Mengesan pengawet
mayat pada makanan
ADAKAH anda sentiasa peka dan prihatin
dengan apa yang anda makan setiap hari? Sedarkah anda terdapat pelbagai jenis
pengawet makanan yang diletakkan oleh pengusaha dalam sumber makanan segar yang
kita nikmati pada hari ini? Paling ketara ialah sumber makanan laut yang antara
lain untuk memastikan ia sentiasa kelihatan segar, cantik dan paling penting
laris penjualannya.
Antaranya, penggunaan bahan kimia
terlarang seperti larutan formalin (formaldehid) untuk mengawet makanan laut
terutamanya ikan dalam jumlah yang banyak.
Larutan formalin sebenarnya digunakan
untuk mengawet tisu organisma hidup seperti daging bagi menjadikannya tahan lama.
Apa yang pasti larutan yang sama juga digunakan untuk mengawet mayat manusia!
Hakikat penggunaan bahan kimia itu
secara berleluasa ke atas bahan makanan seperti ikan serta makanan laut yang
lain telah lama disedari saintis dan pengguna.
Namun kajian menyeluruh serta mendalam
bagi mengesan penggunaannya kurang dilakukan terutamanya di negara kita.
Menurut Timbalan Dekan Akademik dan Hal
Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia
(UPM), Profesor Madya Dr. Fatimah Abu Bakar, jika bahan kimia tersebut diambil
(melalui makanan) boleh membahayakan kesihatan manusia.
"Antara penyakit yang boleh
dialami oleh seseorang yang menerima bahan kimia tersebut secara berlebihan
adalah kanser paru-paru,
kanser otak dan leukemia.
"Menurut The National Occupational
and Health (NIOSH), Amerika Syarikat (AS), larutan formalin amat berbahaya
kepada kesihatan jika individu terdedah dengan bahan kimia tersebut pada
kepekatan melebihi 20 bahagian per juta (ppm)," ujar beliau ketika ditemui
baru-baru ini di Serdang, Selangor.
Menyedari keselamatan pengguna kini
semakin terancam, beliau bersama beberapa pengkaji mencipta alatan yang
dikenali sebagai teknologi biosensor, menggunakan sejenis enzim bagi mengesan
kehadiran larutan tersebut dalam makanan.
Teknologi yang terdiri daripada
elektrod mudah alih khas yang disambungkan kepada alat pengukur perubahan arus
elektrik (pada -0.2 volt) sebagai isyarat yang menunjukkan amaun larutan
formalin yang terdapat dalam daging ikan.
Melalui teknologi tersebut, kehadiran
larutan formalin boleh dikesan dalam masa 10 minit berbanding sebelum ini yang
memerlukan masa sehari suntuk dan perlu dilakukan oleh pakar.
"Untuk mengesan larutan tersebut
dengan lebih cepat, elektrod yang disaluti logam emas akan direndam di dalam
enzim khas bersama cebisan daging ikan yang hendak diuji," ujar beliau.
Kaedah tersebut juga mampu mengesan
kehadiran larutan formalin dalam ikan dan produk ikan pada aras 0.1 hingga 20
ppm.
Menurut Fatimah, bacaan 3 ppm dan ke
bawah merupakan bacaan normal kerana ikan tersebut juga turut mengeluarkan
bahan kimia tersebut secara semulajadi.
Namun, jika ia melebihi bacaan 3 ppm,
maka kandungan larutan formalin dalam ikan tersebut dianggap tinggi dan
berbahaya.
Pendaratan ikan dari laut kebiasaannya
tidak mengandungi larutan formalin.
Kemungkinan besar bahan kimia tersebut
digunakan selepas proses pendaratan bertujuan mengekalkan kualiti dan
meningkatkan jangka hayat.
Penggunaan kaedah yang terpantas sedia
ada di pasaran masih belum ada, justeru Teknologi
Biosensor itu dikhususkan untuk tujuan pemantauan bahan kimia tersebut di
bahagian pintu masuk negara.
Teknik pengesanan sedia ada tidak
begitu tepat dan masih lagi kurang digunakan berikutan tahap kesedaran di
kalangan masyarakat negara ini masih rendah.
Selain itu, alat pengesan terpantas
yang terdapat dipasaran kini biasanya bersifat semi-kuantitatif atau tidak peka
terhadap ikan dan produk makanan laut yang lain.
Beliau yang juga ahli kumpulan
penyelidikan Teknologi Biosensor Kebangsaan telah menjalankan kajian mencipta
alat biosensor dalam bentuk elektrod enzim sejak tahun 2003 hingga 2010.
Kajian berkenaan alatan itu juga
dijalankan di Institut Biosains, UPM bersama Profesor Datuk Dr. Abu Bakar
Salleh, Profesor Madya Dr. Nor Azah, pelajar beliau, Nur Indang Marzuki dengan
kerjasama Profesor Dr. Lee Yook Heng dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kumpulan penyelidik yang dianggotai
Fatimah mengambil masa hampir empat tahun untuk menghasilkan teknologi yang
benar-benar mampu mengesan larutan tersebut dengan pantas.
Kajian terhadap teknologi tersebut
telah dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula
April 2007 sehingga Mac 2010 di bawah geran top-down project .
Teknologi tersebut masih di peringkat
prapengkomersialan dan perlu menjalani siri penambah baikkan dari segi saiz dan
bentuk sebelum boleh dipasarkan secara besar-besaran.
''Bagi setiap ujian yang akan dilakukan
ia memerlukan kit ujian yang berharga sekitar RM50 dan ia boleh digunakan
sebanyak 60 kali," katanya.
Manakala harga bagi alatan tersebut
masih belum dapat ditentukan kerana ia akan mengambil kira kos pengeluaran yang
akan ditetapkan oleh pihak industri yang berminat untuk membangunkannya.
Justeru, jika alatan tersebut berjaya
dikomersialkan maka ia merupakan pengesan bahan pengawet mayat terpantas dan
pertama seumpamanya di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.