Sabtu, 12 Januari 2013

Pasar malam tempat tibi menular


Pasar malam tempat tibi menular


Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
luqman.ridhwan@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Siapa sangka pasar malam yang selama ini menjadi tempat tumpuan orang ramai membeli pelbagai barangan basah serta makanan kini menjadi antara kawasan yang berisiko tinggi merebaknya penyakit berjangkit terutamanya tuberculosis atau tibi. Penyebaran penyakit batuk kering itu dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membawa virus tibi di tempat-tempat awam terutamanya pasar malam dan menyebarkannya kepada penduduk tempatan.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, situasi itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila pada tahun lalu sahaja pihaknya telah menerima kira-kira 1,500 kes dengan 15 peratus daripada penghidapnya terdiri daripada warga asing. "Kita bimbang dengan angka berkenaan kerana mereka (PATI) ini dilihat semakin ramai berada di kawasan awam seperti pasar malam dan pada masa yang sama menyebarkan virus penyakit tibi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, pelarian dari Myanmar merupakan antara penyumbang utama penyebaran penyakit tibi terutamanya di sekitar ibu negara khususnya di kawasan Pudu dan Bukit Bintang. "Warga Myanmar yang rata-rata kebal kepada ubat penyakit itu biasanya telah pun menghidap tibi sebelum masuk ke negara ini," ujar beliau. Menurut Abdul Razak, keadaan itu telah meningkatkan risiko penyebaran penyakit tibi dalam kalangan penduduk tempatan yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan mereka.

Katanya, kadar penyebaran penyakit itu dalam kalangan mereka juga adalah tinggi kerana golongan tersebut kebiasaannya tinggal beramai-ramai di sebuah rumah. "Sebuah rumah biasanya didiami oleh kira-kira 40 orang pelarian dan ia memudahkan penyakit itu disebarkan antara mereka kerana keadaan itu pasti mewujudkan sistem pengudaraan yang tidak baik. "Golongan yang dijangkiti ini pula seterusnya akan ke kawasan awam dan menyebarkan penyakit itu kepada orang ramai," ujarnya.

Selain warga Myanmar, PATI dari Indonesia, Nepal serta Bangladesh turut menyumbang kepada peningkatan penyakit tibi di negara ini. "Selain pasar malam, pasar-pasar awam juga menjadi kawasan penyebaran penyakit itu seperti Pasar Borong Selayang yang dipenuhi oleh warga Bangladesh," ujarnya.


 

Lebih ramai lebih bagus


Oleh ROSYAHAIDA ABDULLAH
rosyahaida@hmetro.com.my

KATA orang, kerja di Kuala Lumpur gajinya besar dan seseorang itu boleh menikmati kemewahan dengan cepat. Memiliki kereta import, rumah selesa, telefon bimbit canggih mahupun pakaian berjenama bukan mustahil, asalkan rajin berusaha dan tidak cepat putus asa. Namun, adakah pendapat ini benar-benar berlaku kepada semua yang bekerja di Kuala Lumpur atau sekadar telahan? Benarkah golongan berkerjaya di ibu kota berjaya mengecapi impian masing-masing atau ia hanya sekadar cerita dongeng?

Bagi sesetengah golongan muda yang membesar dalam persekitaran kampung khasnya, keinginan merasai suasana berbeza pasti pernah singgah di fikiran. Filem mahupun drama di televisyen yang banyak menonjolkan kemodenan serta kemewahan dunia kota sedikit sebanyak mempengaruhi minda golongan ini. Tanpa mereka sedari, setiap langkah di kota besar menuntut wang ringgit untuk dibelanjakan. Tol, parkir dan makanan yang berganda harganya berbanding kawasan luar bandar umpama ‘membakar’ sekurang-kurangnya RM50 sebaik saja seseorang itu melangkah keluar daripada pintu rumah.

Tidak kira lelaki atau perempuan, kedua-duanya perlu mengharungi kos hidup yang kian meningkat di ibu kota. Walaupun bekerja, perbelanjaan tinggi memerlukan mereka bijak mengatur kewangan. Kalau individu bergaji mencecah RM3,000 pun merungut tidak cukup wang, apatah lagi golongan yang pendapatannya tidak sampai empat angka sebulan. Berikutan itu, setiap warga bandar raya, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, perlu berjimat cermat dalam menjalani hidup serta menyesuaikan diri di kota metropolitan yang seolah-olah mempunyai harga untuk setiap perkara dilakukan.

Kebanyakan individu yang keluarganya sedia menetap di bandar raya ini mungkin lebih bernasib baik kerana boleh tinggal di rumah sendiri, tetapi bagaimana pula dengan golongan muda yang merantau ke Kuala Lumpur semata-mata ingin memperoleh gaji lumayan, sekali gus memperbaiki kehidupan di kampung? Mahu atau tidak, mereka perlu menyewa rumah untuk dijadikan tempat tinggal dan berkongsi sebuah rumah secara beramai-ramai. Inilah pilihan generasi muda masa kini dalam mengurangkan tekanan ekonomi bandar besar.

Sama ada ingin berjimat mahupun pendapatan sememangnya tidak mencukupi, kedua-duanya alasan serupa bagi golongan ini untuk bersesak dalam satu rumah tanpa memikirkan keselesaan sendiri. Pada pandangan mereka, lebih ramai lebih bagus kerana beban sewa rumah semakin ringan. Luarannya, mereka mungkin kelihatan tenang dan berupaya menyesuaikan diri dengan cara hidup sedemikian rupa tetapi di sebalik ketenangan itu, golongan perantau ini pasti pernah mengimpikan ruang peribadi khusus untuk diri, setidak-tidaknya bilik sendiri.

Kalaupun ada yang menafikannya, lebih-lebih lagi lelaki, daripada segi psikologi pun setiap manusia sememangnya memerlukan ruang untuk diri sendiri tanpa kehadiran individu lain. Tidak salah tinggal beramai-ramai di bawah atap sama, namun ia boleh memberi kesan negatif jika tidak kena caranya. Peruntukan maksimum RM100 hingga RM150 sebulan untuk membayar sewa rumah dianggap mereka sebagai angka terbaik yang membolehkan gaji digunakan untuk tujuan lain seperti ansuran kereta, pinjaman pendidikan, wang saku ibu bapa serta simpanan.

Jenis rumah yang sering menjadi pilihan mereka tentunya flat kerana kadar sewanya lebih murah atau menurut golongan ini, kadarnya lebih mampu dibayar berbanding rumah teres atau kondominium.
Namun, ada juga yang memilih apartmen kos rendah dan rumah kedai, semuanya bergantung kepada kemahuan dan cita rasa masing-masing. Melihatkan suasana meriah sekitar flat yang menjadi tumpuan majoriti golongan muda, terdetik seketika bagaimana mereka boleh bertahan tinggal di kawasan seperti itu. Belum sampai di pintu rumah pun, bermacam masalah jelas kelihatan.

Paling ketara adalah tempat letak kereta yang sangat sesak dan tidak berupaya menampung jumlah kenderaan penghuni. Ia tidak hanya memberi tekanan kepada pemandu untuk mencari ruang parkir selepas pulang daripada kerja, malah boleh mengakibatkan pertengkaran mahupun kerosakan kereta gara-gara berebutkan tempat letak.kereta yang terhad. Kemudian, ruang koridor pula menunjukkan betapa hari dilalui penghuni tidak selalunya baik. Ada yang kotor, kasut bersepah, air bertakung dan tidak kurang juga dengan jiran menyidai kain di jemuran orang lain.

Mungkin ramai menyangka majoriti penghuni flat adalah golongan berkeluarga, tetapi sebenarnya boleh dikatakan hampir setiap aras flat itu pasti ada penyewa bujang. Berdasarkan rekod Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sehingga akhir tahun lalu, separuh iaitu 800,728 daripada 1.67 juta penduduk Kuala Lumpur adalah golongan belia berumur 15 hingga 40 tahun. Jadi, bayangkan betapa ramai golongan muda di ibu kota ketika ini.

Sebaik melangkah masuk ke rumah golongan bujang, penulis terkejut melihat kepadatan ruang dalam rumah. Kalau ruang tamu pun diletakkan almari baju dan tilam, ruang mana lagi yang boleh tetamu duduk. Di rumah lelaki khususnya, perkara biasa yang sering kelihatan adalah ruang tamu dipenuhi tilam dan meja komputer. Di situlah mereka bermain permainan komputer dan di situ juga mereka tidur. Terfikir seketika, nyenyakkah mereka tidur dalam keadaan sebegitu. Bagi lelaki yang mempunyai alat muzik seperti gitar, keyboard mahupun dram contohnya, rumah mereka ibarat studio muzik tidak bertauliah.

Baunya pula, hanya mereka yang pernah tinggal sebumbung dengan teman lain secara beramai-ramai tahu hakikatnya. Walau sebersih mana rumah dijaga, bau memang sukar dikawal disebabkan saiz rumah kecil manakala barangnya pula terlalu banyak, menjadikan persekitaran dalam rumah sentiasa lembap. Tidak cukup dengan itu, ada pula rumah yang dapurnya diubah suai menjadi bilik tidur. Ada yang berpendapat ia mengarut, tetapi jika ia boleh mengurangkan kadar sewa yang perlu dibayar setiap penghuni, perkara itu dirasakan terbaik buat penyewa yang mahu berjimat asalkan bukan bergelandangan. Kunjungan ke beberapa rumah perempuan pula mendapati kebersihan lebih terjaga, namun kesesakan ruang tiada bezanya. Pantang ada saja bucu yang boleh digantungkan penyangkut baju (hanger), pakaian yang baru dicuci pasti digantung di situ, termasuk di dapur sekalipun. Di bilik mandi pula, baldi tersusun di belakang pintu yang semuanya mempunyai baju direndam. Jika empat pengguna bilik mandi terbabit, empat juga baldi yang ada, tidak termasuk baldi simpanan air. Bayangkan betapa sempitnya ruang bilik mandi yang sedia kecil itu.

Namun menariknya, waktu lapang golongan perempuan sering diisi dengan aktiviti memasak. Cukup semalam bermalam di rumah mereka pada hujung minggu, seawal 7 pagi lagi mereka keluar ke pasar untuk membeli keperluan dapur. Tiga orang ke pasar sebelum masak makanan tengah hari, dua orang kemas rumah, dua orang cuci tandas dan stor, manakala tiga lagi pulang ke kampung masing-masing. Apapun masalah yang jelas wujud di depan mata dek ‘rumah sardin’, ramai pula golongan muda yang menyangkal masalah berkenaan, sebaliknya menganggap keselamatan lebih terjamin kerana tidak tinggal berseorangan. Malah, kata mereka, duduk beramai-ramai lebih berkesan dalam mengurangkan tekanan kerana masalah di tempat kerja atau peribadi dapat dikongsi bersama teman serumah berbanding tinggal bersendirian.

 

pssst :

Sebenarnya suntikan BCG semasa anda kecil dan semasa anda berumur 12 tahun hanya mampu melindungi anda dalam tempoh 10 hingga 15 tahun sahaja .... selepas itu, kadar pengeluaran antibodi badan anda akan makin menurun. Justeru itu, anda perlu kuatkan antibodi badan anda dengan memakan enzim hidup yang boleh didapati dari buah2an atau sayur sayuran mentah.... Kalau anda pergi kimoterapi atau radioterapi memanglah kadar daya tahan badan anda untuk melawan penyakit akan menurun dengan mendadak ...  Pekerja asing suka duduk bersesak sesak dan tinggal dalam tempat lembab dan sempit. Ini memudahkan penularan banteria Mycobacterium Tuberculosis dari tersebar kepada anda melalui udara....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.