Isnin, 26 November 2012

Pengusaha herba berjaya


Pengusaha herba berjaya

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA 10 Dis. - Bermula dengan aktiviti berkebun pada masa lapang, seorang pesara guru kini mampu berbangga kerana menjadi antara pengusaha tanaman herba yang berjaya dan terkenal di Melaka. Guru terbabit, Ya'acob Sharif, 62, dan isterinya, Hairani Mat Taib, 62, juga menjadi satu-satunya pengusaha tanaman herba di Melaka yang menghasilkan produk minuman teh herba hasil daripada kegiatannya itu.

Berpegang pada kepercayaan kitab suci al-Quran bahawa setiap penyakit ada penawarnya kecuali maut, membuatkan Ya'acob semakin serius menceburi tanaman herba dan memasarkan produk itu melalui syarikatnya, Ya'acob Berkat Enterprise. ''Alhamdulillah, dengan izin Allah, perniagaan tanaman herba saya semakin maju dan telah berjaya menyembuhkan banyak penyakit terutamanya kencing manis, darah tinggi dan kanser. ''Semuanya dilakukan sendiri bermula daripada menanam benih pokok herba sehinggalah memprosesnya menjadi serbuk teh, minuman dan kordial teh," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di taman herba di rumahnya di Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru, di sini baru-baru ini. Mengusahakan tanaman kira-kira 75 jenis herba di tanah seluas 1.3 hektar di rumahnya sejak lima tahun lalu, Ya'acob mengakui, kejayaan itu tidak dicapai dalam sekelip mata. ''Mula-mula dulu, sekitar tahun 1974, saya berhasrat untuk membuka kebun buah-buahan di tanah ini. Entah mengapa, tiba-tiba minat beralih pula kepada tanaman herba kerana lebih mudah dijaga dan jarang diceburi ketika itu," katanya. Tambahnya, sejak itu minatnya dalam bidang herba semakin mendalam dan mula memikirkan bagaimana hendak menjadikannya sebagai satu perniagaan. ''Banyak kali juga jatuh bangun dalam bidang ini kerana sambutannya yang agak sukar ketika itu. ''Pada tahun 2006, saya mula menumpukan sepenuh perhatian dan mula mengkomersialkan tiga jenis herba teh yang popular di Indonesia iaitu misai kucing, mas cotek dan kaca beling. Katanya, tidak terhad kepada penghasilan produk teh herba, rumah saya sentiasa dikunjungi para pesakit dalam dan luar negara yang mencari produk herba untuk menyembuhkan penyakit serius. Tambahnya, mungkin kerana minat dan pengalamannya yang mendalam dalam bidang tersebut membuatkan dia terus dipercayai untuk mendapatkan nasihat berkaitan herba yang sesuai untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Antara jenis herba lain yang ditanam di kawasan rumahnya yang sering mendapat permintaan ialah buah mahkota dewa yang berkesan untuk merawat semua jenis kanser, daun dewa (jantung), hempedu bumi (kencing manis dan darah tinggi tahap serius) dan mempahit (buasir). Menurut Ya'acob, selain menghadiri hampir 15 jenis kursus berkaitan herba anjuran universiti dan agensi berkaitan, dia juga telah mengikuti Kursus Pensijilan Perubatan Herba anjuran Yayasan Pengembangan Tanaman Ubat Karyasari di Jakarta, Indonesia. ''Di Indonesia, perubatan cara tradisional telah lama berkembang dan terbukti memberi kesan yang baik merawat penyakit selain perubatan cara moden. ''Selain itu, saya juga telah menerima banyak jemputan daripada universiti dan agensi kerajaan untuk memberi ceramah berkaitan herba," katanya. Tambahnya, walaupun terpaksa bersaing dengan pengeluar makanan herba lain, produk herba keluaran syarikatnya mempunyai tarikan kerana ditawarkan pada harga yang murah dan tidak mencampurkannya dengan sebarang bahan pengawet. Mereka yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut boleh menghubungi Ya'acob di talian 012-3586770 atau syarikatnya di 06-2830864.

Sumber: Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.