang lain, sungguhpun
polystyrene itu kebiasaannya berwarna putih dan kelihatan begitu bersih tetapi
bahan toksiknya boleh menyerap ke dalam makanan yang tersimpan di dalamnya.
Pencemaran ke atas makanan boleh berlaku kerana bahan-bahan yang
digunakan untuk membuat polystyrene itu sendiri diragui keselamatannya. Bahan
kimia yang digunakan dikenali sebagai 'styrene dimer' dan 'styrene trimer'.
'Styrene' ialah bahan tidak berwarna serta cecair toksik yang digunakan untuk
membuat plastik dan bahan daripada getah. Bahan-bahan kimia tersebut dikenali
juga sebagai 'phenylethylene' atau 'vinyl benzene'.
Penemuan bahaya pada bekas makanan polystyrene adalah hasil ujian
makmal Institut Kebangsaan Sains Kesihatan. Menurut ujian tersebut yang
didasarkan kepada dua puluh lima jenis polystyrene, setiap gram polystyrene
mengandungi bahan bahaya polymer pada kadar hitung panjang 9,509 mikrogram, dan
catatan paling tinggi pada kadar 21,430 mikrogram (satu mikrogram bersamaan
satu per juta gram).
Kajian ke atas makanan berlemak yang disimpan dalam bekas
polystyrene juga telah dikaji berkali-kali, bagi mengesan penyerapan bahan
toksiknya. Ujian tersebut telah mendapati tidak kurang dari 43.9 mikrogram
'styrene trimer' larut dalam satu sentimeter padu bahan berkenaan. Bagaimanapun
ujian tidak atau belum menemukan kesan sampingan terhadap air yang diletakkan
dalam polystyrene yang telah dipanaskan hingga 60C.
Pada 13 Mei 1998 satu persidangan ''Food Hygienic Society of
Japan'' dilangsungkan di Tokyo. Dalam persidangan ini dapatan-dapatan dari
kajian Institut Kebangsaan Sains Kesihatan dan badan-badan lain yang prihatin
akan kebersihan makanan dan kesihatan pengguna dibentangkan.
Persidangan tahunan itu penting sebagai medan para penyelidik
mengemukakan dapatan masing-masing. Dalam persidangan tahun lalu umpamanya,
pasukan penyelidik 'environmental agency' mengenal pasti 67 'environmental
hormones' yang boleh dianggap mengganggu kesihatan. Antaranya ialah yang
disebut sebagai 'bisphenol-A' yang boleh mengancam kesuburan manusia.
Dalam zaman moden ini ciptaan-ciptaan yang bersifat gunaan telah
dihasilkan dengan cepat dan meluas, tidak disertai kajian akan kesan-kesan
sampingan yang boleh mengancam kesihatan para pengguna dan alam sekitar.
Setelah bahan-bahan tersebut dihasilkan dan digunakan dengan meluas barulah
badan-badan penyelidikan (dari pihak swasta, kerajaan atau persatuan-persatuan
pengguna) menjalankan siri ujian bagi memastikan kesannya terhadap manusia dan
alam sekitar.
Banyak daripada dapatan ujian menunjukkan betapa bahan-bahan yang
telah digunakan dengan meluas itu sebenarnya mengancam kesihatan dan alam
sekitar, umpamanya bahan mengisi makanan yang disebut polystyrene itu.
Bagaimanapun untuk menyekat penggunaan bahan bahaya tersebut dari berada di
pasaran bukanlah suatu proses yang dapat dijalankan dengan segera. Keprihatinan
para penyelidik dan pendukung isu kesihatan selalu diperlambat-lambatkan oleh
peraturan atau undang-undang, serta birokrasi yang kurang berkesan. Akhirnya,
walau pun dapatan ujian telah menunjukkan bahaya polystyrene umpamanya, bahan
tersebut masih digunakan dengan meluas.
Polystyrene juga digunakan dengan
meluas di negara-negara lain, termasuk di negara sedang membangun. Di
negara-negara beriklim tropika juga para peniaga nampaknya lebih mudah mengisi
nasi dan lauk ke dalam bekas polystyrene berbanding dibungkus dengan daun
pisang. Bahan ini digunakan seolah-olah tanpa suatu kesedaran tentang bahaya
sampingannya.
Jika semua pihak prihatin terhadap kesihatan manusia dan
kebersihan alam sekitar tentulah dapatan para penyelidik dihargai serta
disusuli dengan langkah-langkah yang wajar dan praktis. Tidak ada pihak yang
mengambil sikap tunggu dan lihat, dengan berpendapat: selagi belum ada ciptaan
baru yang selamat, gunakan terus bahan yang ada ini walaupun bahaya.
Keselamatan serta kesihatan pengguna merupakan tanggungjawab semua
pihak, terutamanya pengeluar bahan-bahan ciptaan baru yang mungkin mengandungi
sesuatu yang 'hormone-disrupting' seperti polystyrene. Jika dapatan para
penyelidik melalui ujian makmal telah menemukan bahaya pada bahan ini,
mengapakah kita tidak segera memberhentikannya sebagai bekas menyimpan makanan?
* Anwar Ridhwan kini bertugas sebagai Profesor Pelawat
Pengajian Malaysia di Tokyo University of Foreign Studies, Jepun.
ANWAR RIDHWAN
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.