ARKIB : 03/02/2007
Suami koma, isteri saman Pusrawi
Oleh:
AMIRUDDIN HARUN
|
|
KUALA LUMPUR 2 Feb. – Seorang
juruanalisis sistem Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menyaman Hospital
Pusrawi Sdn. Bhd. dan tiga doktor pakar kerana didakwa cuai setelah beliau
tidak sedarkan diri sejak lima bulan lalu sehingga kini akibat kecederaan otak
selepas menjalani pembedahan tulang belakang.Roslan Mohd. Ali, 44, dari
Dengkil, Selangor yang bekerja di Ibu Pejabat BSN, Jalan Ampang di sini
mengemukakan saman tersebut bagi menuntut ganti rugi lebih RM500,000.
Writ saman difailkan melalui firma
guaman, Tetuan Cheow Wee di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.Hadir di
mahkamah hari ini ialah isteri Roslan, Rosemah Ibrahim bersama empat anaknya
berusia dalam lingkungan sembilan dan 16 tahun serta ibu Rosemah, Ramlah Raof,
71, yang berkerusi roda.Dengan linangan air mata, Rosemah ketika ditemui
pemberita memberitahu, suaminya yang terlantar di katil hospital itu sehingga
hari ini masih belum sedarkan diri walaupun mampu menunjukkan sedikit tindak balas
melalui anggota badan.Roslan selaku plaintif menamakan hospital tersebut
sebagai defendan pertama, pakar bius, Dr. Ainy Md Aris (defendan kedua) dan dua
pakar ortopedik, Dr. Mohd. Ismail Maulud serta Dr. Didi Indra Tjahya,
masing-masing defendan ketiga dan keempat.
Dalam pernyataan tuntutannya, Roslan
yang aktif bersukan dan mewakili BSN dalam sukan tenis, bola tampar dan boling
mendakwa, beliau dimasukkan ke hospital itu pada 2 September lalu untuk
mendapatkan rawatan sakit belakang dan telah menjalani pembedahan.Menurutnya,
defendan kedua, ketiga dan keempat secara bersama atau berasingan telah
melakukan kecuaian yang mengakibatkan tiub pembekal oksigen terkeluar dari
saluran pernafasan beliau.Ekoran kejadian itu, plaintif mendakwa pernafasannya
terhenti akibat ketiadaan bekalan oksigen dan ujian elektroensefalogram (EEG)
mengesahkan beliau mengalami kerosakan otak.Akibat kekurangan bekalan oksigen,
dakwa beliau, otaknya gagal berfungsi dengan normal menyebabkannya seperti
bangkai bernyawa (vegetative state) yang memerlukan penjagaan berterusan
sepanjang hidup.
Plaintif mendakwa, beliau kini
mengalami kesakitan, kesengsaraan dan kehilangan nikmat kehidupan setelah
terlantar di katil hospital tanpa mampu berbuat apa-apa.Roslan juga mendakwa
kerosakan otaknya tidak boleh dipulihkan.Beliau menuntut ganti rugi teladan dan
ganti rugi punitif masing-masing berjumlah RM250,000, selain kehilangan
pendapatan sebanyak RM5,687 sebulan mulai tarikh pemberhentian kerja berkuat
kuasa hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.