Ahad, 14 Oktober 2012

Misai Kucing Kemunting Cina Rawat Kanser



13 Disember 2011

KANGAR, 10 Dis (Bernama) -- Ekstrak herba tumbuhan misai kucing dan kemunting Cina dikenalpasti boleh membantu merawat kanser, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. Beliau berkata kajian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati penyakit tersebut boleh dirawat dengan kos lebih rendah melalui ekstrak kedua-dua tumbuhan itu.

Menurut beliau, kajian yang bermula sejak 2007 dibuat melalui pembiayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah Projek Satelit Bioteknologi bernilai RM1 juta untuk pembangunan dan pengeluaran produk anti kanser. Berucap pada majlis penyerahan peralatan memproses kajian lanjutan herba perubatan di Stesen Penyelidikan Agrotekteknologi Kampus UniMAP Sungai Chuchoh dekat sini hari ini, Md Isa berkata, kajian itu pasti akan membantu pesakit kanser negara ini dengan kos rawatan lebih rendah.

Beliau berkata, mengikut statistik Majlis Kanser Nasional, peningkatan jumlah pesakit kanser di negara ini semakin membimbangkan dengan lebih 40,000 pesakit baru dikesan pada tahun 2007. Daripada jumlah itu, 80 peratus membabitkan kanser payu dara diikuti prostat, kanser tulang dan kanser darah. Katanya, ramalan Kesatuan Antarabangsa Menentang Kanser (UICC) pula menyebut menjelang tahun 2020, kanser akan muncul sebagai pembunuh nombor satu di dunia, menggantikan penyakit jantung. "Lebih membimbangkan, kos rawatan kanser adalah tinggi dan memerlukan antara RM40,000 sehingga RM300,000 termasuk untuk membeli peralatan dan bahan ubatan," katanya. Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dalam menjayakan projek berkenaan, pihak universiti itu mendapatkan benih tumbuhan misai kucing dari Jabatan Hutan dan MARDI sementara kemunting Cina diperolehi dari seluruh negara.

Sumber -- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.