Ipoh: Seorang doktor
pelatih yang menyamar pegawai polis menumbuk dada seorang peniaga ketika
menyamun mangsa di Jalan Dato Onn Jaafar, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.25
pagi, suspek berusia 26 tahun dan berasal dari Selangor dikesan melakukan
jenayah itu bersama tiga rakannya yang juga penuntut sebuah kolej swasta di
Perak.
Ketua Polis Daerah Ipoh
Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kumpulan empat penjenayah yang
menaiki kereta mewah Mercedes Benz itu menahan seorang peniaga sebelum mengugut
mangsa menyerahkan wang tunai.
Menurutnya, suspek
dikesan menyamar polis dengan memakai ves dan topi dengan lambang Polis Diraja
Malaysia (PDRM), selain memiliki gari, lampu siren dan pistol bagi tujuan
penyamaran. “Suspek dikesan menahan ahli perniagaan berusia 30 tahun itu yang memandu kenderaan melalui Jalan Dato Onn Jaafar. “Sebaik memberhentikan kenderaan, suspek yang memakai vest polis meluru ke arah kenderaan mangsa. Mangsa yang membuka pintu keretanya terkejut apabila ditumbuk di dada oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil menunjukkan pistol yang tersarung di pinggang,” katanya.
Beliau berkata, suspek meminta RM350 daripada mangsa dan mengugut mahu membawa mangsa ke balai polis jika mangsa tidak menyerahkan wang diminta.
“Mangsa yang tidak
mempunyai wang mencukupi kemudian dipaksa membuat pengeluaran wang melalui mesin
pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Sultan Idris.
“Bagaimanapun, sebaik
tiba di bank berkenaan, suspek mendapati mesin ATM tidak berfungsi. Suspek naik
angin dan memaksa mangsa menyerahkan wang tambahan RM100 menjadikan jumlah keseluruhan
RM450,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, tindak-tanduk
mencurigakan suspek bagaimanapun disedari unit polis peronda yang melakukan
rondaan cegah jenayah di sekitar Pekan Baru, di sini.
“Anggota polis terbabit memberkas suspek sebelum menjalankan siasatan lanjut
terhadap keempat-empat suspek itu. Hasil pemeriksaan kemudian menemui vest
dengan lambang polis berpangkat asisten komisioner, topi, gari, lampu siren,
sepucuk pistol mainan dan kad agensi Renjer Khas Malaysia dengan jawatan
timbalan penguasa. “Suspek yang tidak
mempunyai rekod jenayah itu kini direman sehingga 17 Mei ini untuk siasatan
lanjut,” katanya. Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.