BEKAS POLISTERINA MEROSAKKAN SISTEM PEMBIAKAN DAN
PENYEBAB KANSER, LEUKEMIA
Source: Utusan Malaysia
Date: 09/05/2009
Ketika satu laporan khas
diterbitkan pada 1 Mei lepas mengenai penggunaan bekas makanan polisterina yang
mampu menjadi pembunuh senyap, Bidai tidak terkejut kerana Bidai pernah
meluahkan perkara yang sama tahun lepas. Laporan khas yang diterbitkan di
akhbar Utusan Malaysia itu menceritakan secara terperinci kenapa bekas
berwarna putih itu merupakan pembunuh senyap sama ada kepada manusia dan juga
kepada alam sekitar. Ia digunakan dengan meluas untuk mengisi makanan dan
ekoran kosnya yang murah dan mampu memberikan keuntungan lebih banyak kepada
penjual makanan, ia terus digunakan. Tak gunalah mana-mana syarikat yang
menghabiskan berjuta-juta ringgit hanya untuk membuat penyelidikan menggantikan
bekas polisterina itu dengan bahan lain sebab, jika bekas gantian itu dijual
dengan kos yang tinggi berbanding polisterina, ia pasti tidak akan mendapat
sambutan. Kecuali di Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengharamkan
penggunaan sebarang bekas polisterina melalui Kempen Tapau-Mania dan memberikan
alternatif terbaik buat warga pelajarnya sama ada mahu memilih untuk
menggunakan bekas sendiri atau bekas makanan mesra alam, Bidai dapat rasakan
jika ini tidak diguna pakai di mana-mana warung, di negara ini, pastinya
sambutan terhadap bekas mesra alam akan pudar. Sama juga seperti di USM,
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga telah mengorak langkah menggunakan
bekas mesra alam yang dikenali sebagai biopak di mana mereka juga mengenakan
tambahan 20 sen kepada pengguna. Jadi akhirnya, bagai mereka yang tidak mahu
membayar lebih 20 sen, mereka akan membawa bekas makanan sendiri dan ini
sedikit sebanyak mampu menghapuskan penggunaan bekas polisterina. Mengenai
bekas polisterina ini, Ketua Pusat Penyelidik Alam Sekitar Universiti Teknologi
Mara (UiTM), Prof. Ku Halim Ku Hamid berkata, biarpun belum ada kajian mendalam
mengenai tahap bahaya bahan itu namun bahan stirena yang berasal
daripada phemynl memang boleh memberi masalah ke pada sistem kesihatan.
Kata beliau, organ-organ dalam badan manusia akan menerima kesan secara tidak
langsung terutamanya kepada sistem pencernaan yang turut melibatkan darah serta
hati. ''Walaupun tiada kajian, namun kewujudan stirena ini tetap ada
dalam bekas makanan malah bertambah bahaya jika sumber makanan atau minuman
yang digunakan berasid,'' katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.
Ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini walaupun hakikatnya ia sudah
berkali-kali diberitahu dan diumumkan. Baru-baru ini, Presiden Persatuan
Pengguna Pulau Pinang, S.M Mohamed Idris berkata, bungkusan polisterina yang
mengandungi sedikit sisa stirena boleh menyerap masuk ke dalam makanan jika
bekas makanan itu masih baru disebabkan ia belum sebati manakala yang lama
mudah terurai akibat panas dan pancaran matahari. ''Stirena yang meresap dalam
makanan itu akhirnya akan masuk ke dalam sistem badan dan bakal menjejaskan
kesihatan manusia,'' jelasnya. Bidai baca kenyataan dia pun Bidai dah seram.
Saban hari kita bergelumang dengan bekas polisterina itu tanpa mengetahui
bahaya mengenainya yang mampu membunuh. Walaupun belum lagi ada kajian
terperinci, Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO), telah mengkelaskan stirena sebagai bahan
karsinogen Kumpulan 2B iaitu ejen penyebab kanser. Malah kesan buruk stirena
ini juga akan menyebabkan mutagen yang mampu merubah genetik dan
menyumbang kepada risiko kanser serta merosakkan sistem pembiakan. Lebih
memeranjatkan, pengeluaran polisterina juga membabitkan penggunaan benzena iaitu
bahan karsinogen yang dikaitkan dengan leukemia. Di Britain, kajian mendapati
bahawa polisterina dalam plastik yang digunakan untuk makanan mengandungi
sehingga 80 bahagian persejuta (bps) benzena. Kalau pembaca perasan,
negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain sudah lama tidak
menggunakan bahan polisterina pada setiap bekas makanan dan minuman mereka,
sebaliknya mereka lebih banyak menggunakan pembalut kertas yang mampu dikitar
semula. Ini berikutan, polisterina bukan hanya merosakkan sistem dalaman
manusia, namun ia juga mampu memberikan kesan buruk kepada alam sekitar
disebabkan ia mengambil masa hingga beratus-ratus tahun untuk terurai dengan
sepenuhnya. Jadi apa salahnya jika kita mengikut cara barat yang bagi Bidai
merupakan aspek positif. Ini tidak, budaya dan kegiatan negatif barat semakin
menjadi pilihan. Bayangkan kini semakin lama semakin ramai di kalangan kita
yang mengidap kanser tanpa disedari. Tanpa diketahui penyebab utama, Bidai
dapat rasakan polisterina menjadi antara penyebab penyakit itu kini semakin
ramai 'ahlinya'. Bukan untuk menyanggah kehendak Allah, namun kita sepatutnya
berusaha untuk mengelakkan perkara yang sudah terang dan diketahui umum. Jika
pembaca ingat, selain kisah polisterina yang diharamkan di USM pada ruangan
ini, Bidai juga pernah menulis mengenai sebuah syarikat tempatan Natures
Harmony Industries Sdn. Bhd. (NHI) yang membuat kajian dan penyelidikan
(R&D) menukar bekas polisterina dengan bahan bioteknologi ekstrak ubi kayu.
Apa gamaknya terjadi dengan syarikat ini yang pada Bidai melakukan R&D
dengan tujuan menyelamatkan manusia dan alam sekitar. Adakah bahan yang
dihasilkan oleh mereka kini mendapat sambutan? Jika mereka boleh menunjukkan
secara live dengan memakan bekas makanan yang dihasilkan mereka,
maknanya, ia juga mesra alam sekitar dan bagus untuk manusia. Jika ia bagus,
kenapa kerajaan tidak bertindak dengan menghapuskan secara berperingkat bekas
polisterina dan menggunakan bahan yang dihasilkan oleh NHI atau mana-mana
syarikat yang kini sudah berlumba-lumba untuk menghasilkan bekas mesra alam dan
manusia? Dengan cara itu, Bidai dapat rasakan, kos untuk menghasilkan bekas
makanan mesra alam itu dapat diturunkan dan secara perlahan, polisterina tidak
akan lagi wujud dan digunakan oleh orang ramai dan rakyat Malaysia akan lebih
sihat. Fikirkanlah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.