Tabiat Insan
Orang sekarang adalah berlainan dengan orang zaman dahulu. Zaman sekarang, anak-anak telah berani membentak orang tua atau melawan kata orang tua-tua. Berjalan di depan orang tua sudah tidak lagi tunduk, dan apabila orang tua bercakap, budak-budak dah berani menyampuk. Banyak pula yang mendapat telefon bimbit canggih sebagai hadiah dari ibu bapa yang berduit. Keadaannya sungguh berbeza dengan 30, 40 atau 50 tahun dahulu dimana budaya Melayu itu masih utuh, tebal dan diikuti. Tidak seperti sekarang, ada ibu-ibu sanggup membunuh anak sendiri selepas ia melahirkan. Ada yang sanggup mencampakkan anak dari jendela. Ia adalah disebabkan perangai tiada kasih sayang dan tiada menggunakan akal fikiran yakni tidak bertanggungjawab. Kesalahan itu lebih kepada lelaki yang tidak bertanggungjawab kerana tanpa lelaki yang memujuk rayu perempuan, perempuan itu tidak boleh mengandung ( Kecuali kisah Nabi Isa a.s. ). Sesungguhnya manusia dijadikan Allah dengan sebaik-baik bentuk. Apabila Quran dipinggirkan, maka manusia pun sudah berperangai seperti manusia jahiliah. Tanggungjawab serta kasih sayang telah hilang. Hanya nafsu dan matlamat keduniaan yang dijadikan Tuhan.
Sekarang ini, guru sekolah sudah tidak lagi seperti dulu. Kalau dulu, guru amat dihormati bukan sahaja oleh murid tetapi dipandang tinggi di kalangan ibu bapa. Zaman sekarang sudah ramai ibubapa membawa kes ke mahkamah walaupun guru mencubit atau merotan untuk kebaikan pelajar. Kereta guru digores, dicalarkan, dibaling batu atau dipancitkan. Terdapat juga kisah guru yang dicederakan atau kisah bapa membawa parang ke sekolah. Zaman dulu, kalimah yang diucapkan oleh bapa apabila menghantar anak kepada guru adalah lebih kurang seperti berikut, ‘ Wahai guru, saya serahkan anak dibawah tadbir saya kepada jagaan cikgu. Tolonglah cikgu bentuk anak saya ini menjadi orang baik-baik. Dengan rotan yang saya beri ini, cikgu hukumlah anak saya jika ia berbuat salah. Jangan luka, cedera, patah riuk atau cacat sudahlah,’’ selepas itu anak memang menghormati guru dan takut berbuat kesalahan. Jika dicubit perut tarik pulas sehingga berbekas seminggu pun tidak pernah diadukan kepada orang tua takut kena marah sekali lagi oleh ibu ayah di rumah. Saya pernah beberapa kali dicubit sebegini oleh guru berlainan dan saya cukup takut melaporkan kepada ibu bapa. Keadaannya sangat berbeza sekarang, dimana guru telah diheret ke mahkamah kerana merotan budak. Begitu juga dengan siaran radio dimana ayat, intonasi, nada yang digunakan kurang cermat atau kurang berhati-hati sehingga sehingga kadangkala kedengaran kasar di kalangan para pendengar ( kecuali radio ikim ). Justeru eloklah dipelajari ilmu juruhebah radio super senior dengan bertanya awal sebelum mereka menutup mata.
Terdapat juga insan yang tidak bertanggungjawab iaitu membuang sampah dari kenderaan lalu menyemakkan halaman rumah orang di kiri kanan jalan. Sampah plastik tidak mudah terurai dan ia mencemarkan alam sekitar. Lebih buruk bila ada insan yang membuang sampah ke dalam sungai dan mencemarkan sungai. Sebagai contoh, akibat pencemaran, sekarang tiada apa ikan pun yang boleh hidup dalam Sungai Klang. Salah kita sendiri tidak menjaga sungai dan sungai dijadikan tempat buangan sampah. Apabila sampah seperti minyak hitam, gris, sisa toksik, sisa plastik dibuang di hulu sungai, di hilir sungai pula kawasan mengambil air. Jika air sungai tercemar, ia adalah salah kita sendiri yang membenarkan air sungai kita tercemar dengan pelbagai bahan beracun. Bahan beracun apabila masuk ke dalam badan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit antaranya adalah penyakit barah. Justeru adalah amat penting kita menjaga kesejahteraan sungai kita kerana sungai adalah milik generasi hari ini dan juga generasi yang kemudian.
Nota: Sekiranya ada salah dan silap, dipohon dapat diperbetulkan kesalahan ini. Setiap teguran dan penambahbaikan dari pembaca sekalian adalah sangat sangat dihargai dan diharapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.