|
May 6, '08 9:45 PM
for everyone |
Seperti yang diketahui umum,
Malaysia amat kaya dengan ubat-ubatan tradisional dan alternatif seperti
digambarkan daripada struktur etnik di negara ini. Masyarakat pelbagai etnik
yang terdiri daripada pribumi atau Orang Asli, pelbagai suku kaum di Sabah dan
Sarawak, di samping tiga kumpulan etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India.
Sejarah juga membuktikan penggunaan herba masyarakat berbilang etnik di negara
ini untuk tujuan perubatan. Oleh itu Malaysia berada dalam kedudukan terbaik
untuk membangunkan ubat-ubatan tradisional menjadi produk komersial. Pada masa
yang sama, dengan adanya kemudahan penyelidikan moden dan dilengkapi
infrastruktur yang mencukupi, Malaysia mampu menjadi hab tumbuh-tumbuhan ubatan
Asia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Herbal Asia, Safinah Yaakob,
industri herba berpotensi menjana sumber kekayaan baru negara. Katanya,
Rancangan Malaysia Ke-9 yang dibentangkan tidak lama dahulu akan melonjakkan
pembangunan industri herba sebagai peneraju baru pertumbuhan ekonomi. Tumpuan
akan diberi kepada penggunaan bahan dan sumber asli dalam pertanian, penjagaan
kesihatan, aktiviti perindustrian dan bioinfomatik di mana pertumbuhan
sektor-sektor ini sungguh luar biasa.
‘‘Apa yang penting ialah sumber
asas yang kita miliki akan memiliki IP (harta intelek) sendiri yang secara
langsung menggalakkan penggunaan produk tempatan untuk gaya hidup yang sihat,’’
katanya. Pada masa ini, herba atau produk herba banyak digunakan sebagai
ubat-ubatan sampingan atau sebagai bahan alternatif untuk meningkatkan
kesihatan dan melawan penyakit. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui
peningkatan dalam jualan produk herba serta kewujudan banyak pusat kesihatan
yang menyediakan perubatan tradisional seperti aromaterapi, qi-gong,
refleksologi, terapi ozon dan sebagainya. Antara rawatan alternatif yang
menggunakan herba adalah untuk merawat sakit belakang, sakit sendi dan urat,
keletihan, migrain, menopaus, darah tinggi dan juga untuk tujuan kecantikan.
‘‘Ubat-ubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Melayu dianggarkan melebihi
1,000 jenis tumbuhan berbunga dan paku-pakis. Contohnya termasuklah tongkat
ali, kacip fatimah, pinang, lilit memanjat seruntum, daun inai, mengkudu,
pegaga, kecubung, hempedu bumi, dukung anak dan sebagainya,’’ kata Safinah.
Kesemua jenis tumbuhan dan herba tersebut amat bernilai dan mempunyai khasiat
yang tinggi.
Jintan hitam yang tumbuh di bumi
Arab dan India misalnya digunakan sejak ratusan tahun dahulu untuk mengubati
penyakit gout, asma, batuk dan demam. ‘‘Aloe vera yang kaya dengan pelbagai
jenis vitamin, mineral, asid amino, saponin, lignin, enzim, anthraquinoses dan
asid seliksitik digunakan sepenuhya dalam kaedah perubatan. “Hari ini, banyak
syarikat farmaseutikal yang sudah memanfaatkan penggunaan herba dari sumber
alam tropika yang kaya ini untuk dikomersialkan’’, kata Safinah. Malah, di
Malaysia sendiri, para penyelidik sudah mengkaji 1,300 jenis pokok dan tumbuhan
hutan untuk mengenal pasti kemungkinan nilai perubatan yang ada padanya. Dalam
masyarakat Orang Asli dan di kalangan orang Melayu, khasiat tumbuh-tumbuhan
hutan yang hidup liar sudah dikenalpasti sejak sekian lama. Apa yang diperlukan
adalah memanfaatkannya secara komersial. ‘‘Justeru, potensi sumber asli seperti
herba cukup luas dalam memperkenalkan produk-produk alternatif kesihatan dan
perubatan,’’ kata Safinah. Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, jutaan ringgit
diperuntukkan setiap tahun untuk menghasilkan makanan kesihatan bagi pasaran
tempatan dan antarabangsa. Dianggarkan, sebanyak 20 hingga 50 peratus penduduk
di negara membangun bergantung kepada perubatan alternatif dan komplementari
berasaskan tumbuhan. Fenomena yang sama juga ditunjukkan oleh negara-negara
Asia seperti Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia dan juga Malaysia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) pula menganggarkan bahawa permintaan global terkini terhadap
tumbuh-tumbuhan ubatan sekitar AS$14 bilion setahun dan menjangkakan
permintaannya akan terus meningkat menjelang 2050 menjadi AS$5 trilion. Angka
ini jelas membuktikan bahawa pasaran herba mempunyai potensi dan peluang yang
tinggi untuk berkembang maju. Laporan terkini juga menunjukkan bahawa jumlah
jualan produk herba tempatan mencecah RM100 juta bagi tahun 2000. Pasaran ini
meningkat kepada RM500 juta bagi tahun 2005 dan RM2.5 bilion pada 2010.
Perkembangan global industri ini pastinya memberi kesan signifikan kepada
pasaran herba Malaysia. Berikutan itu, Pameran Herba Asia 2008 yang diadakan
buat kali kelima minggu depan akan mendedahkan kepada masyarakat mengenai
kepentingan industri herba sebagai alternatif kepada penjagaan kesihatan.
Pelbagai produk yang dihasilkan dengan bahan semulajadi dari khazanah hutan
negara boleh didapati terutamanya produk-produk kesihatan yang berasaskan
kesihatan.
‘‘Sudah sampai masanya kita
menggunakan sepenuhnya sumber semulajadi yang terbukti semakin hari mendapat
permintaan yang tinggi kerana khasiatnya’,’’ kata Safinah yang menjadi
penganjur utama pameran. Pameran Dagangan Herbal Asia itu akan bermula pada 8
hingga 11 Mei ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur.
Pameran ini merupakan satu platform kepada semua yang terbabit di dalam
industri herba sama ada di dalam atau luar negara untuk bertukar idea dan
maklumat, di samping mendapatkan perkembangan terkini isu-isu semasa serta
teknologi-teknologi baru yang boleh membantu meningkatkan pertumbahan industri
tersebut. Antara bidang yang amat berkait rapat dengan industri herba ini ialah
kesihatan di mana kini, sudah banyak herba dan produk-produk semulajadi menjadi
asas dalam pembuatan ubat-ubatan mahupun makanan kesihatan. Justeru, pameran
ini akan memberi pendedahan yang lebih meluas mengenai pentingnya industri
herba di negara ini dalam aspek penjagaan kesihatan. Orang ramai yang ingin
mendapatkan maklumat lanjut mengenai pameran ini bolehlah menghubungi
sekretariat di talian 03-62803503/06 atau Faks: 03-62803607
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.