Ketika aku menaip entri
blog kali ini, sudah pun genap 10 hari ibu ku kembali ke Rahmatullah sejak malam
1 Syawal 1431 (bersamaan 9 September 2010, hari Khamis malam Jumaat) yang lalu.
Dimana ketika umat Islam sedang sibuk dan gelisah menyediakan persiapan
terakhir untuk menyambut kehadiran Hari Raya Aidilfitri, aku bersama ayah,
kakak dan Mak Cik ku pula sedang sibuk dan gelisah mengadap ibu ku yang sedang
tenat menanti saat roh terkeluar dari jasad. Ya, ‘setiap yang hidup pasti
akan merasai mati‘. Dikala aku dan kakak berusaha mengajar ibu ku mengucap
dua kali Masyahadah disebelah telinga kiri dan kanan, akhirnya ibu ku
menghembuskan nafasnya yang terakhir disamping kami berempat pada lebih kurang
pukul 7.15 malam. Tiada kata yang dapat ku ucapkan selain tangisan dan rasa
redha dengan pemergian ibu ku ke Rahmatullah pada bulan yang mulia ini.
Sesungguhnya Allah s.w.t lebih menyayangi ibu ku dan aku yakin keadaan ini
adalah yang terbaik untuk ibu ku.
Lebih kurang 7 tahun yang
lalu, Ibu ku pernah mengidap kanser payudara dan telah menjalani pembedahan
juga menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Ibu ku lengkap menjalani rawatan susulan selepas
pembedahan seperti radioterapi, chemotherapy, dan menjalani pemeriksaan doktor
pada setiap bulan bagi memastikan kanser yang pernah dibuang tidak menyerang
semula. Walau bagaimana pun, dalam beberapa bulan yang lalu, ibu ku
sering menelefonku memberitahu yang dirinya sering sesak nafas secara
tiba-tiba. Aku sangkakan ibu mengalami sesak nafas kerana terlalu letih dengan
aktiviti hariannya, memandangkan ibu ku adalah seorang yang aktif didalam
aktiviti kampung. Ibu yang aku kenali adalah seorang yang sangat kuat dan
gigih. Biar pun ibu mempunyai sejarah masalah kesihatan, tetapi ibu tetap kuat
menjalani kehidupan harian dan aktif dalam aktiviti kampung. Malah semasa masuk
Awal Ramadhan hingga 15 Ramadhan yang lalu, ibu masih kuat menunaikan Solat
Tarawih di Masjid Pekan Grisek sebanyak 20 raka’at.
Ibu ku pernah bertanyakan
kepada Doktor ketika membuat pemeriksaan bulanan di Hospital Kuala Lumpur
mengenai masalah kesihatan yang dihadapi seperti sesak nafas, tangannya disebelah
kiri menggigil dan adakalanya kaku. Doktor hanya memberitahu yang ianya kesan
dari usia yang sudah meningkat, tidak dinafikan ibu ku sudah pun berumur 65
tahun. Hari demi hari masalah sesak nafas yang dialami oleh ibu ku semasa
dikampung (Pekan Grisek, Muar) semakin teruk. Akhirnya kakak ku telah
menghantar ibu ku ke Hospital Melaka memandangkan ada seorang sepupu ku yang
bekerja sebagai salah seorang Doktor Pakar Perubatan di Hospital Melaka
berjanji mahu membantu merawat penyakit yang dihadapi oleh ibu ku.
Selepas pemeriksaan X-Ray,
dan beberapa ujian darah dilakukan, doktor masih tidak dapat mengesan penyakit
yang dihadapi ibu ku. Apabila ujian CTscan pula dilakukan, barulah doktor
mengesahkan ibu ku mengalami kerosakan pada bahagian paru-paru. Tetapi masih tidak
dapat mengetahui punca kerosakan paru-paru tersebut, sama ada ianya datang dari
kanser atau kesan dari radioaktif rawatan chemotherapy yang pernah ibu ku
jalani sebelum ini. Apa yang pasti, penyakit ibu ku tidak mempunyai
ubat dan tidak dapat diselamatkan lagi…
Diari
Disaat Pemergian Ibu…
Pada malam 6 September
2010, aku mendapat msg dari kakak ku yang menjaga ibu pada malam itu
memberitahu keadaan ibu sudah bertambah kronik. Aku telefon Abang ku yang
tinggal di Ampang, bertanyakan sama ada dia mendapat msg dari kakak mengenai
keadaan ibu. Abang memberitahu dia juga mendapat msg yang sama dan bercadang
untuk melawat ibu di Hospital pada hari esok. Hati ku pada waktu itu sangat
bimbang, tetapi aku sabarkan hatiku dengan terus berdoa dan meniupkan kata-kata
positif didalam hati ku.
Pada tengah hari 7
September 2010, aku mendapat msg dari Abang yang baru sampai di Hospital
Melaka memberitahu ternyata keadaan ibu sudah bertambah kronik dan sudah
dipindahkan wad. Abang meminta diriku balik menziarahi ibu sebelum terlambat.
Aku pula ketika itu bukan saja masih berada ditempat kerja, malah sebagai
seorang pekerja mekanik kontrak di MAS Airlines Subang, aku
langsung tidak mendapat kelulusan cuti disepanjang Raya ini. Tetapi diatas
belas ikhsan dari pihak Pengurusan Bahagian Engineering MAS, aku dibenarkan
bercuti dari 8 September 2010 sehingga 12 September 2010 diatas Kes Kecemasan.
Balik dari Subang, aku terus ke Hospital Melaka untuk menjaga ibu. Malah aku
berhajat tidak akan balik beraya dikampung selagi ibu ku tidak keluar dari
Hospital. Abang ku pula kembali ke Ampang dan memberitahu akan pulang ke
kampung semula pada 9 September 2010.
Pada 8 September 2010,
aku menjaga ibu yang sudah tidak berupaya bergerak. Ibu juga tidak mampu
bernafas sendiri selain dengan alat bantuan oksigen sebanyak 5 liter per minit.
Pada sebelah pagi, darah ibu ku telah ditambah dengan 4 pek platlet darah
memandangkan ibu ku tidak cukup platlet darah untuk menjalani pembedahan ujian
tulang sum-sum. Lebih kurang pukul 10.30 pagi, ibu ku menjalani pembedahan
ujian tulang sum-sum. Aku tidak henti-henti menangis kerana bimbangkan keadaan
ibu ku selepas selesai ujian tulang sum-sum itu nanti. Ramai yang mengatakan
orang yang menjalani ujian tulang sum-sum mengambil masa yang lama untuk pulih.
Apa yang doktor beritahu, pembedahan ujian tulang sum-sum yang ibu ku jalani
adalah untuk memastikan sama ada kerosakan paru-paru yang dialami ibu ku adalah
disebabkan kanser atau tidak. Jika ianya disebabkan kanser, ibu ku perlu
menjalani chemotherapy sekali lagi. Dan untuk menjalani chemotherapy sekali
lagi adalah sangat mustahil kerana ibu ku tidak cukup sel darah dan sudah tiada
tenaga. Selepas pembedahan ujian tulang sum-sum, ibu ku langsung tidak sedarkan
diri. Cuma sekali-sekala ibu cuba bergerak dalam keadaan tidak sedar seperti
sedang bermimpi. Aku tidak henti-henti memicit dan memegang tangan ibu sambil
menitiskan air mata. Hatiku terlalu sedih melihat keadaan ibu begitu…
Pada 9 September 2010,
di sebelah pagi, aku terpaksa mencari kantin Hospital Melaka untuk membeli ais.
Apabila ibu sedarkan diri, ibu kerap meminta ais untuk dimasukkan ke dalam
mulut. Jika tidak ais, ibu akan minta aiskrim yang tidak bercampur susu. Sudah
2 hari ibu langsung tidak mahu makan apa-apa. Kakak ku cuba memberi ibu ku
makan bubur, tetapi ibu muntah. Mujur ibu boleh minum susu. Selepas waktu
makan, ibu meminta aku membacakan Surah Yassin untuk dirinya. Aku
ikutkan saja kata ibu. Pada bacaan ayat yang ke-58, ibu meminta aku
mengulangkan bacaannya sebanyak 3 kali dan meniupkan ke dahinya. Selepas
membaca Surah Yassin, ibuku meminta dibacakan Surah Ar-Rahman.
Kakak ku pula membantu membacakan Surah Ar-Rahman untuk ibu ku.
Pada sebelah petangnya,
saudara-mara sebelah ibu datang beramai-ramai menziarahi ibu. Mereka menasihatkan
aku dan kakak agar membawa ibu ku pulang ke rumah memandangkan esok sudah pun
Hari Raya. Setelah mendapat persetujuan ayah di kampung dan abang yang berada
di Ampang, aku dan kakak pada mulanya bersetuju untuk membawa ibu ku pulang ke
rumah dengan berbekalkan sebotol gas oksigen yang dibeli oleh kakak ku. Semua
urusan untuk membawa ibu ku keluar dari Hospital diuruskan oleh seorang akak
sepupu ku yang merupakan bekas Sister Jururawat di Hospital Melaka. Apabila
orang St John Ambulance yang ditugaskan menghantar ibu ku balik datang
bertanyakan tentang gas oksigen yang perlu ibu ku pakai sewaktu didalam
ambulance, orang St John memberitahu sebotol gas oksigen yang dibeli kakak ku
itu tidak cukup untuk ibu. Dimana sebotol gas oksigen itu hanya boleh bertahan
selama 3-4 jam sahaja. Jadi bagaimana selepas itu? Sedangkan ibu ku sudah tidak boleh bernafas sendiri tanpa alat bantuan
oksigen. Malah, ibu ku tidak lagi menggunakan
oksigen 5 liter per minit, tetapi sebanyak 8.5 liter per minit! Orang St
John cuba membantu dengan menyewakan 2 botol oksigen lagi yang mungkin boleh
tahan untuk sehari. Tetapi bagaimana pula untuk hari seterusnya? Dalam waktu
Raya, kedai sudah tentu banyak yang tidak buka, bagaimana untuk aku
adik-beradik mencari ‘refill’ oksigen untuk ibu ku nanti? Ya Allah~ Hanya tuhan
saja yang tahu betapa bingungnya aku dan kakak pada ketika itu.
Memikirkan keadaan itu, aku
meminta kakak ku menelefon Abang ku yang berada di Ampang. Meminta pendapatnya
sebagai seorang Abang. Sungguh aku tidak berani membuat keputusan. Aku tidak
mahu menjadi punca dan sebab penyebab diatas kematian ibu ku. Sungguh aku tidak
mahu. Bagi aku dan kakak, kami memang sudah tidak berani membawa ibu pulang ke
rumah. Aku tidak mahu ibu ku meninggal lantaran terputus bekalan oksigen. Ianya
umpama satu kesilapan besar mengeluarkan ibu dari Hospital. Akak sepupu ku dan
seorang Mak Cik ku sekali lagi cuba memujuk supaya aku dan kakak membawa ibu ku
pulang ke rumah. Aku menepis pujukan mereka. Aku hanya menunggu kata putus dari
Abang ku. Ketika kakak menelefon abang, abang ku juga bingung dengan keadaan
itu. Abang ku akhirnya hanya memberi jawapan ‘sukahati‘. Apabila abang
ku berkata begitu, kakak ku terus memberi kata putus untuk TIDAK membawa ibu
ku pulang ke rumah.
Pertengkaran berlaku. Aku
dan kakak menerima kata-kata kesat dari saudara-mara sebelah ibu. Mereka
mengatakan aku tidak sayang ibu dan sebagainya. Ketika itu, ibu pula
meronta-ronta supaya aku dan kakak membawa dirinya pulang ke rumah.
Sungguh, aku dan kakak bingung. Lebih menyedihkan apabila ibu sanggup
mengatakan yang aku bukan lagi anaknya. Subhanallah~
Sebaik saudara-mara sebelah
ibu ku keluar dari wad, dua orang sepupu ku dari sebelah bapa ku datang
memegang bahu ku. Ya, aku ada menghubungi sepupu sebelah bapa yang rapat dengan
ku untuk datang ke Hospital bagi membantu aku membawa balik kereta ku, manakala
aku akan bawa balik rumah kereta milik kakak ku. Sepupu ku juga membantu aku
dan kakak meredakan ibu ku yang terus meronta-ronta. Selepas ibu ku berhenti
meronta, sepupu ku menasihatkan aku dan kakak agar membawa ibu pulang ke rumah
sekurang-kurangnya 1 hari. Seperti kata sepupu ku, biarlah ibu ku merasa beraya
dirumah dan melihat rumahnya untuk seketika diwaktu raya ini. Akhirnya aku dan
kakak bersetuju membawa ibu ku pulang ke rumah. Tidak pasti untuk berapa hari.
Seperti yang dirancang, 2
orang sepupu ku membawa kereta ku pulang kerumahnya untuk sementara dan akan
mengembalikan kereta ku ke rumah ku pada Hari Raya Pertama. Aku membawa kereta
milik kakak ku, manakala kakak ku menemankan ibu ku didalam ambulance St John
untuk balik ke rumah di Grisek, Muar. Didalam perjalanan balik, aku tidak
putus-putus berdoa agar ibu ku selamat didalam perjalanan pulang ke rumah. Ibu
ku sampai dirumah lebih kurang pukul 5.00ptg, manakala aku sampai dirumah lebih
kurang 1/2 jam selepas itu.
Ketika aku sampai dirumah,
aku melihat kakak ku sedang berbincang dengan orang St John Ambulance mengenai
berapa banyak gas oksigen yang akan ibu ku gunakan. Sekurang-kurangnya cukup
sehingga hari Ahad. Aku tidak mempedulikan semua itu. Aku terus melihat keadaan
ibu ku yang sudah berbaring diatas katil bujang yang disediakan di ruang tamu
oleh Ayah dan Mak Cik ku yang tinggal serumah dengan keluarga ku. Ibu ku
meminta ais untuk dikemam didalam mulut. Aku menunggu ibu ku sambil
mengusap-usap tangan ibu ku. Orang St John Ambulance menyatakan rasa simpati
melihat keadaan ibu ku dan berjanji akan berusaha menghantar bekalan oksigen
yang cukup untuk ibu ku. Gas oksigen yang dibeli oleh kakak ku waktu di
Hospital Melaka hanya bertahan selama 2 jam sahaja. Lebih kurang pukul 6.30ptg,
ibu ku telah menggunakan gas oksigen untuk botol yang ke-2 yang kakak ku sewa
dengan orang St John Ambulance.
Ketika itu, masih ku ingat kata-kata terakhir
ibu ku meminta diri ku membantunya untuk menemui Allah s.w.t. Aku
bertanya kepada ibu, bagaimana untuk aku membantunya? Ibu ku menjawab, “Mintalah kepada Allah
s.w.t…” Semasa menunaikan Solat Asar, aku sempat berdoa agar
diberikan apa yang terbaik untuk ibu ku. Sesungguhnya hanya Allah s.w.t sahaja
yang mengetahui Qada’ dan Qadarnya. Dan aku redha jika pemergian ibu ku adalah
yang terbaik untuk ibu ku…
Apabila masuk waktu
Marghrib, kakak ku mendapat panggilan telefon dari orang St John dari
Muar memberitahu mereka ada membawa bekalan oksigen sebanyak 1 lori untuk
dihantar ke rumah ku. Selepas mendapat panggilan itu, kakak ku keluar rumah
dengan menaiki motor untuk mencari dimana lori St John itu berada tanpa membawa
handphone. Kali kedua orang St John telefon memberitahu yang mereka berada di
Pam Minyak berhampiran dengan kampung ku. Tiada pilihan lain, aku juga terpaksa
keluar rumah untuk mendapatkan lori St John yang menunggu di Pam Minyak
berhampiran kampung ku. Manakala ibu ku dijaga oleh Ayah dan Mak Cik ku.
Setibanya di Pam Minyak,
aku terkejut melihat beberapa biji botol oksigen yang panjangnya lebih kurang 5
kaki didalam lori tersebut. Subhanallah~ Aku tahu apa yang aku dan kakak cuba
lakukan ini tidak pernah dibuat orang. Tetapi kami tidak ada pilihan lain. Aku
meminta pemandu lori tersebut mengekori aku hingga sampai ke rumah. Tibanya
dirumah, mujur kakak ku sudah pulang dan sedang menunaikan Solat Marghrib. Pada
masa itu juga aku melihat ibu ku mulai nazak. Beberapa kali aku dan kakak ku
melafazkan 2 kali masyahadah di kedua-dua belah telinga ibu ku sehinggalah ibu
ku menghembuskan nafas yang terakhir…
Gas oksigen pada botol yang
kedua hanya terpakai sedikit sahaja. Ternyata Allah s.w.t telah mentakdirkan
ibu ku kembali ke Rahmatullah ketika berada di rumah. Aku tidak menyalahkan
sesiapa. Aku redha segala yang berlaku adalah takdir. Pertengkaran antara aku
dan saudara mara ibu ku hanya sebagai penyebab untuk aku dan kakak membawa ibu
ku pulang ke rumah. Dan yang pastinya, Allah s.w.t telah mentakdirkan ibu ku
akan meninggal dunia semasa berada dirumah…
Al-Fatihah, untuk Arwah Ibu
Ku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.