Azean Irdawaty lawan barah
dengan ketawa
Oleh Zainuri Misfar
Azean Irdawaty dinasihatkan berehat enam bulan selepas jalani pembedahan kanser payu dara.
BERBEZA kebanyakan orang yang pernah mengalami barah payu dara, Azean Irdawaty tetap menampilkan personaliti yang ceria, bersemangat dan tidak ada tanda-tanda untuk menunjukkan dirinya berada dalam tekanan akibat menghidap penyakit itu. Pelakon veteran ini berkata, disebabkan kepetahannya bercakap dan sibuk mengemas bilik wad seelpas beberapa menjalani pembedahan mastektomi pada 27 Jun lalu di Hospital Putrajaya menyebabkan jururawat berasa bimbang. “Mana tidaknya, masuk hari ketiga selepas pembedahan, saya sudah mengemas bilik wad. Jururawat yang menjaga saya mula-mula rasa segan silu, tetapi lama kelamaan sudah biasa, boleh jadi kawan berbual pula,” katanya sambil menyifatkan Hospital Putrajaya sebagai pusat perubatan terbaik. Telatahnya yang sangat teruja untuk bercakap mengenai pengalamannya menjalani rawatan barah payu dara dapat dilihat ketika berkunjung ke rumahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini, sempena kenduri kesyukuran. “Barah ini adalah seperti segumpal tisu buruk yang sudah rosak. Barah pada saya seperti iblis, kalau kita berfikiran negatif, lagi cepat ia merebak. Saya pernah terbaca, salah satu ubat melawan barah ialah dengan ketawa. Kita kena bersikap positif dan sentiasa gembira. Saya kena ubah persepsi, kenapa bila ada barah baru teringat mati. “Pada hal kita kena ingat mati sepanjang masa. Ini kerana mati boleh berlaku pada bila-bila masa saja, tidak pada penyakit barah,” katanya. Sepanjang perbualan ini, Azean memang lancar berbual mengenai barah payu darah, mungkin disebabkan beliau sudah melalui sendiri pengalaman itu. “Saya agak lapang dalam masa enam bulan sebab doktor tidak benarkan saya berlakon walaupun saya berkeras hendak berlakon kerana itu adalah mata pencarian saya. Daripada duduk tidak buat apa-apa, saya hendak menulis, pengalaman daripada mula disahkan menghidap barah,” katanya. Pengalaman sebagai pesakit barah payu dara juga membuatkan Azean menyebabkan beliau begitu teruja untuk berkongsi pengetahuan mengenai penyakit itu kepada peminat dan orang ramai. Katanya, beliau memperoleh pengetahuan itu menerusi makalah, buku dan internet dan penerangan daripada doktor serta pakar mengenai penyakit itu. “Sebelum menjalani rawatan kimoterapi ia bergantung kepada laporan histopatologi, iaitu untuk mengetahui keadaan sel barah itu merebak ke mana, sudah tahap macam mana, berbahaya lagi atau tidak dan apa adunan ubat yang sesuai, yang dikenali sebagai koktel. Semua ubat ini kena makan sedikit demi sedikit dan kesannya rambut mungkin gugur juga tapi tidak loya, tidak lembik,” katanya. Mengenai kos rawatan, Azean berkata, keseluruhannya membabitkan kira-kira RM90,000 dan setakat ini selepas membuat pembedahan lebih RM30,000 sudah dibelanjakan. “Cuma saya kena cari RM68,000 lagi untuk rawatan susulan untuk selama enam bulan. Rawatan radio terapi saja selama 18 minggu, manakala rawatan kimoterapi pula lebih empat bulan. Bagi rawatan radioterapi pula saya akan buat rawatan di Hospital Nilai kerana di sana ada peralatan yang canggih. Itupun ada kos juga sebab saya kena pergi sana setiap hari selama enam minggu.
“Sebab itulah kalau boleh saya hendak kerja (berlakon) bagi menampung kos ini tetapi doktor tak bagi,” jelasnya lagi. Kira-kira empat hari selepas menjalani pembedahan mastektomi, Azean mengadakan majlis hari jadi untuk anak bongsunya, Ines di Wad 5A, Hospital Putrajaya. Ia majlis keluarga saja, tetapi ada individu yang tidak dikenali mahu menaja majlis keluarga ini dengan makanan istimewa dari sebuah restoran Cina. “Pada waktu itu keputusan pelajaran Ines kurang memuaskan. Mungkin dia terlalu susah hati dengan keadaan kesihatan saya. Jadi, saya duduk dengannya, memberi nasihat supaya tumpukan pelajaran dengan baik. “Saya cakap dengan dia, kalau mama boleh menghadapi penyakit barah ini dengan tenang, dia juga mesti kuat dan memberi tumpuan sepenuhnya dengan pelajaran,” katanya.
Berminat untuk hadiri majlis FFM20
MENGENAI komitmen ke Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20), Azean berkata, sebagai pelakon, jiwanya adalah pada seni lakonan iaitu layar dan pentas, manakala FFM pula dianggap sebagai pesta untuk orang yang hidupnya mencari makan dengan dunia seni di layar. Salah satu filem lakonan beliau, Waris Jari Hantu turut tersenarai dalam festival itu yang diadakan di Pulau Pinang pada 3-5 Ogos ini. “Kami tukang cerita. Ini pesta kami. Selepas berpenat lelah, kami berpesta meraikan yang hebat-hebat antara kami. Kalau saya tidak bersama macam orang puasa tidak beraya. Saya adalah sebahagian daripada keraian itu. Keraian itu pula sebahagian dari hidup saya. Hanya kalau pada ketika itu tubuh terus digodam kimoterapi, mungkin saya tidak pergi. Tapi kalau setakat gugur rambut, kening dan bulu mata, semangat saya tidak turut tergugur. Doakan saya ada di sana nanti,” katanya dalam jawapan yang dihantar menerusi SMS.
Sumber : www.mesra.net
: Assalamualaikum. Kepada saudara/saudari di sini atau peminat kak yam,
seandainya anda dapat berhubung dengan kak yam sendiri, saya harap agar kamu
dapat menyampaikan kepadanya bahawa kami di sini sedia membantu kak yam
mengubati penyakit yg k. yam alami itu. Kuasa menyembuhkan adalah mutlak hak
Allah Taala, namun kita mampu berikhtiar dan bertawakkal kepadanya. Untuk
pengetahuan pembaca, saya mempunyai herba bagi penawar penyakit barah (dgn izin
Allah), oleh itu, saudara/ri semua dapat menghubungi saya di talian
019-9150975. Kadar ubat/herba yg saya
miliki buat masa kini adalah terhad. Wallahu-a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.