Hormon ayam daging undang komplikasi
ARKIB UTUSAN : 30/09/2006
Oleh: KHAIRUN NIZAM MOHAMMAD YUSUFF
KUALA LUMPUR 29 Sept. – Amaran kepada penggemar daging ayam. Mereka yang kerap memakan daging ayam kini perlu lebih berhati-hati berikutan kadar hormon yang tinggi pada haiwan itu boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan. Pensyarah Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd Zulkefeli Md. Jusoh berkata, kekerapan memakan daging ayam khususnya daripada jenis ‘ayam daging’ akan membawa kepada ketidakseimbangan hormon dalam tubuh. Lebih membimbangkan lagi katanya, dalam tempoh jangka panjang, mereka yang kerap memakannya menghadapi risiko penyakit barah. ‘‘Secara amnya, tubuh kita memang mempunyai sistem kawalan bahan-bahan asing. Tetapi ia hanya berfungsi untuk tindak balas jangka pendek sahaja dan tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku selepas itu, ‘’ katanya. Menurut Mohd Zulkefeli, kulit ayam juga boleh mendatangkan kemudaratan kerana ia banyak terdedah kepada pelbagai bahan kimia yang beracun. Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan kebersihan bahagian itu ketika membeli ayam daging di pasar. Beliau bagaimanapun tidak menggalakkan orang ramai memakan kulit ayam kerana mengandungi kolesterol yang tinggi dan berpotensi menyumbang kepada penyakit jantung. Perkara sama turut dibangkitkan oleh pakar pemakanan daripada Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Pakar tersebut yang enggan dikenali berkata, pembesaran ayam daging yang bergantung kepada tindak balas hormon dan bahan kimia boleh memudaratkan sistem pertahanan badan manusia yang memakannya. ‘‘Hormon yang terkumpul dalam badan manusia itu boleh menjadi punca kepada penyakit sekiranya sistem pertahanan badan gagal meneutralkannya (hormon) dalam tempoh yang singkat. ‘‘Apabila bahan-bahan yang tidak biasa diproses ini gagal disintesis dan dipecahkan, ia boleh memberikan kesan apabila tua kelak,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Tambahnya, selain hormon, ayam daging juga mempunyai kadar kolestrol yang tinggi berbanding makanan lain dalam kumpulan makanan berprotein. Keadaan ini meningkatkan lagi risiko didatangi penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, diabetes dan masalah kegemukan. ‘‘Satu perkara yang perlu disedari adalah ayam daging membesar secara tidak normal. Justeru, adalah dikhuatiri ia juga boleh menjadi penyebab kepada penyakit-penyakit baru yang tidak pernah wujud sebelum ini,’’ ujarnya. Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mempelbagaikan makanan bagi mengelak mendapat komplikasi daripada amalan memakan ayam daging. Ini kerana katanya, mempelbagaikan makanan boleh menjamin tubuh mendapat nutrien yang seimbang. Beliau berkata, selain daging ayam, makanan seperti ikan, daging lembu dan telur ayam turut membekalkan sumber protein yang dikehendaki badan, malah lebih murah jika dibandingkan dengan harga ayam pada masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.