FRIM terokai khasiat herba
Oleh LAUPA JUNUS
Gambar WAHIDAH ZAINAL
Sekiranya kita mengenali Institut
Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai sinonim dengan kayu semata-mata,
itu adalah andaian yang tidak tepat. Menyedari betapa pentingnya khazanah rimba
bukan setakat kayu kayan sahaja, FRIM mengorak langkah ke hadapan dengan
memfokuskan kanta penyelidikan kepada pokok yang tidak diketahui kepentingannya
tetapi terbukti sangat penting iaitu herba.
Herba sebenarnya tidak pernah terlepas
daripada menjadi bahan penyelidikan institusi terbabit. Malah tumpuan
diperhebatkan lagi sejajar dengan matlamat FRIM mahu membantu usahawan herba di
negara ini menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing. Apatah lagi,
semakin ramai usahawan berkecimpung dengan industri herba dan tumbuhan renek
setelah menyedari akan khasiatnya yang boleh dikomersialkan. Tambahan pula,
pengguna kini lebih tertumpu kepada produk semula jadi dalam penjagaan
kesihatan, sekali gus membuka pasaran yang lebih luas.
Peluang FRIM untuk memberikan tumpuan kepada
penyelidikan dan pengurusan tanaman herba diperkukuhkan lagi dengan pelantikan
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod sebagai naib presiden Plant
Resources of South East Asia (PROSEA). "Sesetengah negara di peringkat
Asia Tenggara mempunyai kajian mengenai botani tetapi tidak memiliki keupayaan
menjalankan penyelidikan mengenai khasiat tanaman herba,'' ujar Abd. Latif. Beliau
berkata, pengusaha tempatan mempunyai kesungguhan untuk meneroka khasiat herba
tetapi kewujudan beberapa masalah seperti, kemasukan produk luar tanpa kawalan,
menjadikan hasil tempatan tidak menonjol. Pada pandangan beliau, hasrat
kerajaan untuk menggalakkan penerokaan khasiat herba tepat pada masanya. Menurut
beliau lagi, FRIM adalah antara institusi yang menyahut seruan tersebut dengan
menubuhkan Bahagian Tumbuhan Ubatan pada tahun 1995 untuk mengukuhkan
penyelidikan dalam bidang herba, sekali gus membantu pengusaha tempatan
membangunkan produk herba mereka. Dr. Abd. Latif menegaskan bahawa banyak
kajian khasiat herba perlu dikemaskinikan, antaranya ialah mengenal pasti
kandungan atau sebatian aktif sesuatu herba.
Profail herba atau kandungan sebenarnya perlu
ditentukan secara saintifik, memandangkan setiap tumbuhan ubatan mempunyai
penandanya tersendiri. Beliau berpendapat, FRIM mampu 'menggali' lebih banyak
kerahsiaan herba dan khasiat yang belum diketahui umum untuk dijadikan ubatan
atau bahan makanan yang baik untuk kesihatan. Sebagai contoh, mungkin ramai
tidak percaya bahawa golongan wanita juga banyak menggunakan tongkat ali. Ini
kerana tongkat ali didakwa mempunyai khasiat seperti meningkatkan daya imuniti
semulajadi badan serta menguatkan daya tahan melawan penyakit yang mampu
mencecah penyakit kanser.
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh
pengusaha tempatan ialah hasilan mereka tidak mendapat hak eksklusif atau tidak
dipatenkan. Kebanyakan penyelidik Barat yang mengetahui khasiat sesuatu herba
serta menjangka popularitinya, akan mempatenkan produk atau proses
penghasilannya.
Sebagai contoh, penyelidik Barat telah lama
mengetahui khasiat tongkat ali serta mendapat hak sepenuhnya untuk membuat,
mengguna dan menjual produk tongkat ali. Dengan itu, FRIM tampil dengan kemudahan
yang diperlukan untuk membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dalam
pembangunan produ. Antaranya, menentukan bahagian pokok tongkat ali yang paling
berkhasiat yang mana ia hanya boleh diketahui dengan menjalankan analisis di
makmal. Satu lagi penemuan yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana sesuatu
produk menunjukkan keberkesanan yang tinggi apabila digunakan bersama produk
lain. Sekadar contoh, tongkat ali lebih berkesan jika digunakan bersama ubi jaga. Bermakna sesuatu produk lebih
berkesan jika pasangannya lebih serasi, selain menggunakannya pada dos yang
sesuai. Contoh lain termasuk misai kucing yang digabungkan dengan pokok hempedu
bumi untuk menghasilkan minuman herba asli bagi rawatan darah tinggi dan
kencing manis.
Koleksi ekstrak herba
Menurut Dr. Abd. Latif lagi, FRIM kini membuat perjanjian dengan dua
syarikat penanaman herba untuk membekalkan sampel tumbuhan ubatan secara
berterusan dalam menjalankan kajian membangunkan serta memantau produk
berkaitan berdasarkan kepada beberapa perkara iaitu berapa lamakah tarikh lupus
produk berkenaan kandungan mikrob di dalamnya. Antara produk yang dikeluarkan
di FRIM berupa produk kosmetik, nutraseutical dan functional food yang
terbukti keberkesanannya, berkualiti dan selamat
digunakan. Sementara itu menurut Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Ubatan FRIM, Dr
Rasadah Mat Ali, pihaknya mengkaji khasiat sekurang-kurangnya 15 herba
setahun sejak 1995.
FRIM ketika ini mempunyai lebih dari 700
koleksi ekstrak herba yang telah dikaji dan 15 daripadanya diberi tumpuan
khusus. Sehingga kini FRIM telah mengeluarkan sebanyak 30 produk hasil dari
penyelidikannya di mana 15 produk ini telah dikomersialkan dalam industri herba
tempatan melalui proses perlesenan. Usaha tersebut ujar beliau semakin diperhebatkan
dengan penubuhan Herbal Technology Centre (HTC) yang akan memainkan
peranan dalam menawarkan perkhidmatan untuk industri pemprosesan herba. Taraf
GMP (Amalan Pengilangan Baik) yang dimiliki oleh HTC membolehkan industri herba
mendaftarkan produk yang dihasilkan melalui amalan ini dengan Kementerian
Kesihatan Malaysia. Kilang GMP amat diperlukan untuk menentusahkan tahap
keselamatan dan kualiti produk yang dihasilkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.