Isnin, 26 Disember 2011

Tutupnya loji nuklear Chernobyl


Tutupnya loji nuklear Chernobyl

ARKIB : 13/12/2000

KAWAN saya, Yaryna tidak pernah ke Chernobyl, tetapi beliau menerima padahnya pada usia muda lebih daripada tempat lain yang pernah dikunjunginya. Yaryna, 21, menderita barah tiroid yang menurut doktor berpunca daripada letupan dan kebakaran loji nuklear Chernobyl pada 1986 lalu. Beliau baru saja menjalani pembedahan, beberapa hari sebelum saya ke loji itu, kunjungan terakhir sebelum ia ditutup Jumaat lalu. Tidak ada sebab untuk ke Chernobyl, 150 kilometer di utara Kiev hanya untuk menderitainya. Selepas 14 tahun bencana itu, para penduduknya yang tinggal di kawasan yang dilindungi awan dan disirami hujan radio aktif menjadi tebusan Chernobyl. Setiap hari para penduduk Ukraine bimbang dengan udara yang mereka sedut, air yang diminum, makanan yang dimakan _ kerana kesannya bukan saja kepada kita, tetapi generasi kemudian. Pada 26 April 1986, berlaku letupan pada reaktor nuklear Chernobyl yang menghasilkan awan radio aktif ke serata Eropah. Namun yang paling teruk terjejas ialah wilayah Ukraine dan Belarus yang merupakan sebahagian daripada Kesatuan Soviet yang terpaksa menanggung kesannya sehingga hari ini. Bagi saya, bersama-sama dengan berjuta-juta penduduk Ukraine, malapetaka Chernobyl menjadi sebahagian daripada kehidupan. Pada ketika ia meragut mangsanya di kalangan rakan-rakan, tragedi itu tidak pernah luntur, malah semakin dekat. Statistik menunjukkan ceritanya. Di Ukraine saja sekurang-kurang 4,365 orang mati akibat penyakit berkaitan dengan radiasi selepas terlibat dengan kerja-kerja pembersihan yang diadakan oleh kerajaan Soviet selepas letupan. Dan ia hanya bahagian kecil daripada lebih 650,000 orang yang datang dari seluruh bekas Soviet. Keseluruhannya, kira-kira 3.4 juta daripada 50 juta penduduk Ukraine, termasuk 1.4 juta kanak-kanak terdedah kepada bencana radiasi. Barah tiroid meragut mangsanya secara perlahan-lahan. walaupun tidak ada kes dicatatkan di Ukraine antara 1981-85, seramai 1,217 orang seperti Yaryna, yang masih kanak-kanak atau remaja semasa kejadian telah menjalani pembedahan disebabkan barah tiroid antara 1986-99. Menurut kerajaan Ukraine, 70,000 menjadi cacat di negara itu akibat radiasi. Zon larangan masuk sekitar Chernobyl seluas 1,040 kilometer merupakan tanah paling beracun di muka Bumi. Kira-kira 120,000 orang mendiami 90 perkampungan yang kawasan paling subur. Kini kawasan ini diletakkan di bawah kawalan 800 pengawal dan dipagar dengan dawai.. Tidak ada sesiapa dibenarkan masuk kecuali dengan kebenaran khas. Bandar terbesar dalam zon ini ialah Pripyat yang suatu ketika menempatkan para pekerja Chernobyl. Pada 1986, ia didiami 48,000 orang, kebanyakannya keluarga muda yang datang dari seluruh Soviet. Api kebakarannya boleh dilihat dengan jelas dari tingkap bangunan apartmen bandar ini, tetapi pihak berkuasa Soviet tidak mengambil langkah untuk memaklumkan para penduduk mengenai bahaya yang sedang mengancam mereka. Pada ketika api sedang marak, para penduduk kira-kira lima kilometer dari situ sedang bersiapsedia membuat persediaan menyambut cuti Hari Mei _ perayaan era Soviet. Pripyat hanya dikosongkan selepas 36 jam letupan itu, tiga hari sebelum Hari Mei menyebabkan mereka lari dalam keadaan tergesa-gesa. Hari kertas surat khabar berwarna kuning dengan slogan Hari Mei masih berterbangan di bandar ini. Anak-anak patung dan alat mainan lain yang ditinggalkan oleh kanak-kanak di pusat jagaan harian masih kelihatan. Seseorang turut meninggalkan topeng gas. Kawasan sekitarnya yang suatu ketika dulu terkenal dengan kecantikan hutan pokok pain dan birch masih kelihatan. Musang, beruang dan rusa masih berkeliaran di hutannya, sementara ikan keli masih berenang-renang dalam sungai-sungai yang kini dicemari plutonium dan cesium. Para saintis mengesan berlakunya perubahan pada tikus di kawasan ini. Pokok pain juga turut berubah, menunjukkan berlakunya perubahan akibat radiasi.

Beberapa tempat di dalam zon ini amat bahaya kerana mencatat paras pencemaran radiasi yang amat tinggi berpuluh-puluh kali ganda berbanding had maksimum paling selamat. Antaranya ialah kawasan pembuangan peralatan menempatkan 1,350 kenderaan yang digunakan dalam operasi pembersihan. Terdapat barisan-barisan helikopter tentera, kenderaan tentera, kereta kebal, trak, jentolak, kereta bomba dan ambulans. Saya memikirkan nasib orang yang bekerja menggunakan kenderaan ini. Sesetengahnya hanya bekerja selama 20 minit membersihkan sisa radio aktif. Nasib mereka sama, semuanya mati akibat keracunan. Dan kawasan paling bahaya ialah runtuhan reaktor No 4 yang runtuh sama sekali selepas letupan itu meninggalkan 700,000 tan runtuhan besi dan 400,000 tan konkrit yang melitupi sejumlah bahan nuklear yang tidak diketahui jumlahnya. 

Nota: 
Di Malaysia, Linas Pahang adalah tempat pelupusan sisa Nuklear di Malaysia. Bahan sisa nuklear ini dihantar dari Negara Australia. Sebagai balasan budi baik kita yang dungu ini, kerajaan Australia memberi kita upah dalam bentuk duit yang banyak. Kita terleleh-leleh melihat dollar Australia lalu kita terimalah untuk jadikan Linas Pahang tempat pelupusan sisa nuklear Australia. Tidak ada jaminan walaupun lapisan konkrit setebal 3 meter sebagai tapak kolam sisa nuklear ini akan kekal tahan selama-lamanya. Satu hari pasti bocor juga lalu simpanan sisa radioaktif ini mencemarkan air bawah tanah. Kejadian bocor cukup dengan kebocoran kecil (mikro) dan tak perlu kebocoran besar bagi mencemar air bawah tanah dengan radioaktif !!!

Rakyat Pahang akan meminum air radioaktif dan lama-kelamaan radioaktif ini akan berkumpul dalam badan dan secara berterusan akan menembak radiasi pancaran nuklear dari dalam badan. Pancaran radiasi nuklear dari luar badan diketahui boleh menyebabkan barah inikan pula pancaran radiasi nuklear dari dalam badan secara berterusan!

Jika Australia yang 26 kali ganda lebih luas dari Malaysia pun tak mahu nuklear di tanam di negaranya, mengapa kita bermurah hati menggadaikan kesejahteraan orang Negara kita sendiri dengan membiarkan sisa nuklear ditanam di Linas? Begitu juga dengan Vietnam, Laos, Kemboja, Singapura, Thailand kesemuanya enggan menodai Negara mereka dengan menjadi tapak pelupusan sisa nuklear Negara lain tetapi kenapa kita sanggup memperkosa Negara kita sendiri?

Begitu juga halnya Bukit Merah yang terletak di Lahat, Ipoh. Juga pernah mendapat sisa radioaktif. Khabarnya banyak budak-budak mendapat leukemia (barah darah) di kawasan itu.

Tahukah anda : 
Di Moscow, sekurang-kurangnya 90 orang kanak-kanak dilahirkan tanpa lengan kiri semenjak 1973? Kebanyakkan budak budak ini tinggal di kawasan kejiranan yang padat dinodai sisa pencemaran industri. Kejadian kecacatan tanpa lengan kiri didapati tinggi di kawasan ini bila dibandingkan dengan kawasan lain di Rusia. Tahukah anda, banyak kanak-kanak menderita penyakit lelah dan bronchitis akibat tinggal di kawasan industri? Tahukah anda, banyak tasik dan sungai menjadi tempat pelupusan sisa plutonium? Tahukah anda, banyak kanak kanak mendapat botak (alopecia ) di Ukraine, Cherkasy, Chernivtsi dan Kiev pada tahun 1988 ? (ruj: National Geographic No 2 Vol 186 Ogos 1994 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.