Rabu, 12 Disember 2012

Siasat makanan laut dicemari pengawet mayat


Siasat makanan laut dicemari pengawet mayat

ARKIB Utusan : 07/01/2009

KOTA BHARU 6 Jan. - Persatuan Pengusaha Industri Laut Dalam (Kelaut) mendesak kerajaan menyiasat kualiti makanan laut yang diimport dari negara jiran kerana ia mungkin menggunakan bahan formalin yang digunakan untuk mengawet mayat.  Presidennya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata, kebanyakan makanan laut yang diimport direndam dengan cecair kimia tersebut bagi memastikan ia kekal segar dalam tempoh yang lama.

Sehubungan itu beliau mencadangkan setiap makanan laut yang dibawa masuk ke negara ini dikuarantin terlebih dahulu sebelum dipasarkan. "Ramai tidak mengetahui kebanyakan ikan yang diimport dari negara jiran mengandungi barangan larangan seperti formalin yang membahayakan kesihatan manusia.

"Justeru kita meminta kerajaan menyiasat perkara ini dan kita juga cadangkan supaya setiap makanan laut dikuarantin sebelum dibenarkan dibawa masuk bagi memastikan ia benar-benar bersih," katanya kepada pemberita di sini semalam. Nik Sapeia juga meminta kerajaan tidak mengabaikan pengusaha bot laut dalam dan melantik dua wakil mereka dalam Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, nasib pengusaha terbabit selama ini tidak pernah diberi perhatian oleh kerajaan sedangkan mereka penyumbang terbesar industri perikanan negara. Nik Sapeia berkata, sebelum ini, kerajaan hanya mengambil pandangan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang tidak mengetahui masalah yang dialami oleh pengusaha bot laut dalam.

"Justeru kita meminta kerajaan mengkaji semula beberapa peraturan yang dibuat sebelum ini seperti, setiap bot perlu mempunyai tandas, pembayaran levi terhadap pekerja asing bot laut dalam dan insentif pembayaran subsidi. "Selain itu, peraturan yang mengkehendaki setiap bot laut dalam dilengkapi kotak hitam dan pemberian subsidi minyak juga perlu lihat secara mendalam agar pengusaha seperti kami tidak tertindas," katanya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.