Isnin, 26 Disember 2011

Sungai beracun ancam Kita


Sungai beracun ancam Hungary

ARKIB : 19/02/2000

PIHAK berkuasa Hungary merayu kepada masyarakat antarabangsa agar membantu mereka dalam menangani kesan ekologi dan ekonomi akibat tumpahan sianida yang kemungkinan merupakan bencana ekologi terburuk sejak insiden Chernobyl 1998. Ketika cecair beracun itu terus mengalir masuk ke dalam Sungai Danube dari Yugoslavia, Hungary - yang mendakwa tumpahan itu telah 'membunuh' sungai kedua terbesarnya, Tisza - memberi amaran kemungkinan mendapatkan ganti rugi di mahkamah. Timbunan ikan mati dikeluarkan dari Tisza, yang mengalir beratus-ratus kilometer melalui timur Hungary, sejak kemalangan di kompleks lombong emas di negara jiran Romania dua minggu lalu. ''Ini merupakan malapetaka alam sekitar yang amat serius. Ia bukan setakat kemalangan yang boleh dibandingkan dengan Chernobyl, kerana kerosakan yang disebabkan olehnya hampir mustahil untuk diramalkan,'' kata pegawai Kementerian Alam Sekitarnya, Pal Fehervari. Jurucakap Kementerian Luar Gabor Horvath pula berkata, Hungary kini bergantung harap kepada pakar, di samping bantuan kewangan dari Kesatuan Eropah (EU) bagi menangani bencana ini dan memulihkan keadaan. Tumpahan sianida dari kompleks lombong emas Aurul di Romania, projek usaha sama yang 50 peratus sahamnya dikuasai firma Australia, Esmaralda Exploration Ltd, telah membunuh lebih 100 tan ikan di Hungary setakat ini. Romania sebaliknya berulangkali menyatakan bahawa Hungary hanya memperbesar-besarkan isu itu. Sementara itu, di Belgrade kelmarin, Menteri Alam Sekitar Serbia, Branislav Blazic berkata, tumpahan telah menyebabkan kemusnahan dan malapetaka ekologi di negaranya dan Hungary. Cecair beracun itu tiba di Belgrade lewat Isnin lalu, menyebabkan pihak berkuasa menguatkuasakan larangan ke atas air minuman. Ujian terbaru menunjukkan kepekatan pencemaran pada paras 0.2 miligram bagi seliter air, iaitu dua kali ganda dari jumlah maksimum yang dibenarkan. Blazic berkata, kepekatan sianida di Sungai Danube mencapai paras 50 kali lebih tinggi daripada paras maksimum dibenarkan pada Ahad lalu, tetapi keesokannya ia menurun kepada 20 kali lebih tinggi daripada paras dibenarkan di sepanjang tebing sebelah kiri sungai itu.  Aliran air Sungai Danube, katanya, telah mencairkan tumpahan yang memasuki laluan air terbesar di Eropah itu kira-kira 50 kilometer ke utara Belgrade pada Ahad lalu, dan dipercayai sudah melepasi wilayah Yugoslavia. Selepas Belgrade, aliran menuju ke timur sempadan Bulgaria-Romania, sebelum ke Ukraine di utara dan keluar ke Laut Hitam. Blazic berkata, pakar-pakar Serbia telah dihantar ke kompleks lombong emas di Baia Mare di Romania bagi mengkaji keadaan itu. ''Pencemaran sepatutnya sudah mengalir melepasi Yugoslavia pada ketika ini. Kepekatan sianida di Danube secara praktikalnya sudah kembali normal, tetapi kerosakan di Tisza masih berlaku dan ia akan menjadi sungai mati dalam tempoh beberapa tahun lagi,'' kata Blazic. Para nelayan di sepanjang Tisza menggantung sepanduk hitam di rumah mereka bagi menggambarkan sejauh mana kehidupan mereka terjejas akibat malapetaka ekologi ini. Pihak berkuasa Hungary berkata, mereka telah menghubungi Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), bagi membantu menangani situasi ini. Setakat ini Hungary dianggap paling teruk terjejas akibat tumpahan 100,000 meter padu air tercemar sianida yang digunakan bagi mengekstrak emas daripada bahan buangan. ''Jumlah kematian ikan tidak terhenti di situ sahaja kerana hari ini ikan mati timbul lagi dari bawah ais,'' katanya. ''Selain kemusnahan alam sekitar, malapetaka ekologi ini juga menyebabkan kesan ekonomi yang serius,'' kata Menteri Luar Hungary, Janos Martonyi dalam surat kepada pesuruhjaya EU, Guenther Verheugen. Negara-negara yang terjejas kini sedang bekerjasama untuk menilai kerosakan yang dialami dan berusaha mendapatkan ganti rugi. ''Andainya gagal, kes ini akan dirujuk ke mahkamah antarabangsa,'' kata Fehervari. Sementara Esmeralda yang berpejabat di Perth tetap menegaskan bahawa kerosakan yang dialami hanya diperbesar-besarkan saja. – Agensi

Nota : 
Sungai di Malaysia lebih teruk tahap pencemarannya tetapi sayang tiada yang bersungguh sungguh mengambil tindakan drastik bagi membetulkan keadaan. Lebih buruk apabila di hulu sungai tempat mencurahkan minyak 4T motosikal ( pekerja berpendapatan rendah mengambil jalan singkat menukar 4T motosikal sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan. Tiada tempat buang minyak hitam lalu 4T terpakai ini paling mudah dicurahkan ke dalam longkang! ). Juga di hulu sungai ada ladang kelapa sawit yang menyalirkan air racun rumpai ke dalam sungai. Di hilir sungai pula tempat mengambil air / water intake point sebagai sumber air minuman! ) . Air Sungai Semenyih diambil oleh ABASS (Aliran Bekalan Air Selangor Selatan) di hilir sungai sedangkan di hulu sungai, iaitu kawasan berbukit bukit terletak Nuklear Malaysia yang memiliki reaktor Nuklear. ABASS menjual air kepada SYABAS dan air ini di guna minum penduduk Lembah Kelang seperti Kajang, Shah Alam, Kuala Lumpur.  Tidakkah terdapat sisa nuklear yang boleh dihanyutkan air hujan dan diambil oleh intake point di hilir Sungai? Siapakah yang buat persampelan keujudan radioaktif dalam air minuman? Patutlah semakin banyak kes kejadian barah di kalangan penduduk Lembah Kelang….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.