Rabu, 12 Disember 2012

Bahaya telur palsu


Bahaya telur palsu

ARKIB utusan : 02/05/2011

Oleh LAUPA JUNUS

ISU pengeluaran telur yang dikatakan palsu baru-baru membuka mata kita betapa bahayanya menikmati apa yang kita suka tanpa mempedulikan dari mana sumbernya. Seperkara lagi ialah, kita tidak menyangka ada pihak sedia mengambil kesempatan untuk mengaut untung tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain. Demikian risiko yang kita tanggung apabila memakan telur yang dikatakan palsu. Telur palsu itu dikatakan dihasilkan daripada bahan-bahan kimia yang sudah pasti mengundang bahaya kepada badan.

Telur palsu atau fake egg dikatakan dihasilkan di China kerana mereka berpendapat, menghasilkan telur palsu lebih murah berbanding memelihara ayam penelur. "Tidak mustahil (menghasilkan telur palsu), kerana benda serumit manapun manusia boleh hasilkan inikan pula telur palsu," kata Pengarah Institut Pertanian Tropika Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Zulkifli Idrus. Beliau yang pakar menjalankan penyelidikan berkenaan ayam bagaimanapun berkata, sekiranya pereka telur palsu itu ingin bersaing dengan yang asli mereka terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi

"Ini kerana, jika hanya meniru menghasilkan kuning telur , putih telur (albumen) dan cangkerang, maka ia tidak mampu bersaing dengan telur asli (daripada segi zat)," ujarnya.

Pada masa sama, agak mudah untuk membezakan antara telur asli dan palsu daripada segi luaran dan dalaman. Laporan menyebut bahawa menghasilkan telur sendiri lebih murah berbanding menternak ayam penelur di China. Mengenai perkara itu, Zulkifli berkata, penternakan ayam penelur memang rumit dan kos tinggi. Ini kerana, penternak memerlukan ratusan ribu ekor ayam penelur untuk memastikan mereka memperoleh keuntungan minimum sedangkan keuntungan yang sama boleh diperoleh dengan menternak ayam pedaging pada kuantiti yang jauh lebih rendah.

Ayam penelur pula hanya mengeluarkan hasil (mula bertelur) selepas 20 minggu sedangkan ayam daging sudah boleh dijual selepas lima minggu.

"Keuntungan menjual telur pula hanya dua atau tiga sen sebiji," ujar beliau.

Apatah lagi sebiji telur asli dibentuk oleh ayam dalam tempoh 24 jam termasuk pembentukan cangkerang sahaja hampir 20 jam. Oleh itu jika pihak yang menghasilkan telur tiruan berkata, mereka ingin menjual telur pada harga yang lebih murah, ia bertentangan dengan logik kerana bahan tambahan mineral yang perlu disuntik memerlukan kos yang tinggi.

"Saya kurang setuju jika telur tiruan ini murah. Banyak perkara perlu ditiru selain kuning, putih dan cangkerang telur. "Ini termasuk kalaza dalam telur yang fungsinya memegang kuning telur. Ini saya rasa sukar ditiru," katanya.

Melainkan ada usaha untuk mengabui mata pembeli yang menggunakan taktik mencampurkan telur asli dan telur palsu untuk mengaut untung. Namun, bagi pengguna, Zulkifli memberi peringatan bahawa amat bahaya memakan telur palsu kerana ia dihasilkan daripada bahan kimia. Mengenai isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa mereka menemui telur palsu di negeri itu, Zulkifli berkata, ia tidak mustahil berlaku.

Psst-psst …  Tidakkah kita terfikir bahawa ayam penelur mungkin telah disuntik hormon bagi membolehkannya bertelur sepanjang tahun? Adakah selamat memakan telur dari ayam yang disuntik hormon bertelur? Inspektor Kesihatan unit Keselamatan Makanan KKM hanya berjumlah 2 – 3 orang saja bagi setiap daerah. Masing-masing mereka terikat kepada sasaran kerja tahunan yakni jika sasaran 100 persampelan makanan setiap tahun. Jika sampel dijalankan 80 maka pencapaian adalah 80 peratus _ Sedangkan jumlah saudagar penternak ayam telur adalah ramai! Adakah cukup bagi menjalankan persampelan makanan?

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.