ARKIB : 24/12/2010
Pesakit kanser
meningkat
Oleh Norliza Abd.
Rahman
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 23 Dis. – Setiap seorang
daripada 19 wanita di negara ini berisiko menghidap penyakit kanser payu dara,
kata isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman. Beliau
berkata, kaum lelaki juga tidak terkecuali daripada ancaman penyakit kronik itu
apabila peratusan yang disahkan mengidap kanser bagi golongan itu meningkat
satu peratus setahun. ‘‘Bilangan pesakit kanser kini semakin membimbangkan
apabila semakin ramai pesakit baru dikesan setiap tahun dengan jumlah terbanyak
melibatkan kanser payu dara, kanser prostat diikuti kanser tulang dan darah. ‘‘Persatuan
Antarabangsa Menentang Kanser turut meramalkan menjelang tahun 2020 penyakit
kanser muncul sebagai pembunuh nombor satu di dunia,” katanya ketika berucap
pada majlis makan malam Persatuan Mutiara Kanser Payu Dara Selangor dan Kuala
Lumpur di Dewan Puspanitapuri, di sini malam tadi. Menurut beliau, pesakit
kebiasaannya mengalami tekanan emosi yang amat tinggi selain terpaksa
menanggung kos rawatan yang semakin meningkat kerana mereka memerlukan lebih
RM40,000 bagi membeli peralatan dan ubat-ubatan. Noorainee berkata, inisiatif
Persatuan Mutiara Kanser Payu Dara Selangor dan Kuala Lumpur menganjurkan
majlis makan malam untuk mengutip dana membantu para pesakit amat dihargai
kerana mampu meringankan beban kewangan mereka. ‘‘Penganjuran kempen kesedaran
dan program pencegahan kanser boleh membantu orang ramai tentang bahaya kanser
dan perlunya membuat pemeriksaan awal,” katanya. Beliau menambah, peratusan
untuk sembuh daripada penyakit maut itu amat tinggi jika pesakit melakukan
pemeriksaan awal. Justeru beliau berharap wanita luar bandar melakukan
pemeriksaan mamogram setiap tahun bagi mengesan penyakit kanser lebih awal
kerana trend menunjukkan kanser kini menyerang pada usia muda. ‘‘Pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) perlu tampil memberikan sumbangan kepada pesakit dalam
bentuk kewangan dan kaunseling untuk memulihkan semangat mereka,” katanya. Pada
majlis tersebut beliau bagi pihak persatuan menerima sumbangan cek bernilai
RM296,000 dari beberapa buah syarikat termasuk Mah Seng Foundation, Agusta
Westland, O2 Plus dan Fusion Excell International.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.