Kunyit Anti kanser
http://www.majalahsains.com/2009/11/serbuk-kari-kunyit-kanser-dan-nanoteknologi/
Nota://
Rencana ini pernah terbit di Dewan Kosmik Januari 2009. Blog penulis boleh
dikunjungi di http://mundarmandir2.blogspot.com
Mungkin
tajuk rencana ini sudah terlalu ‘klise’ untuk menarik minat pembaca. Banyak
rencana, buku dan maklumat-maklumat (berbahasa inggeris) boleh diperolehi dari
pelbagai sumber untuk mengetahui potensi teknologi moden yang dikenali sebagai
nanoteknologi. Namun begitu, usaha terkini yang dijalankan dalam dunia
perubatan menggabungkan teknologi moden dan perubatan tradisional mungkin
menarik minat kita untuk mengetahuinya lebih lanjut terutamanya dalam bahasa
sains popular dan tidak terlalu saintifik. Tujuannya tidak lain ialah untuk
menarik minat masyarakat umum meninjau perkembangan sains dan teknologi
terutamanya dalam teknologi nano. Seperti yang sudah sedia maklum, kanser
merupakan pembunuh nombor 1 dunia yang paling digeruni. Sehingga kini tiada
ubat khas yang dapat merawatnya dan kebanyakan pesakit yang menderita akibat
kanser akan berakhir dengan kematian. Usaha dilakukan oleh pakar-pakar dan
saintis di seluruh dunia termasuk dari Timur dan Barat untuk menemukan
penyembuh kanser yang paling ampuh yang dapat memperlahankan sel kanser dari
terus merebak di dalam badan manusia. Kita mungkin selalu menggunakan kunyit
dan rempah ratus dalam masakan. Samada sedar atau pun tidak, selain di gunakan
dalam masakan, kunyit juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi dalam
peradaban timur. Sejarah penggunaan kunyit dalam serbuk kari dan pengamal
perubatan tradisonal ayurveda telah muncul sejak 520 tahun Sebelum Masehi di
kalangan penganut agama Buddha. Kunyit sejak berabad lalu memainkan peranan
penting sebagai agen pewarna di dalam pelbagai masakan India. Selain sebagai
agen pewarna ia juga berperanan sebagai bahan yang digunakan dalam perubatan
tradisonal. Penemuan terbaharu yang ditemui oleh gabungan saintis India dan
Amerika seperti yang dilaporkan di dalam Jurnal Bionanoteknologi menunjukkan
sebatian kunyit yang terdapat di dalam serbuk kari mempunyai unsur tertentu
yang dapat mengubati kanser. Penemuan ini membuka lembaran baru dunia perubatan
dan memberikan harapan kepada pesakit kanser. Dr Anirban Maitra, ketua penyelidik dari John Hopkins University School of
Medicine Amerika Syarikat menemui sebatian aktif ’curcumin’ yang memberikan
warna kuning terang di dalam serbuk kari yang mempunyai sifat anti-ransangan
dan ciri-ciri agen melawan kanser.
Selain Dr Maitra, beberapa kumpulan penyelidik lain melapor dan mengesahkan bahawa bahawa sebatian ’curcumin’ berperanan sebagai agen anti kanser berdasarkan sifatnya yang boleh menghalang sel kanser yang dikenali sebagai tumor daripada merebak. Antara kanser yang dikenalpasti dapat dicegah menggunakan ’curcumin’ ialah kanser kolon, kanser paru-paru, kanser buah dada, pankreas dan kanser prostat. Beberapa laporan penyelidikan lain juga melaporkan bahawa kunyit yang digunakan sejak berabad lama dalam penyediaan makanan timur boleh dikembangkan menjadi penawar terbaik untuk menghalang kanser. Apa yang menarik, sebatian curcumin di dalam kunyit ini tidak memberikan kesan toksik pada sel-sel lain di dalam tubuh manusia selepas dilakukan ujikaji di dalam makmal. Apa yang menjadi persoalan ialah, mengapa kunyit tidak menjadi bahan asas utama dalam penyelidikan rawatan dan penyembuhan kanser dalam dunia perubatan. Menurut Dr Anirba Maitra walaupun bahan curcumin di dalam kunyit mempunyai potensi besar di dalam rawatan kanser, bukanlah bermakna kunyit hanyalah satu-satunya sahaja penyembuh segala penyakit. Masih banyak dan luas lagi ruang lingkup penyelidikan yang perlu dijalankan menggunakan bahan-bahan lain selain kunyit dan melihat potensi sebenar bahan ini. Apa yang membezakan antara kunyit dan bahan lain ialah sebatian curcumin yang terdapat di dalam kunyit itu sendiri. Sekiranya pada zaman dahulu kala ia hanya digunakan secara terus samada di dalam makanan atau pun sebagai sapuan, pada masa sekarang kunyit dijadikan bahan kajian utama untuk menghasilkan sebatian nanocurcumin. Apa yang membezakan nanocurcumin dengan curcumin biasa ialah sifatnya yang luar biasa dan berbeza daripada sifatnya yang asal dalam bentuk makroskopik. Sebatian makroskopik curcumin mempunyai tahap kelarutan di dalam badan yang rendah, mengambil masa yang agak lama untuk sampai kepada bahagian-bahagian sel dalam badan dan tahap kadar penyerapan yang perlahan sistem penghadaman. Untuk mengatasi masalah yang dihadapi sebatian makroskopik yang bersifat konvensional dalam disiplin perubatan, Dr Maitra yang mengetuai projek penyelidikan rawatan kanser telah mendapat idea untuk menghasilkan partikel bersaiz nano sebatian curcumin yang diperolehi daripada kunyit. Dengan penghasilan sebatian bersaiz nano, ia dijangka dapat mengatasi halangan yang didapati dalam sebatian asal seterusnya dunia perubatan menemui kaedah baru dalam usaha mengubati kanser. Dr Maitra juga menegaskan bahawa untuk benar-benar mengeksploitasi kelebihan curcumin di dalam kunyit, mereka perlu menemukan kaedah terbaik untuk memasukkan sebatian tersebut dari luar badan tanpa melalui sistem penghadaman yang kompleks akibat sifat ketidaklarutan ( undissolved) di dalam larutan badan. Selain itu, ketulan-ketulan curcumin makroskopik kelihatan jelas di dalam larutan cecair dan mustahil untuk dimasukkan melalui suntikan. Dengan penemuan nano partikel curcumin, semua masalah ini dapat di atasi. Dr Maitra dan kumpulannya juga sedang melakukan ujikaji di dalam makmal tentang potensi sebatian ini yang berupaya mencegah sel kanser pankreas dari merebak dan juga menghalangnya daripada membiak (self replicate). Menurutnya lagi, nanocurcumin membuka lembaran baru dalam dunia perubatan merawat kanser dan juga berpotensi untuk dikembangkan mengatasi penyakit lain seperti Alzheimer dan penyakit cystic fibrosis . Teknologi nano seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini semakin menonjolkan potensi aplikasinya di dalam bidang perubatan. Sebatian nanocurmin yang didapati daripada kunyit yang digunakan seharian dalam rempah ratus dan masakan kita seharian, rupa-rupanya tersembunyi satu rahsia perubatan yang tidak diketahui oleh manusia sebelum ini. Ini adalah salah satu contoh hasil yang diperolehi dari penyelidikan nanoteknologi yang sedang giat diusahakan di seluruh dunia termasuk dalam dunia perubatan. Masih banyak lagi rahsia-rahsia alam dan perubatan dari dunia timur dapat dicungkil melalui penyelidikan dan pembangunan untuk manfaat umat manusia pada masa akan datang.
Rujukan :
[1] Polymeric
nanoparticle encapsulayed curcumin (nanocurcumin) : A Novel Strategy for Human
Cancer Therapy. Journal of Nanobiotechnology 5:3
[2] Nano; The
Magazine for Small Science, Issue 5, January 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.