Keadaan bertambah buruk selepas rawatan moden
perubatan!
18
Disember 2011
BALING - Seorang penduduk Kampung
Rambong Batu 7, Baling, terpaksa menanggung derita barah hidung sejak dua tahun
lalu. Barah yang berpunca daripada ketumbuhan kecil di dalam hidung Zakaria
Awang, 71, bertambah
teruk selepas melakukan pembedahan. Isterinya, Salmah Mat, 61,
berkata, suaminya pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada tahun
lepas namun keadaannya kembali teruk semasa menjalani proses rawatan susulan. “Semasa
pembedahan, isi bahu kanan suami diambil untuk menampung isi hidung suami yang
dibedah. Namun, pembedahan
itu tidak memberikan hasil malah menjadikan keadaan suami bertambah teruk
sehingga sekarang. “Kini, barah semakin membesar sehingga
meluruhkan semua giginya. Suami tidak lagi mampu mengunyah makanan pepejal
melainkan makanan yang berbentuk cecair. “Keadaannya semakin lemah dan terpaksa
mengharapkan sokongan keluarga untuk bergerak,” katanya. Menurutnya, pelbagai
cara yang digunakannya untuk mengubati penyakit suaminya namun tidak memberikan
sebarang perubahan yang positif. “Saya telah ke Hospital Sungai Petani, doktor
berkenaan mengatakan bahagian hidung suami perlu dibuang untuk mengelakkan
barah ini terus merebak. “Tetapi, saya terbayangkan, apakah suami mampu hidup
dalam keadaan wajah yang tidak berhidung. Saya berharap, keadaan suami pulih
tanpa membuang bahagian hidungnya. “Selain itu, saya juga telah membawa suami
ke hospital swasta di Pulau Pinang, doktor berkenaan tidak mampu
mengambil kes suami dan menyarankan menggunakan khidmat rawatan tradisional,” katanya.
Menurutnya, dia telah berjumpa ratusan pengamal perubatan tradisional bagi
membantu memulihkan keadaan suami, namun, rawatan itu juga tidak berhasil. “Saya
turut bercadang membawa suami ke Thailand untuk mendapatkan rawatan, namun
disebabkan faktor jarak dan kewangan, saya terpaksa membatalkan hasrat ini. “Saya
dan anak-anak telah berikhtiar pelbagai cara untuk mengubati penyakit suami
namun tiada sebarang perubahan yang berlaku sehingga kini. “Ada sesetengah
pihak yang menyarankan agar membawa suami berjumpa dengan doktor pakar namun
kekangan kewangan membatalkan segalanya,” katanya. Sesiapa yang mempunyai
kemahiran dan ingin membantu membantu Zakaria Awang boleh menghubungi Pengerusi
Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Rambong, Sofian
Isa di talian 019-4283919.
KOTA BHARU – Bekas pemain Kelantan,
Sairozi Daud kini terlantar hampir sembilan bulan setelah dikesan mengidap
penyakit barah tengkuk sejak awal tahun ini. Sairozi hanya sempat beraksi
sekali sahaja bersama pasukan Johor FC menentang KL Plus FC dalam saingan Liga
Super pada bulan Februari lalu sebelum dikesan mengalami penyakit tersebut dan
terus menjalani pembedahan di Johor Bahru. Sairozi, 32 tahun, ketika dihubungi
berkata, beliau pernah menjalani pembedahan pada 12 Februari lalu di Hospital
Pakar Sultan Abdul Samad, Johor Bahru dan segala perbelanjaan ditanggung oleh
pengurusan Johor FC selaku majikannya sebelum ini.
“Pembedahan dilakukan pada bulan
Februari lalu dan saya terlantar hampir sembilan bulan disana sebelum dibawa
pulang ke kampung halaman pada bulan lalu setelah kontrak dengan Johor FC
berakhir sejurus kempen Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian
semalam. “Sehingga kini saya sudah pun menjalani rawatan kimoterapi sebanyak
tiga kali dan radioterapi sebanyak 36 kali dan kesakitannya memang terasa
sangat-sangat. “Keadaan masa sekarang, saya mengalami bengkak-bengkak didada
dan hanya mampu terlantar diatas tilam sepanjang masa dan tidak terdaya
melakukan apa-apa kerja. Saya hanya mampu duduk bersimpul sahaja. Hendak mandi
pun susah apatah lagi hendak membuang air,” katanya. Menurut Sairozi atau lebih
dikenali panggilan ‘Abe’ dikalangan peminat bola sepak tempatan berkata, beliau
tidak terdaya melakukan apa-apa kerja memandangkan tidak mempunyai daya
ketahanan badan yang tinggi dan dinasihatkan berehat sahaja oleh doktor pakar.
“Sejak balik ke kampung halaman bulan
lalu, saya tidak lagi menjalani rawatan dihospital kerana saya mengalami kesakitan
yang amat sangat. Namun, saya ada juga mendapatkan rawatan tradisional bagi
mengubati penyakit ini,” katanya yang kini tinggal di Kampung Pangkal Nering
Timur, Pulai Chondong dekat Machang. Sairozi memulakan kerjayanya selaku pemain
bola sepak Kelantan apabila membantu negeri ini memenangi kejuaraan Piala Emas
Raja-Raja pada tahun 2004. Setahun kemudian beliau membantu Kelantan muncul
juara Piala FAM sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya. Pada
tahun 2007, beliau bersama-sama seorang lain pemain, Azlan Ismail mengambil
keputusan berhijrah ke Perlis sebelum memilih berkelana ke Gurun, Kedah bermain
bersama kelab Kuala Muda NAZA dalam Liga Perdana. Pada tahun lepas, beliau
sekali lagi berhijrah ke Johor, membantu negeri tersebut layak beraksi dalam
Liga Super pada musim ini sebelum bersama Johor FC pada tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.