Rabu, 21 Disember 2011

TANAMAN ORGANIK LEBIH BAIK


Organik manfaat diri dan alam sekitar
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF
Terima kasih Ecogreen Organic Shop & Restaurant, 125, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail, KL. Tel: 03-77258388



MASIH ingat pengalaman menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah ketika kecil dulu? Dengan tanah sekangkang kera, kita membuat batas-batas kecil untuk disemai benih cili, timun, sawi dan pelbagai lagi. Pelbagai petua biasa menjadi amalan untuk menyuburkan tanaman seperti menjirus dengan air basuhan ikan, air basuhan beras dan sebagainya. Racun juga tidak digunakan untuk membunuh serangga perosak. Hasilnya, walaupun sayuran tidak seberapa, tapi kita tetap berpuas hati kerana penat lelah telah berbayar. Pasti rasa dan saiznya tidak sama seperti sayur yang kita beli di pasar. Masyarakat sering tertipu dengan berpendapat sayur yang cantik itu baik dan penuh khasiat. Hakikatnya, sayur sebegini sebenarnya 'kaya' dengan baja penyubur sintetik. Penanamnya juga menggunakan racun yang bukan saja memberi kesan tidak baik kepada tubuh dalam jangka waktu yang panjang, malah menjejaskan alam sekitar. Pengamal makanan organik, Wong Kai Yuen, berkata, sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanam sendiri sebenarnya mengandungi nutrien yang lebih baik dan bermanfaat berbanding yang dibeli di pasar.Menurutnya, sayuran perladangan konvensional tidak mempunyai mikronutrien yang lengkap kerana prosesnya yang dipercepatkan berbanding ditanam secara semula jadi. "Ramai yang mengetahui manfaat makanan organik namun menganggap ia mahal untuk dibeli di pasaran. Mengapa kita tidak menanam sendiri sahaja kerana hasilnya juga boleh dikelaskan sebagai organik," kata beliau. Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, makanan organik adalah makanan yang mana penghasilannya tidak melibatkan penggunaan sintetik moden seperti racun perosak sintetik dan baja kimia. Selain itu makanan organik juga tidak diproses menggunakan pendekatan sintetik seperti pelarut industri, penyinaran (irradiation) dan juga bahan tambahan kimia. Beliau yang mengusahakan kedai dan kafe organik Ecogreen berkata, sebenarnya bidang pertanian suatu ketika dulu boleh dikatakan organik sehinggalah revolusi hijau berlaku awal abad ke-20. "Disebabkan permintaan makanan yang tinggi, baja kimia sintetik diperkenalkan bagi meningkat hasil pertanian dalam usaha menampung industri pertanian yang mencanak ketika itu," kata bekas Jurutera Kimia itu lagi. Penggunaan bahan-bahan itu, katanya, bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka panjang, malah ia turut menjejaskan alam sekitar. Begitu juga dengan penternakan cara organik. Haiwan ternakan yang dibela secara organik diberi makan juga dari sumber organik, diternak bebas dalam ladang yang luas dan tidak disuntik hormon tumbesaran. Oleh itu, daging haiwan ternakan organik sudah tentu jauh lebih baik daripada penternakan konvensional yang sangat memberi kesan terhadap kesihatan tubuh badan.
Prinsip organik
Menurut Kai Yuen, prinsip penanaman dan penternakan organik berasaskan kepada empat perkara iaitu kesihatan, ekologi, keseimbangan dan keadilan. Dari segi kesihatan, perladangan organik tidak menjejaskan tanah, tumbuhan, haiwan, manusia dan bumi secara keseluruhan. Beliau menjelaskan bahawa kesihatan individu dan komuniti tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan ekosistem. "Mudah sahaja, kita percaya bahawa tanah yang sihat akan menghasilkan tumbuhan yang sihat dan seterusnya menentukan kesihatan kita yang menikmatinya," kata beliau. Penanaman organik, katanya, menyasarkan untuk menghasilkan makanan yang lebih berkualiti, mengekalkan nutrisi yang menyumbang kepada penjagaan kesihatan menyeluruh dan mengelakkan penyakit. Menurut beliau, pengunaan baja kimia menyebabkan nutrien yang terkandung di dalam sesuatu tanaman menjadi tidak lengkap. "Daripada kajian yang pernah dijalankan, tumbuhan menggunakan baja kimia dikesan mengandungi banyak boron yang sebenarnya boleh mengundang kanser untuk tempoh yang panjang," kata beliau. Menurutnya lagi, makanan organik memerlukan pertanian cara semula jadi yang bebas bahan sintetik dan berkonsep holistik menggunakan pendekatan keseimbangan ekologi. "Penanaman organik tidak menggunakan racun perosak sintetik yang boleh merosakkan tanah sekali gus mencemarkan air dan kawasan setempat," katanya. Racun itu jelasnya, akan mengalir ke sungai berdekatan seterusnya menyebabkan oksigen dalam sungai berkurangan dan menjejaskan kehidupan akuatik. "Kerana itu kita melihat banyak tumbuhan dalam air seperti alga dan kiambang yang menyebabkan hidupan lain terancam," katanya. Selain itu, ladang organik juga kurang menggunakan tenaga elektrik dan kurang sisa buangan sebagai contoh penggunaan bahan pembungkusan dan kimia. Walaupun harganya lebih mahal daripada biasa, menikmati makanan organik jauh lebih selamat daripada makanan yang ditanam secara konvensional. Bukan setakat untuk kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar, penanaman organik memberi keadilan kepada semua pihak, peladang, pekerja, pemproses, pengedar, pedagang dan pengguna. Penanaman jenis ini memberi peluang kepada semua menjalani hidup yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada penerusan penghasilan makan dan mengurangkan kemiskinan. "Jika semua orang mula mengamalkan organik dengan cara menanam sendiri sayur dan buah, ia mengurangkan kebergantungan kepada perladangan konvensional. Melalui cara itu kita mampu berjimat secara tidak langsung dan juga mengawal harga barangan," katanya.
Aishah pilih organik dan mesra alam
BERGELAR ibu menjadikan pengacara jelita Aishah Jennifer Mohamed Sinclair begitu teliti dengan pengambilan makanan seharian. Dia ingin memastikan hanya yang terbaik untuk bayinya yang bakal mencecah usia setahun, Soraya Ann. Justeru sebolehnya dia cuba mendapatkan makanan dari sumber organik dan semula jadi. "Walaupun Aishah belum sepenuhnya menggunakan produk organik, namun kini agak memilih menyentuh soal pemakanan kerana ingin memberi yang terbaik buat si kecil," kata personaliti kacukan British dan Melayu ini. Aishah yakin dengan manfaat makanan organik yang berupaya menjadi permulaan terbaik buat si kecil. Menurutnya, walaupun kesan tidak dirasai serta-merta, namun dia tetap yakin kerana telah membuat keputusan yang betul. Seandainya tiada pilihan organik, Aishah akan memilih sumber semula jadi atau free range kerana tidak gemar kepada produk yang mengandungi bahan kimia sintetik. "Pastinya sesiapa sahaja akan memilih bahan yang mempunyai kesan negatif paling sedikit walaupun ia untuk tempoh jangka panjang," katanya. Bagi Aishah yang kini masih menyusukan Soraya, dia memilih memakan daging ayam kampung, tauhu dan meminum air kacang soya berasaskan organik untuk mendapatkan sumber protein. Dia masih menikmati beras putih seperti biasa, namun pengambilannya diselang seli dengan pasta organik dan juga roti gandum penuh organik. Selain yakin dengan kandungan nutrien yang terdapat di dalamnya, sebagai seorang pencinta alam sekitar, Aishah merasakan menikmati makanan sumber konvensional hanya menyumbangkan kepada pencemaran. "Dengan mengamalkan organik, saya membantu menyokong peladang tempatan dan sekali gus tidak mencemarkan alam sekitar," kata beliau yang turut dilantik sebagai Earth Keeper bagi jenama pakaian lasak, Timberland ini. Sejajar dengan minatnya dalam memelihara alam sekitar, Aishah percaya makanan berasaskan organik membantu persekitaran yang lebih sihat. Bercerita mengenai penglibatannya sebagai Earth Keeper, wanita berusia 30 tahun ini menjayakan pelbagai program dalam usaha menghijaukan bumi. Paling mengujakan, dia akan berlepas ke China tidak lama lagi bagi kempen penanaman pokok di kawasan Horqin, Inner Mongolia. Mengenali Aishah, sememangnya dia seorang yang mengambil berat mengenai alam sekitar. Empat tong sampah di rumah membuktikan usahanya ke arah itu "Kita patut asingkan sampah mengikut kelasnya. Memang ia agak rumit kerana selain mengasing, kita juga perlu menghantar ke pusat kitar semula yang pastinya jauh dari kediaman sendiri. Namun begitu, fikirkan kesannya untuk anak cucu kita yang mewarisi bumi ini nanti," kata Aishah. Dalam pada itu, dia juga berhasrat untuk memiliki kebun organik sendiri dan tidak sabar untuk mendedahkan si kecilnya dengan alam semula jadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.