Usah persenda Hari
Tanpa Tembakau
Oleh SHAFINAZ
SHEIKH MAZNAN (WARTAWAN UTUSAN)
ARKIB : 31/05/2004
KALAU saya katakan, asap rokok
mengandungi lebih 4,000 bahan kimia yang mana 200 daripadanya adalah beracun
dan 63 yang lain berpotensi menyebabkan pelbagai jenis barah terutamanya barah
paru-paru, anda mungkin tidak akan merasa takut mendengarnya. Malah, ada
sesetengahnya yang mempersenda-sendakan kenyataan itu. Walaupun anda mungkin
sedia maklum adanya bahan pengawet mayat, ubat gegat, bahan bakar untuk menerbangkan
pesawat, racun tikus dan racun yang digunakan untuk melaksanakan hukuman mati
di dalam sebatang rokok, mulut anda tetap menyedut dan menghembuskan asapnya
seperti biasa. Pukulan nikotin sebenarnya lebih teruk berbanding lain-lain
jenis dadah seperti kokain atau heroin disebabkan oleh kesan rangsangannya yang
sangat cepat ke atas sistem saraf otak. Ia hanya mengambil masa antara tujuh
hingga 10 saat untuk asap rokok yang mengandungi nikotin untuk sampai ke otak. Di
Malaysia, sebanyak 10,000 kematian akibat merokok dicatatkan setiap tahun.
Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 30 peratus adalah disebabkan oleh 10
jenis barah iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing,
buah pinggang, serviks, kolon dan perut manakala sakit jantung dan strok
masing-masing menyumbang sebanyak 25 peratus. Sementara itu, lebih 100,000
perokok dimasukkan ke hospital-hospital kerajaan di seluruh negara akibat barah,
sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik atau ringkasnya COPD. Itu
belum termasuk angka-angka yang disumbangkan oleh perokok pasif yang menghadapi
risiko barah paru-paru yang meningkat di antara 20 hingga 30 peratus manakala
sakit jantung, 23 peratus. Negara
terpaksa menanggung sejumlah RM20 bilion kerugian setahun untuk disalurkan
kepada kos rawatan dan kehilangan produktiviti. Bukan sahaja punca pendapatan
sesebuah keluarga dibunuh oleh rokok tetapi negara turut mengalami kemiskinan
tenaga kerja berkualiti disebabkan oleh produktiviti perokok yang merosot
kerana sering jatuh sakit. Justeru, setelah sekian lama mendokumentasikan
tentang penyakit dan kesan buruk merokok, tibalah masanya Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) telah mengangkat Tembakau dan Kemiskinan: Satu Pusingan yang
Kejam sebagai tema sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia bagi tahun ini. Kajian
yang dilakukan di banyak negara termasuk Malaysia mendapati penggunaan tembakau
adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. ``Sebanyak 10
peratus daripada perbelanjaan keseluruhan isi rumah daripada kalangan ini
dihabiskan untuk membeli rokok. ``Akibat ketagihan nikotin, wang yang
sepatutnya diperuntukkan untuk makanan, tempat berteduh yang lebih sempurna,
pendidikan dan penjagaan kesihatan terpaksa digunakan untuk membeli rokok,''
kata WHO. Wang yang sudah sedia sedikit dan sukar diperoleh itu memberikan
perbezaan ketara di antara makanan anak isteri yang sepatutnya berzat tetapi
terpaksa dikorbankan bagi melampiaskan ketagihan nikotin. Si perokok miskin
boleh bertukar menjadi papa kedana memandangkan risiko tinggi mendapat penyakit
dan mati lebih awal. Hilanglah punca saraan keluarga apabila perokok lazimnya
seorang ayah atau abang tidak dapat lagi keluar bekerja dan mencari nafkah,
sebaliknya mereka pula yang perlu dirawat dan ini melibatkan kos. Penanaman tembakau
merupakan kegiatan buruh intensif yang memerlukan baja dan racun serangga yang
biasanya dibeli petani daripada pemain industri tembakau setiap kali musim
bermula. Di sesetengah negara, secara hutang. Industri tembakau sering
mewar-warkan faedah ekonomi daripada penanaman tembakau. Apa yang mereka gagal
sampaikan ialah betapa sebahagian besar keuntungan memasuki poket seluar
syarikat-syarikat pengeluar. Apa yang menyedihkan, walaupun industri tembakau
menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan manusia, majoriti daripada petani
sebenarnya mendapat hasil yang amat sedikit. Pada tahun 2002, pendapatan
terkumpul sebanyak tiga syarikat tembakau multinasional terbesar di dunia
bernilai lebih AS$121 bilion (RM459.8 bilion). Jumlah ini adalah jauh lebih
besar daripada gabungan 27 Keluaran Dalam Kasar Negara termasuk Bahrain,
Bolivia, Ghana, Kemboja, Mongolia, Namibia, Uganda, Zambia dan Zimbabwe. Timbalan
Ketua Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Zarihah
Zain hari ini menyeru warga Malaysia lebih bertanggungjawab dan saling menegur
bagi memastikan rokok akhirnya tidak diterima sebagai satu kebiasaan. ``Orang
tua berhak menegur yang lebih muda, dewasa menegur remaja jika melihat mereka
merokok terutamanya di kawasan larangan,'' katanya sambil menambah ia akan
berhasil jika semua orang melakukannya. Menghisap rokok dan menghembuskan
asapnya di merata-rata sebelum menenyeh lebihan puntung kadang kala dengan kaki
bukan sahaja boleh dianggap tidak sopan tetapi juga sesuatu yang memalukan. Apabila
diajukan sesetengah pendapat supaya tumpuan kempen disasarkan kepada remaja
berbanding orang tua yang tegar untuk berubah, beliau menjelaskan: ``Orang
dewasalah yang perlu disedarkan agar mereka tidak menunjukkan contoh yang tidak
baik ini kepada anak-anak,'' katanya. Hasil penyelidikan yang diterbitkan di
dalam Arkib Perubatan Kanak-Kanak dan Remaja baru-baru ini mengenal pasti
remaja merokok yang terlibat di dalam program-program sokongan anti merokok
berjaya mengurangkan penggunaannya. Mereka juga berjaya mengekalkan kadar
hisapan walaupun setelah program berakhir dan berterusan selama enam bulan yang
dianggap sebagai `keanehan' oleh para saintis. Profesor Perubatan Pusat
Penyelidikan Pencegahan Stanford, Marilyn Winkleby berkata: ``Dari hanya mengajar
anak-anak kita tentang bahaya merokok sebagaimana yang dilakukan menerusi
program-program tradisional, kami menunjukkan bagaimana promosi dan pengiklanan
tembakau begitu meresap dan mengajak mereka turut sama bertindak menentang
mesej-mesej tersebut'' Walaupun Dr. Zarihah merupakan seorang aktivis
antimerokok, dia tidak boleh memaksa seseorang berhenti merokok melainkan
dengan kerelaan hati mereka sendiri. Ketika diajukan soalan sama ada beliau
tidak letih memperjuangkan tentang bahaya merokok, Dr. Zarihah berkongsi sebuah
kisah benar yang menyayat hati menimpa salah seorang yang disayanginya sendiri.
Baik kita jadikan teladan, buruk jadikan sempadan. ``Pada usianya yang sudah
lanjut, dia memang seorang yang kuat merokok dan setiap kali berjumpa dengannya
semasa pertemuan keluarga, saya tidak pernah jemu menasihatinya. ``Bagaimanapun,
saudara berkenaan sering menjadikannya sebagai bahan gurauan dan berkata dia
berada di dalam keadaan sihat walafiat sehinggalah doktor mengesahkannya
menghidap barah paru-paru tahap lewat. ``Pada masa itu, semuanya tidak kelakar
lagi...,'' kata Dr. Zarihah. Saudara dekatnya itu telah meninggal dunia pada
Februari lalu selepas enam bulan bersabung nyawa. Semoga rohnya dicucuri
rahmat. Tiada perkataan terlewat untuk
berhenti merokok. Tetapkan satu tarikh dan bulatkan tekad ke arah itu. Hari ini
adalah hari yang baik untuk memulakannya. Sesungguhnya, sebanyak 90 peratus
kegagalan datang daripada mereka yang tabiatnya suka mencari alasan. Bila tiba
masanya untuk membuat keputusan, lakukan dan lupakan mengenainya. Bagi tujuan
itu, anda boleh mengunjungi Klinik Berhenti Merokok yang disediakan oleh
Kementerian Kesihatan di hospital-hospital mahu pun klinik-klinik kesihatan
kerajaan di seluruh negara. Perokok juga boleh menggunakan Terapi Penggantian
Nikotin dalam bentuk tampalan, gula-gula getah dan sedutan bagi membantu
menangani ketagihan nikotin akibat berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut
mengenainya, anda boleh mengunjungi kedai-kedai farmasi atau pun melayari
www.pfizer-malaysia.com yang turut menjayakan program tanggungjawab sosial
korporat sempena Kempen Antimerokok Tak Nak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.