Ahad, 15 Januari 2012

Cinta suami kekuatan Norsaflezah


Cinta suami kekuatan Norsaflezah
ARKIB : 20/03/2011

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH adawiyah.koh@utusan.com.my   Foto HAFIZ KHOSMAT


Sewaktu bertemu Norsaflezah@ Salhani Md Saleh, 35, dua tahun lalu, dia nampak berisi dan rambutnya masih lebat. Berbeza dengan penampilannya kini yang kelihatan kurus dan sedikit botak. Mungkin ada antara kita yang mengenali Presiden Persatuan Mutiara Kanser Payudara (PMKP), walau sakit dan perit sekali pun dia masih mampu tersenyum dan memenuhi undangan media. Norsaflezah dan suami mahu membantu dan memberi motivasi kepada mereka yang berdepan dengan penyakit kanser. Tidak sekadar aktif menggerakkan persatuannya, Norsaflezah bersyukur kerana masih berkesempatan bersama keluarga sehingga ke hari ini. Sakit dan perit yang ditanggungnya hampir sepuluh tahun membuktikan suami di sisi sanggup berkorban apa sahaja demi isteri. Anak-anak pula seakan memahami. Mereka berasa cukup dengan apa yang ada. Norsaflezah bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat menyayanginya. Mohd Nur Sidek, 56 yang bekerja dengan syarikat minyak serta anak-anak, Muhd Nur Niqman, 12, dan Muhd Nur Syafeeq, 11 tahun banyak memberi semangat.

Galakan
Masih segar dalam ingatannya selepas menjalani rawatan kemoterapi, kepalanya botak dan anak sulungnya yang ketika itu berusia tiga tahun menyatakan dirinya tidak ubah seperti makhluk asing. "Saya menangis kerana tahu kata-kata budak jujur. Tidak lama selepas itu suami membawa anak keluar dan apabila balik mereka bertiga semuanya membotakkan kepala. Niat suami mahu saya tidak rasa terasing. "Begitu juga dengan gaya. Kalau dulu saya kelihatan betul-betul macam makhluk asing, tetapi suami memberikan galakan supaya saya berhias dan berfikiran positif," katanya. Bagi Norsaflezah, hidupnya berubah selepas menubuhkan PMKP di mana dia lebih positif dan aktif. Selepas menderita kanser payu dara, dia berdepan dengan kanser tulang yang tidak membolehkannya bergerak cergas. Sehingga ke hari ini, kanser yang berada dalam tubuhnya belum mati dan dia masih menjalani rawatan seperti pesakit lain. Selepas melalui pengalaman itu, Norsaflezah percaya kesakitan rawatan tidaklah sesukar mana untuk ditempuhi. Sebaliknya yang menjadi musuh dan ketakutan pesakit adalah mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan. 

Perubahan
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga menasihatkan wanita agar lebih sensitif kepada sebarang perubahan diri. "Walaupun kajian menetapkan siapa yang yang lebih berisiko menghidap barah, tetapi ia tidak semestinya benar dalam dunia nyata. Justeru, kita perlu bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan takdir sejak usia muda lagi," katanya yang ditemui di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Selangor baru-baru ini. Mengakui dirinya tidak boleh duduk diam, dia mahu orang ramai faham yang kanser bukan penyebab utama kematian pesakit tetapi yang menjadi pembunuh ialah diri sendiri. Menerusi aktiviti PMKP, Norsaflezah mahu generasi muda mempunyai pengetahuan pemeriksaan payu dara sendiri. Bagi yang berkahwin, dia menasihatkan agar suami tahu tentang pemeriksaan benjolan pada payu dara. "Jika masing-masing ada pengetahuan, pesakit akan lebih positif. Bahkan orang sekeliling boleh saling memberi motivasi," ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Nur Sidek yang berkongsi pengalaman sepanjang sepuluh tahun menemani Norsaflezah berdepan dengan cabaran kanser, menasihatkan suami atau ahli keluarga pesakit memahami emosi pesakit. Sebagai suami dan orang yang paling rapat, jangan putus memberi sokongan dari aspek emosi dan perubatan. "Kita jangan panik atau putus asa kerana orang yang sakit mahu kita lebih kuat daripada mereka. Jika kita lemah, maka hilanglah tempat mereka mendapat sokongan emosi. ''Dalam hal ini, saya banyak berserah kepada Allah dan melakukan perkara yang mampu buat Norsaflezah. Sabar dan kasih sayang merupakan kunci utama kita bahagia dalam rumah tangga walaupun dugaan yang datang itu sangat menguji diri kita. '' Sebagai manusia, kita perlu mencari nikmat di sebalik kedukaan itu," katanya yang turut aktif dalam PMKP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.