UPM cipta alat
kesan pengawet mayat pada ikan
ARKIB utusan: 26/08/2010
26/08/2010 5:07pm
SERDANG 26 Ogos — Sekumpulan penyelidik
Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta alat pengesan bahan pengawet
mayat yang terdapat pada ikan dan makanan laut. Penyelidiknya, Prof. Madya Dr.
Fatimah Abu Bakar berkata, alat yang menggunakan teknologi biosensor itu sangat
pantas dan berkesan untuk mengesan penggunaan bahan kimia tersebut yang boleh
menyebabkan kanser jika dimakan. Katanya, ia hanya mengambil masa 10 minit
sahaja berbanding secara konvensional iaitu selama satu hari dan ia mudah
digunakan berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan masa yang lama, rumit dan
khidmat pakar di makmal. “Keputusan yang diperolehi juga tepat kerana ia
sensitif dalam mengesan kandungan kadar formaldehid dalam produk makanan yang
diuji. Alat itu juga dapat membantu agensi pengawasan dan pemantauan termasuk
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta pengguna dalam memantau penyalahgunaan
bahan kimia terlarang itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Dr.
Fatimah berkata, produk itu masih dalam peringkat prapengkomersialan dan
menunggu mana-mana syarikat yang berminat untuk mengkomersialkannya. Formaldehid
adalah bahan pengawet mayat yang banyak digunakan dalam sektor perkilangan
seperti pembuatan kertas, plywood, dan di hospital untuk tujuan pengawetan tisu
spesimen. Bahan kimia itu berbahaya kepada manusia kerana boleh menyumbang
kepada risiko penyakit kanser paru-paru, kanser otak dan leukimia. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.