|
Radioterapi dan Kemoterapi : Apa yang perlu anda tahu
|
Ruangan ini untuk anda mengetahui lebih
terperinci bagaimana rawatan radioterapi dan kemoterapi diberikan.
|
|
RAWATAN RADIOTERAPI
PENDAHULUAN
Rawatan radioterapi adalah
salah satu kaedah rawatan kanser yang sangat penting. Radioterapi bukan
saja penting untuk rawatan kanser wanita tetapi juga kanser-kanser lain.
Tidak semua kanser boleh dirawat dengan pembedahan ataupun kemoterapi.
Rawatan radioterapi adalah salah satu rawatan yang menggunakan sinaran-X
yang berkuasa tinggi ataupun bahan radioaktif untuk membunuh sel-sel
kanser. Bab ini akan membincangkan kaedah rawatan radioterapi khusus untuk
kanser organ reproduktif wanita terutamanya kanser pangkal rahim, kanser
rahim dan kanser payudara. Rawatan radioterapi untuk kanser-kanser yang
melibatkan organ-organ badan yang lain mempunyai kaedah yang berbeza
walaupun mempunyai asas yang sama.
BAGAIMANA RADIOTERAPI BERTINDAK KE ATAS SEL-SEL
KANSER
Secara amnya terdapat dua
jenis radiasi yang sering digunakan untuk tujuan rawatan radioterapi iaitu
:
- Sinaran X-Ray berkuasa tinggi ( asas
penghasilannya adalah sama seperti X-ray biasa tetapi ianya mempunyai
kuasa yang lebih tinggi) , sinaran ini dihasilkan melalui hentaman
kuat elektron di luar nukleus. Sinaran X-Ray berkuasa tinggi ini
dikeluarkan oleh alat yang dinamakan Linear Accelerator dan rawatan
yang diberikan dinamakan “External Beam Radiotherapy” ataupun EBRT.
- Sinaran Gamma (“Gamma ray”). Sinaran gamma
dikeluarkan oleh bahan radioaktif. Penggunaan sinaran gamma digunakan
di dalam rawatan Brakiterapi.
APAKAH FUNGSI RAWATAN RADIOTERAPI
Rawatan radioterapi
mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan radioterapi adalah
seperti berikut :
A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama
kanser.
B. RADIOTERAPI ADJUVAN. Kaedah rawatan
radioterapi ini diberikan untuk mengurangkan kadar kejadian semula kanser
kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan utama contohnya rawatan
pembedahan. Rawatan Radioterapi ini dikenali sebagai rawatan adjuvan (
“Adjuvant Radiotherapy”). Contoh rawatan ini adalah rawatan Radioterapi selepas
rawatan pembedahan radikal histerektomi untuk kes kanser pangkal rahim.
Pakar Kanser akan menentukan samada pesakit memerlukan rawatan radioterapi
adjuvan.
C. RADIOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan
permulaan sebelum pesakit menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan
radioterapi (“Neoadjuvant Radiotherapy”) ini adalah untuk mengecilkan saiz
kanser dan dengan itu rawatan pembedahan yang akan dijalankan menjadi lebih mudah. Contoh rawatan
neoadjuvan ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes kanser pangkal rahim
dan kanser payudara.
D. RADIOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan
Radioterapi adalah sebagai kaedah rawatan untuk mengurangkan penderitaan
pesakit kanser yang sudah tidak dapat disembuhkan lagi. Ini dinamakan
Radioterapi Paliatif ( “Palliative Radiotherapy”). Contoh rawatan ini
adalah kepada pesakit kanser payudara ataupun kanser-kanser lain yang
merebak ke tulang belakang dan menyebabkan pesakit mengalami kesakitan
ataupun lumpuh. Contoh lain adalah rawatan ke atas kanser yang merebak ke
bahagian otak. Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan kesakitan dan
memulihkan lumpuh. Rawatan radioterapi paliatif ini cuma diberikan pada
bahagian yang menjadi penyebab kesakitan ataupun kelumpuhan sahaja. Kanser
di bahagian lain badan tidak akan dirawat kerana ianya sudah tidak dapat
disembuhkan lagi.
UNTUK MENGETAHUI DENGAN LEBIH
TERPERINCI SEMUA ASPEK RAWATAN RADIOTERAPI SILA KLIK DI SINI.
|
|
RAWATAN KEMOTERAPI
MEMAHAMI KEMOTERAPI
Salah satu kaedah rawatan kanser yang sering
diberikan kepada pengidap kanser adalah ubat kemoterapi. Bab ini disediakan
untuk membantu anda, keluarga anda dan rakan-rakan anda memahami
kemoterapi. Kemoterapi tidak dapat tidak akan mengubah kehidupan anda.
Disamping mengalami perubahan dari segi penampilan fizikal dan emosi, anda
mungkin juga akan merasa sukar untuk bercakap mengenai apa yang anda rasa
kepada orang lain. Dengan memahami bagaimana kemoterapi bertindak ke atas
sel-sel yang normal dan tidak normal dalam diri anda, diharap anda akan
lebih tabah dalam menghadapi sebarang kesan sampingan yang dialami
sepanjang dalam rawatan ini. Apa yang penting adalah anda perlu sentiasa
berfikiran positif di dalam menjalani rawatan kemoterapi ini.
APAKAH ITU KEMOTERAPI
Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan
yang khusus untuk merawat sesuatu penyakit kanser. Di sini, kemoterapi
merujuk kepada penggunaan ubat-ubatan khusus untuk melawan dan memusnahkan
sel-sel kanser yang sedang merebak dengan cepat dalam badan anda. Ubat ini
akan memasuki sistem pengaliran darah anda dan pergi ke seluruh badan untuk
membunuh sel-sel kanser yang tidak dapat di buang melalui pembedahan atau
di musnahkan oleh rawatan radioterapi. Bila lebih dari satu jenis ubat
digunakan, ia dipanggil kemoterapi kombinasi.
BAGAIMANA KEMOTERAPI BERTINDAK
Terdapat
banyak jenis ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser. Ubat
kemoterapi sebenarnya banyak yang dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan seperti
contohnya ubat Paclitaxel yang digunakan untuk merawat banyak jenis kanser.
Ubat kemoterapi ini dihasilkan dari kulit pokok yew. Terdapat beberapa
kategori ubat kemoterapi yang mempunyai perbezaan dari segi bagaimana
ubat-ubat ini mematikan sel-sel kanser. Secara amnya semua ubat-ubat
kemoterapi mematikan sel-sel kanser dengan cara bertindak mengganggu atau
merencat proses pembiakan sel-sel kanser. Ini dilakukan dengan cara merosakkan
DNA ataupun baka sel-sel kanser melalui berbagai-bagai kaedah seperti
mengikat (“cross-linking”) ataupun memotong DNA tersebut. Akibat kerosakan DNA ini maka sel-sel kanser ini akan
mati. Ubat kemoterapi lebih berkesan terhadap sel-sel kanser yang cepat
membiak. Kadangkala ubat ini tidak dapat
membezakan di antara sel-sel kanser dan sel-sel normal yang juga cepat
membiak seperti sel-sel dinding usus, mulut, organ reproduktif terutamanya
ovari, sel-sel rambut dan juga sel-sel sum-sum tulang. Sel-sel ini mungkin
terdedah kepada kesan ubat kemoterapi walau bagaimanapun dengan kaedah
rawatan yang terancang dan teliti oleh Pakar Kanser, kesan-kesan ini dapat
diminimakan malah jika sekiranya berlaku ianya adalah lebih bersifat
sementara.
APAKAH FUNGSI RAWATAN
KEMOTERAPI
Rawatan kemoterapi
mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan kemoterapi adalah
seperti berikut :
A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama
kanser. Contoh rawatan kemoterapi sebagai rawatan utama adalah di dalam kes
kanser anggur ataupun koriokarsinoma.
B. KEMOTERAPI ADJUVAN. Untuk mengurangkan kadar
kejadian semula kanser kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan
utama contohnya rawatan pembedahan. Rawatan kemoterapi ini dikenali sebagai rawatan
adjuvan ( “Adjuvant chemotherapy”). Contoh rawatan ini adalah rawatan
kemoterapi ke atas pesakit kanser ovari yang telah menjalani rawatan
pembedahan.
C. KEMOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan
permulaan sebelum pesakit menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan
kemoterapi ini adalah untuk mengecilkan saiz kanser dan dengan itu rawatan
pembedahan yang akan dijalankan akan menjadi lebih mudah. Contoh rawatan
neoadjuvan ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes kanser pangkal rahim
dan kanser ovari.
D. KEMOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan
kemoterapi adalah sebagai kaedah rawatan untuk mengurangkan penderitaan
pesakit kanser yang sudah tidak dapat disembuhkan lagi. Ini dinamakan
Kemoterapi Paliatif ( “Palliative Chemotherapy” ). Contoh rawatan ini
adalah kepada pesakit kanser pangkal rahim ataupun kanser-kanser lain yang
merebak biji kelenjar Para-aortik dan menyebabkan penyumbatan saluran buah
pinggang dan menyebabkan salur buah pinggang dan buah pinggang menjadi
bengkak (“hydroureter, hydronephrosis”). Pesakit akan menghadapi masalah
sakit pinggang dan jangkitan buah pinggang. Biji kelenjar yang besar ini
juga boleh menekan urat saraf dari tulang belakang dan menyebabkan
kesakitan bahagian belakang. Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan
kesakitan dan mengurangkan kesan penyempitan. Rawatan kemoterapi paliatif
ini tidak bertujuan untuk menyembuhkan penyakit kanser pesakit tetapi untuk
mengurangkan penderitaan akibat kesakitan.
|
|
RAWATAN PALIATIF:
Apabila kanser tidak ada harapan sembuh
Pendahuluan
Kanser adalah penyakit kronik yang boleh
dihidapi oleh sesiapa saja tanpa mengira usia dan jantina. Kanser boleh
menyebabkan penderitaan ke atas penghidapnya, penderitaan yang dialami
seringkali memberi kesan yang sangat besar kepada diri pesakit dan juga
ahli-ahli keluarga yang lain. Tidak semua kanser boleh diubati sepenuhnya dan
tidak semua pesakit kanser yang telah pulih akan terhindar dari mendapat
kembali kanser yang sama. Terdapat juga di kalangan pesakit yang menghidap
lebih dari satu jenis kanser seperti kanser ovari dan kanser rahim. Ada juga pesakit yang menghidap kanser
payudara dan kemudiannya di dapati pula menghidap kanser ovari. Kanser kedua
yang terjadi di organ yang lain mungkin juga disebabkan oleh kanser yang sama
telah merebak ke organ tersebut. Bab ini akan memperkatakan tentang penjagaan
pesakit kanser yang menghadapi keadaan di mana kanser yang dihidapi tidak boleh
disembuhkan lagi. Bab ini juga akan menerangkan berkenaan dengan penjagaan
pesakit-pesakit kanser yang berada pada peringkat akhir ataupun terminal. Tidak
semua ahli masyarakat mengetahui betapa pentingnya penjagaan ke atas
pesakit-pesakit yang menghadapi masalah yang tersebut dan tidak ramai yang
mengetahui bahawa terdapat kaedah-kaedah rawatan yang boleh mengurangkan
penderitaan penghidap kanser yang berada pada peringkat akhir ini. Kita tentu
banyak menyaksikan bagaimana ramai pesakit kanser yang terbiar dan terlantar
tanpa sebarang usaha-usaha untuk mengurangkan penderitaan mereka dan
pesakit-pesakit ini akan meninggal dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
Kaedah rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser
yang berada pada peringkat akhir ataupun yang tidak boleh disembuhkan lagi
dinamakan penjagaan ataupun rawatan paliatif.
PENJAGAAN
PALIATIF
Penjagaan
paliatif bermaksud penjagaan holistik yang merangkumi rawatan melegakan masalah
fizikal, sosial dan psikologi pesakit. Pesakit yang dimaksudkan di sini adalah
pesakit yang menghidap penyakit-penyakit kronik yang serius dan tidak ada
peluang untuk sembuh. Penjagaan paliatif ini juga meliputi penyakit buah
pinggang dan lain-lain. Walau bagaimanapun penyakit yang sering dikaitkan
dengan penjagaan paliatif ini adalah penyakit kanser. Penjagaan paliatif telah
bertapak lama di negara kita dan sehingga hari ini terdapat banyak pusat-pusat
rawatan paliatif samada di Hospital Kerajaan ataupun swasta. Ianya dikendalikan
oleh petugas-petugas yang datangnya dari berbagai-bagai latar belakang termasuk
bekas-bekas pesakit sendiri. Hampir di semua hospital-hospital besar kerajaan
mempunyai pusat rawatan paliatif. Pusat-pusat rawatan paliatif ini akan
mempunyai doktor yang bertugas, jururawat-jururawat dan
sukarelawan-sukarelawan. Di tempat-tempat tertentu, pusat rawatan paliatif ini
dinamakan Hospis. Penjagaan paliatif
merangkumi aspek fizikal , mental (psikologi) dan juga sosial, dengan itu
penjagaan paliatif ini memerlukan penglibatan semua pihak seperti doktor, jururawat,
pekerja sosial, pakar psikiatri dan yang paling penting adalah penglibatan
ahli-ahli keluarga yang terdekat. Penjagaan atau rawatan paliatif ini
merangkumi penjagaan semenjak pesakit dimasukkan ke wad di hospital sehinggalah
penjagaan pesakit di rumah . Di antara perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat
di dalam bidang penjagaan paliatif ini adalah :
- Rawatan melegakan kesakitan
- Rawatan melegakan gejala-gejala akibat kanser
seperti perdarahan, jangkitan kuman, keluar lendiran berbau, kesukaran
bernafas, kesukaran membuang air besar dan lain-lain.
- Lawatan ke rumah untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi oleh pesakit di rumah.
- Aktiviti-aktiviti sosial dan kumpulan sokongan
onkologi serta aktiviti-aktiviti spiritual
- Khidmat nasihat kepada ahli-ahli keluarga yang
menjaga pesakit untuk mengurangkan beban mereka.
- Setengah-setengah Pusat Rawatan Paliatif juga memberi bantuan sokongan memulihkan
masalah fizikal seperti pemindahan darah, mengeluarkan air dari selaput
paru-paru, mengeluarkan air dari rongga abdomen (ascitis) dan ada juga
yang menyediakan rawatan kemoterapi.
BILAKAH
PESAKIT DIKATAKAN MENGHIDAP KANSER YANG TIDAK BOLEH DISEMBUHKAN.
Terdapat
tiga golongan besar pesakit kanser yang dikatakan telah mencapai peringkat di
mana kanser mereka sudah tidak dapat disembuhkan lagi, golongan tersebut adalah;
- Pesakit-pesakit baru yang dikesan menghidap kanser
dan didapati sudah berada pada peringkat akhir iaitu peringkat 4.
Contohnya, pesakit kanser pangkal rahim yang didapati kansernya sudah
merebak ke paru-paru, hati, tulang, otak dan lain-lain anggota badan.
- Pesakit yang telah menjalani rawatan tetapi
kemudiannya didapati menghidap semula kanser yang sama. Pada mulanya
pesakit tersebut mungkin menghidap kanser pada peringkat awal serta telah menjalani
rawatan lengkap dan sembuh tetapi selepas beberapa ketika, kanser tersebut
datang kembali. Untuk kali kedua ini, kanser tersebut telah merebak ke
bahagian-bahagian badan yang lain seperti hati, paru-paru, tulang dan
lain-lain. Ada juga di kalangan pesakit ini yang didapati telah sembuh
sepenuhnya untuk jangkamasa 2-3 tahun tetapi selepas itu didapati kanser
tersebut datang kembali.
- Golongan ketiga adalah pesakit-pesakit kanser yang
tidak dapat menjalani rawatan disebabkan oleh masalah kesihatan ataupun
keupayaan fizikal yang sangat lemah. Masalah-masalah fizikal yang
dimaksudkan adalah seperti kegagalan buah pinggang, kegagalan hati,
penyakit jantung yang serius dan lain-lain. Dalam keadaan ini sebarang
bentuk rawatan kanser akan menyebabkan komplikasi yang sangat tinggi
termasuk kematian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.