Rabu, 21 Disember 2011

Aspirin penyembuh barah prostat


ARKIB Utusan Malaysia : 28/10/2000

Aspirin penyembuh barah prostat

Satu kajian baru oleh para doktor di Jabatan Biologi Prostat di Kolej Imperial dan Hospital Hammersmith, London menunjukkan ubat itu mungkin boleh menahan atau melambatkan enzim cox-2 berkembang pada ketumbuhan yang sedang tumbuh. Dalam laporan Jurnal Urologi British, Dr. Paul Abel dan rakan-rakannya percaya ujian makmal terhadap 112 contoh tisu prostat yang diserang barah menunjukkan pertambahan enzim cox-2 dalam tisu barah. Ubat-ubat mengurangkan keradangan seperti aspirin yang ditemui sejak 100 tahun dahulu sebagai ubat penahan sakit dapat menahan tindakan enzim itu. Aspirin mungkin boleh dijadikan ubat yang sesuai tetapi kajian belum dipastikan lagi dan diragui ia mungkin mempunyai kesan sampingan, jelas Abel. Beliau mengingatkan orang ramai jangan cepat membuat keputusan untuk menggunakan aspirin kerana penyelidikan belum selesai dan keberkesanannya masih lagi menjadi satu teka-teki. Walaupun aspirin boleh mengubati serangan jantung jika diambil mengikut preskripsi doktor, ia juga boleh menyebabkan pendarahan dalam perut. Bagaimanapun mereka yang menghidap penyakit buah pinggang atau paru-paru dilarang sama sekali menggunakan aspirin. Selain berkemungkinan berperanan untuk merawat barah prostat saintis berkata, ubat seperti aspirin itu boleh juga digunakan untuk mengubati barah dubur. Barah prostat menyerang kira-kira 10 juta lelaki seluruh dunia pada usia 50 tahun keatas dan mereka sering tidak menyedari bila serangan penyakit itu berlaku. Barah prostat adalah paling kerap menyerang lelaki dan menjadi pembunuh kedua selepas sakit jantung. - Reuters.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.