Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor tipu pendaftaran bayi


Doktor tipu pendaftaran bayi

Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my

TAI KONG dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas didakwa semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang doktor yang dikaitkan dengan sindiket jual beli bayi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap empat tuduhan menipu Jabatan Pendaftaran Negara dan empat tuduhan memalsukan dokumen berhubung pendaftaran empat orang bayi di daerah ini bulan lalu. Dr. Robert Luk Tai Kong, 62, rakyat tempatan tetapi menetap di Singapura, tenang dan faham kesemua pertuduhan yang dibuat di Mahkamah Sesyen berasingan.
Mahkamah membenarkan Tai Kong dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan kesemua kes terbabit.Dia juga diarahkan untuk melaporkan diri di Balai Polis Sentral Johor Bahru pada minggu pertama setiap bulan. Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 417 yang dibuat di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin, Tai Kong didakwa memperdayakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Johor pada pukul 11.43 pagi, 25 Oktober tahun lalu. Kejadian itu berlaku di Landmark Medical Centre, Menara Landmark di sini, dengan Tai Kong memberi maklumat butir-butir peribadi ibu bapa bayi bernama Fabian Naveen di dalam Borang Permohonan Sijil Kelahiran iaitu Cynthia Darshan Singh dan Ferliex Stanislaus sebagai butiran ibu bapa kandung yang sebenar kepada bayi itu.
Tindakan Tai Kong telah mendorong kakitangan JPN, Nayagie Kumarusamy, mencetak dan mengeluarkan sijil kelahiran bagi bayi itu.  Dalam tiga pertuduhan serupa mengikut Seksyen 417 yang dibuat di hadapan Hakim Aliman Musri, Tai Kong didakwa mengemukakan butiran peribadi So Sai Hong dan Loong Cher Heng; Kogula Sundari Periasamy dan Thiagarajan Nadarajan; serta Evensia Mary D. Stanislaus dan Gerard Joseph masing-masing sebagai ibu bapa kandung kepada bayi Loong Yu Xuan; Rubhashri Thiagarajan; dan Serena Swathi.
Butiran yang diberikannya itu telah mendorong Nayagie serta dua lagi kakitangan JPN, Suriyani Mohamad Noor; dan Sh. Ramdzan Sh. Abdullah, masing-masing mencetak dan mengeluarkan sijil kelahiran bayi-bayi tersebut pada 8 Oktober 2007, 23 November 2006 dan 26 Februari 2008 di alamat yang sama.Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 471, Tai Kong pada masa dan tempat yang sama telah secara curang menggunakan sebagai tulen Borang Permohonan Sijil Kelahiran ke atas Fabian Naveen dengan mengesahkan butir-butir peribadi Cynthia dan Ferliex sebagai ibu bapa kandung Fabian walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.



ARKIB : 03/11/2010

Pasangan terdesak punca berlaku kes jual bayi

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Polis tidak menolak kemungkinan pasangan suami isteri yang terdesak dan memerlukan wang sanggup menjual bayi mereka kepada pasangan yang tidak mempunyai anak melalui satu sindiket yang dikesan di ibu negara semalam. Golongan yang tidak mempunyai anak dikatakan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membiayai kos rawatan perubatan dan bersalin ibu kandung bayi itu.Perkara ini didedahkan oleh sumber polis yang memberitahu, kegiatan penjualan bayi yang berjaya ditumpaskan semalam dipercayai menjual bayi yang dilahirkan ibu warga tempatan. "Berdasarkan siasatan, kedua-dua bayi yang berjaya diselamatkan semalam masing-masing berusia seminggu dan empat bulan, adalah bayi tempatan."Polis kini masih mengesan pasangan yang menjual kedua-dua bayi itu kepada sindiket terbabit," kata sumber polis ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, polis menahan enam orang termasuk seorang doktor selepas menyerbu sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini.Turut ditahan, isteri dan anak perempuan kepada doktor terbabit serta tiga jururawat selain berjaya menyelamatkan bayi lelaki dan perempuan berusia empat bulan dan seminggu yang dipercayai untuk dijual.Kegiatan itu terbongkar apabila sepasang suami isteri yang membeli bayi perempuan itu sejak sebulan lalu selesai berurusan dengan hospital swasta berkenaan.Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.