Alat kesan bahan pengawet
ARKIB Utusan: 06/09/2010
Oleh KUAH GUAN OO
Malangnya ada pula peniaga yang tidak
bertanggungjawab menggunakan cecair pengawetan mayat, iaitu campuran
formaldehid yang digunakan untuk memelihara mayat daripada menjadi reput.
Ini adalah suatu cara yang bukan saja menjijikkan
tetapi boleh membahayakan kerana bahan itu toksik, alergenik dan karsinogenik
iaitu ia boleh membawa kepada penyakit barah jika termakan.
Makanan laut secara semula jadi memang mengeluarkan
formaldehid tetapi pada tahap yang amat rendah dan tidak membahayakan.
Dalam usaha memastikan pengguna tidak ditipu hingga
boleh memudaratkan kesihatan, sekumpulan saintis dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) diketuai Prof. Dr. Lee Yook Heng telah menghasilkan satu cara
mudah, murah lagi cepat untuk menguji sama ada makanan laut mengandungi bahan
pengawet formaldehid atau sebaliknya.
Akta Makanan 1985 sememangnya melarang penggunaan
formaldehid sebagai bahan pengawet dan ia merupakan salah satu bahan pengawet
yang tidak dibenarkan untuk makanan.
Dr. Yook Heng menjelaskan, Kementerian Kesihatan
mengambil contoh makanan laut yang diimport untuk menguji sama ada ia mengandungi
bahan berbahaya itu atau sebaliknya.
Bagaimanapun hasil ujian di makmal itu hanya dapat
diketahui dalam tempoh beberapa hari.
Dalam tempoh itu makanan tersebut mungkin sudah pun
dijual kepada pengguna. Dalam keadaan begini syarikat atau penjual terbabit
hanya boleh disenarai hitamkan.
Selain itu, ujian di makmal memerlukan peralatan
yang mahal dan kakitangan terlatih.
Maka, dalam usaha menyediakan kaedah ujian yang
boleh digunakan dengan mudah, penyelidik terbabit termasuk lima orang profesor
sejak 2001 telah berusaha mencari jalan untuk menguji menggunakan enzim, DNA,
antibodi dan sel-sel keseluruhan yang boleh digunakan sebagai alat ujian dan
boleh dijual di pasaran pada harga yang murah.
Salah satu daripadanya ialah biosensor terdiri
daripada enzim yang hanya akan berinteraksi dengan formaldehid dan tidak dengan
bahan lain.
Alat itu sudah berjaya dihasilkan dengan saiz hanya sebesar duit siling 50 sen.
Cara menggunakannya amat mudah dengan mengambil
setitis air dari ikan atau udang yang hendak diuji dan diletakkan keatas alat
itu.
Pertukaran warna yang berlaku bermakna ia
mengandungi formaldehid.
Beliau menjelaskan, UKM sudah mempatenkan ciptaan
mereka itu dan kini berusaha untuk mengedarkannya supaya dapat di gunakan oleh
penjual ikan dan makanan laut, pegawai kesihatan malah pengguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.