Mencegah Barah Pangkal Rahim (Kanser
Servik)
Jun 27th, 2011 by Admin.
BARAH pangkal rahim atau lebih dikenali sebagai kanser
servik adalah barah ketiga paling tinggi menyerang wanita di
negara ini. Antara faktor risiko penyakit barah pangkal rahim disebabkan
kehadiran antibodi kepada human papillomavirus (HPV), kumpulan virus yang sama
yang menyebabkan ketuat kelamin (genital wart).
Di Malaysia, masih ramai wanita yang
kurang mengambil berat mengenai kanser pangkal rahim sedangkan ia perlu
pencegahan awal iaitu pada usia meningkat remaja. Justeru, bagi terus
menimbulkan kesedaran terhadap penyakit itu, Persatuan Barah Kebangsaan
Malaysia (NCSM) dengan sokongan GlaxoSmithKline, menganjurkan Kempen Cegah
Barah Rahim Dengan Bergaya Bersama Rakan Karib.
Ia adalah lanjutan kempen Power Over
Cervical Cancer (POCC) yang dilancarkan pada Julai 2009, dengan matlamat
mewujudkan kesedaran berkekalan mengenai pangkal rahim dan pada masa sama,
menggalakkan wanita berbincang dengan pakar kesihatan serta mendapatkan
perlindungan. Ketua Eksekutif dan Pengarah Perubatan Persatuan Kanser
Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram berkata, masih ramai
wanita tidak mengetahui mengenai penyakit kanser pangkal rahim.
“Kanser pangkal rahim adalah
penyakit ketiga tertinggi menyerang wanita Malaysia selepas kanser payudara dan
kanser kolorektal. Jika dibiarkan, boleh menjejaskan kerjaya dan keluarga. “Di
Asia Pasifik, penyakit ini membunuh wanita setiap empat minit. Malangnya, masih
ramai yang tidak mendapat kesedaran dengan membuat pemeriksaan kesihatan awal
mencegahnya,” katanya selepas merasmikan kempen itu, baru-baru ini.
Bekas pesakit, Genevieve Amarit Kaur
Sambhi, 37, berkata dia tidak pernah menyangka akan mendapat penyakit kanser
servik disebabkan tiada siapa dalam keluarganya menghidapi penyakit itu. “Saya
mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, tidak minum arak dan
berjoging setiap hari. Saya juga tidak pernah berasa sakit sehinggalah disahkan
menghidap kanser itu pada April 2009. “Saat diberitahu mengenainya, saya hanya
memikirkan mati. Saya juga seakan mahu putus asa untuk hidup dan tidak dapat
bayangkan jika keluarga, anak dan kawan tiada di sisi menyokong,” katanya yang
sudah pulih daripada penyakit itu. Tambah Genevieve, tiada simptom yang dapat
mengesan seseorang itu mempunyai kanser pangkal rahim. Disebabkan itu, setiap
wanita digalakkan menjalani pemeriksaan pap smear sebagai langkah pencegahan.
“Kepada wanita yang disahkan
menghidap kanser pangkal rahim, dinasihatkan supaya terus kuat melawan penyakit
itu dan tidak mudah putus asa. Dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor
secara berterusan,” katanya.
P/S
: Kalau suami anda merokok, risiko anda mendapat kanser pangkal/mulut rahim
adalah lebih tinggi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.