Beras
Perang bermutu tinggi
http://www.majalahsains.com/2012/03/saintis-ukm-hasilkan-beras-perang-bermutu-tinggi/
Saintis UKM
Hasilkan Beras Perang Bermutu Tinggi
BANGI, 23 Feb. 2012 – Setelah
menjalankan penyelidikan selama tujuh tahun, para ahli sains UKM berjaya menghasilkan
sejenis beras perang yang boleh meningkatkan pengeluaran beras negara selain
sesuai untuk mereka yang mengidap penyakit kencing manis. Pakar Genetik
Tumbuhan dan Bioteknologi, dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr
Wickneswari Ratnam, dengan dibantu 14 orang ahli sains fakulti itu telah
berjaya menghasilkan beras perang bermutu tinggi dan rendah indeks glisimiknya.
Hasil penyelidikan sejak 2002 itu berjaya menghasilkan padi terbaru varian G33
diberi nama UKMRC9 yang mampu meningkatkan pengeluaran beras sejajar
matlamat pengkajian berkenaan. Ia dicapai melalui pembiakan konvensional iaitu
kacukan terkawal di antara padi Cultivar MR219 dengan padi liar Oryza
rufipogon. Ia melibatkan pemindahan ‘gen’ padi liar ke padi yang digunakan
sekarang yang telah diusahakan oleh MARDI (Institut Penyelidikan dan
Pembangunan Pertanian Malaysia). Prof Wickneswari telah di bantu oleh Dr K
K Sabu, Dr Lim Li Sze, Dr Atiqur Bhuiyan, Dr Abdul Rahim Harun, En Parviz
Fasahat, Puan Ngu Mee Siing, En Abdullah M Zain, Puan Site Zuraini Abdul
Rahman, Dr Narimah Md Kairudin, Dr Tilakavati Karupiah, Prof Aminah Abdullah,
Dr Kharidah Muhammad, En Chua Khun Aik dan En Tan Choon Heen untuk merancang,
menggerak dan menjayakan penyelidikan itu. Ia juga melibatkan penyelidik dari
Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan MARDI. Dalam satu
pertemuan dengan Portal Berita UKM, Prof Wickneswari berkata kacukan itu dibuat
secara konvensional. “Kami tidak membuat sebarang manipulasi. Kami ambil
debunga daripada padi liar kemudian didebungakan dengan padi moden sekarang
lantas kami gunakan apa dipanggil ‘penanda genetik’ untuk menentukan sama ada
ia memang kacukan atau tidak. “Ini kerana ada kemungkinan ia tidak menjadi dan
kami juga mahu tahu sebanyak mana gen padi liar berpindah ke padi moden,” kata
beliau. Walaupun pada mulanya penyelidikan itu adalah untuk mencari baka yang
boleh meningkatkan pengeluaran beras negara ia juga telah berjaya menghasilkan
padi yang sesuai untuk pesakit kencing manis. Secara ringkasnya, kata beliau,
ciri-ciri UKMRC9 adalah ia sederhana tinggi, tumbuh dalam masa 125 hari, rupa
bentuknya yang diinginkan, ia mengeluarkan hasil beras yang tinggi iaitu 5.5
tan setiap hektar, ia kalis penyakit barah dan berasnya sederhana panjang. Ciri
biokimianya pula adalah kandungan amilosa 19-20 peratus, kandungan fenolik yang
tinggi dan padi ini adalah satu sumber antioksidan yang tinggi. Peringkat
pertama penyelidikan selama tiga tahun dari 2002 dibiayai dengan peruntukan
RM840,000 dari Kerajaan. Ia kemudian disambung hingga 2009 dengan pemberian
peruntukan RM1 juta dari kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Penyelidikan
itu telah didorongkan masalah negara menghadapi kekurangan bekalan beras pada
2002 dengan harga pasarannya juga telah meningkat. Kerajaan waktu itu
melancarkan program bagi memastikan negara akan dapat mengadakan bekalan
berasnya yang mencukupi. “Ketika itu saya ingat kita hanya mencapai kadar 60
peratus dari keperluan beras. Tetapi selepas itu kerajaan mahu kadar itu
ditambah kepada 90 peratus dan kini mensasar untuk dapat mengeluarkan padi
secukupnya bagi keseluruhan keperluan negara. “Isunya ialah bagaimana kita
mampu tingkatkan pengeluaran beras melalui penyelidikan. Ketika itu
penyelidikan sama sudah dijalankan di China dan Amerika Syarikat menggunakan
padi liar, Oryza rufipogon yang berasal daripada Malaysia”, tambah beliau. Selain
itu bagi kita di Malaysia, ada juga beras merah dan beras hitam iaitu jenis
padi huma yang di tanam di Sarawak. Bagi beras perang, ia di tanam secara percubaan
di Stesen MARDI di Seberang Perai melibatkan tiga daripada lima varieti
diperolehi di samping lapan lagi jenis beras putih yang hasilnya juga tinggi
dan sesuai ditanam di kawasan sawah menghijau. “Kita sudah minta orang memasak
beras ini dan mendapati penghadamannya agak perlahan. Ia tahan lama di dalam
usus jadi kita tidak akan mengalami peningkatan mendadak paras glukosa,” kata
beliau. Prof Wickneswari berkata warna beras kemerah-merahan itu tidak
disengajakan tetapi ia ditemui secara kebetulan. Pendebungaan terkawal
dilakukan diikuti kacukan balik. Daripada 260 anak pokok yang kami perolehi ada
lima yang membawa ciri kemerah-merahan sedang yang lain bewarna putih. ‘Merah’
ini adalah daripada padi liar tetapi sekamnya kelihatan hitam sedangkan isinya
perang. “Kita kacuk sekali, kemudian kacukan balik dua kali dengan padi moden
demi mengurangkan kesan-kesan negatif berasal daripada padi liar. Lagipun padi
liar tidak cantik rupanya,” beliau menambah. Bercakap mengenai padi liar Oryza
rufipogon, Prof Wickneswari berkata ia tidak boleh dimakan dan adalah ‘saudara
liar’ kepada beras tetapi ia dikatakan asal-usul bagi beras yang kita makan
hari ini iaitu Oryza sativa. “Padi ada sembilan jenis ‘genome’ dengan semuanya
sangat berbeza. Yang ditanam di kawasan tropika berbeza dengan yang ditanam di
sawah kawasan temperat seperti di Afrika iaitu Oryza glaberrima. Tahap terakhir
dalam projek itu selepas selesai segala dokumentasi yang telah dapat disiapkan
pada November tahun lalu, tidaklah lain daripada berusaha memasarkannya. “Saya
sudah serahkan hak pengkomersialan kepada UKM Technology dan telah pun
memeterai satu perjanjian dengan sebuah syarikat pengeluar benih untuk
mengujinya,” kata Prof Wickneswari.
Sumber : UKM News Portal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.