Selasa, 6 Disember 2011

Paip air asbestos sumbang kanser


Paip air asbestos usang sumbang kanser, sakit kulit
ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 05/07/2011

ZULKIFLI MOHAMAD
Timbalan Pengerusi Yayasan Ekonomi Sejagat
MASALAH kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi di kebanyakan negeri di Malaysia setakat ini menyerlahkan satu persoalan yang perlu dijawab segera, apakah pihak kementerian bertanggungjawab dan menterinya sudah memainkan peranan secukup dan sewajarnya menangani dan mengatasi permasalahan tersebut? Kita ambil contoh kadar NRW pada tahun 2010 di beberapa negeri yang kadarnya masih tinggi iaitu di Kelantan 52.4 peratus, Pahang 55.3 peratus dan Sabah 57 peratus. Jika kita membuat analogi perbandingan mengenai kadar NRW sebanyak lebih 50 peratus ini sebagai contohnya, maka ia boleh diumpamakan daripada kadar 100 gelen air bersih yang sepatutnya dibekalkan untuk kegunaan pengguna, maka kini hanya tinggal kurang 50 gelen sahaja yang sampai ke rumah pengguna untuk dimanfaatkan kerana separuh daripadanya telah hilang di jalanan kerana kebocoran paip lama yang kerap berlaku. Di segi nilai kewangannya pula, maka berjuta-juta ringgit wang rakyat juga hilang begitu sahaja setiap masa yang sepatutnya boleh diselamatkan jika program penukaran paip-paip lama berjalan terus tanpa sebarang gangguan, sekatan dan alasan. Saya difahamkan bahawa setakat ini berpuluh-puluh ribu kilometer paip asbestos lama di kebanyakan negeri masih digunakan tanpa bertukar ganti. Seperti kita sedia maklum, paip-paip asbestos ada yang sudah berusia lebih 30 atau 40 tahun malah ada yang seusia kemerdekaan negara tetapi masih lagi digunakan tanpa had. Ramai pakar kesihatan sudah memberitahu bahawa paip-paip asbestos yang usang dan berkarat ini jika terus digunakan akan mendatangkan risiko pelbagai penyakit berbahaya terhadap masyarakat seperti kanser, penyakit kulit dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, saya ingin menasihatkan menteri tenaga, teknologi hijau dan air supaya mengutamakan penyelesaian masalah penggantian paip-paip lama yang sudah usang dan berkarat tersebut serta mengatasi masalah kadar NRW yang tinggi dan semakin meningkat di kebanyakan negeri dan melupakan dulu hasrat membuat projek baru seperti 'water piping system' antara negeri-negeri yang pastinya menelan kos yang bukan sedikit. Sewajarnya peruntukan tersebut digunakan terlebih dahulu untuk membiayai kos-kos penukaran paip-paip lama dan mengatasi NRW tersebut. Ramai pakar air meramalkan akan berlaku krisis air menjelang 2014 maka seharusnya keadaan tidak menjadi lebih buruk dengan bertambahnya kes-kes paip pecah, paip bocor, kecurian air yang menyumbang kepada peningkatan kadar NRW yang membawa kepada pembaziran air di tambah lagi dengan sikap para pengguna yang tidak pandai berhemah menggunakan air. Seperkara lagi yang ingin saya menarik perhatian kementerian dan juga SPAN adalah kedudukan Kuala Lumpur sebagai nadi ekonomi negara, Putrajaya sebagai nadi pentadbiran negara dan Selangor sebagai negeri industri paling maju juga perlu diberi perhatian khusus dalam isu penggantian paip-paip lama yang mana sepanjang lebih 6,000 kilometer yang belum berganti sehingga kini. Kita tidak mahu melihat dan mendengar rintihan dan rungutan berterusan daripada sektor perniagaan, ekonomi, pentadbiran dan industri mengenai pelbagai masalah bekalan air yang boleh membantut dan melumpuhkan segala aktiviti sosioekonomi negara yang boleh mencalar dan mencacatkan imej negara dari kaca mata pengunjung dan pelabur yang berkunjung dan melabur di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.