Sabtu, 1 September 2012

Lambakan ubat tiruan cabaran kritikal


http://web.utm.my/healthcentre/index.php?option=content&task=view&id=56&Itemid=0

Lambakan ubat tiruan cabaran kritikal

 
27/08/2007 : Sektor kesihatan awam dunia hadapi persaingan kerana kekurangan asas ubatan. KINI, enam hingga 10 peratus pasaran farmaseutikal dunia di dominasi ubatan tiruan. Daripada jumlah itu, 30 hingga 50 peratus penjualannya bertumpu di negara membangun. Tidak dapat dinafikan ubat tiruan sudah menjadi fenomena dalam industri farmaseutikal. Dengan nilai mencecah RM129.5 bilion ketika ini saja, bayangkan nilainya 10 tahun akan datang jika anggaran peningkatan pasaran 13 peratus setiap tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan, ubat-ubatan tiruan sebagai ubat disengajakan pemalsuan supaya menyerupai keluaran asal. Pemalsuan itu termasuk jenama atau produk generik, ramuan yang betul dengan jenama salah, ramuan salah dengan jenama betul, kandungan ubat tanpa bahan aktif, kandungan ubat tanpa bahan aktif yang lengkap atau pembungkusan palsu.

Seperti kata Prof Anthony Moffat dari Sekolah Farmasi Universiti London yang ditemui pada Persidangan Persatuan Farmasi Negara Komanwel ke sembilan baru-baru ini, ubat-ubatan tiruan sebenarnya cabaran sangat besar dalam kesihatan awam. Dengan pembikinan tidak mencapai piawaian antarabangsa, ia bukan saja berisiko menjahanamkan kesihatan pengguna, malah lebih buruk boleh membawa maut jika kandungannya berunsur toksik. Namakan apa saja bentuk, tablet, kapsul atau serbuk, ubat tiruan tidak terhenti di satu negara. Mungkin bahan mentahnya dihasilkan di negara A, ia kemudian dieksport ke negara B untuk diproses sebelum dipasarkan di negara C.

Justeru, sesiapa saja di dunia ini boleh terbeli ubat tiruan yang mungkin dibungkus menyerupai jenama asli. Atau mungkin dalam bentuk tablet sama dengan produk asli, tetapi tidak mengandungi ramuan yang betul.

Kewujudan ubat tiruan buat pertama kalinya disebut dalam persidangan WHO membabitkan pakar dalam industri di Nairobi, Kenya pada 1985. Awalnya, kebanyakan pengeluar ubat tiruan dikatakan datang dari negara membangun, China dan India, tetapi hari ini pengeluar dan pasaran ubat tiruan berada di seluruh dunia. Menurut laporan WHO, antara Januari 1999 hingga Oktober 2000, 46 laporan mengenai ubat tiruan diterima dari 20 negara. Hampir 60 peratus laporan datang dari negara membangun, manakala selebihnya dari negara maju.

Anehnya, seperti kata wakil WHO, Dr Valerio Reggie, pengeluar ubat-ubatan tiruan tidak pula dikenakan hukuman bunuh seperti pengedar dadah, walaupun secara asasnya penggunaan ubat-ubatan tiruan dengan kerap boleh menyebabkan ketagihan, kerosakan organ utama dan kematian.

Di sesetengah negara miskin dan membangun, penjualan ubat-ubatan tiruan mencecah ke tahap sangat kronik kerana kekurangan bekalan ubat-ubatan asas. Jika ada, harga ubat-ubatan tulen ini sangat mahal. Ia ditambah dengan faktor kawalan dan pelaksanaan undang-undang juga tidak cekap.

Justeru, ubat tiruan adalah jawapan terbaik, walaupun sebenarnya pengguna juga langsung tidak sedar. Di sebabkan semua faktor itu, ubat tiruan tidak terhad kepada makanan tambahan, malah merangkumi ubat antibarah, antibiotik, ubat untuk kolesterol, darah tinggi, hormon, steroid, malah ubat penahan sakit.

Di sesetengah negara membangun pula, isu paling mengganggu adalah kewujudan ubat tiruan bagi penyakit mengancam nyawa seperti malaria, batuk kering, malah HIV/Aids. Di kalangan negara industri dan sesetengah negara miskin, pembelian ubat menerusi internet adalah sumber utama ubat tiruan.

Sesetengah farmasi internet bukan saja menjual ubat tiruan, malah farmasi itu sendiri haram daripada sudut operasinya. Ada kes membabitkan farmasi internet yang bukan saja tidak dapat dikesan lokasi operasinya, malah menjual produk yang turut tidak diketahui sumbernya.

Walaupun kebanyakan sasaran ubat tiruan adalah negara miskin dan membangun, pengalaman pengeluar farmasuetikal terkemuka, Pfizer membawa dimensi baru ubat tiruan. Jika sebelum 1995, mereka banyak menemui ubat tiruan di negara membangun, pada 1999 (empat tahun selepas penghasilan Viagra), viagra tiruan ditemui di Britain. Sejak itu viagra tiruan ditemui di 73 negara di seluruh dunia! Di negara yang dikatakan memiliki perundangan dan pelaksanaan ketat seperti Australia, Jepun dan Kanada, ubat tiruan masih boleh menembusi pasaran farmasuetikalnya, walaupun hanya membabitkan satu peratus jualan.

Di negara Eropah, statistik penggunaan ubat-ubatan tiruan adalah lima kali ganda dari tahun lalu. Ia bukan datang dari India dan China saja, malah dari Amerika Syarikat. Di negara Afrika dan sesetengah negara Asia dan Amerika Latin, jualan ubat tiruan mencecah 30 peratus. Kes membabitkan pembelian ubat tiruan di internet pula sebanyak 50 peratus.

Reggie berkata, Pertubuhan Kastam Sedunia membuat 4,000 rampasan membabitkan ubat tiruan untuk 2004 saja. Di mana Malaysia dalam lambakan ubat tiruan di pasaran negara membangun dan negara miskin? Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Ahmad Nozrin Taharin berkata, di negara kita semua ubat dibekalkan di semua hospital kerajaan datang daripada syarikat yang dikawal oleh kerajaan.

Bagaimanapun itu tidak bermakna ubat tiruan tidak wujud di Malaysia. Berdasarkan kajian kementerian pada 1997, 5.28 peratus ubat-ubatan di pasaran adalah ubat tiruan, katanya.

Tahun lalu, daripada hasil kajian dibuat Pfizer mendapati 4.8 peratus ubat di pasaran adalah ubat tiruan. Tahun lalu juga daripada 32,067 rampasan dibuat Biro Perkhidmatan Farmasi, 245 adalah tiruan. Sehingga Januari 2007, 129 daripada 13,774 rampasan adalah ubat tiruan membabitkan jenama dan produk yang berulang.

 Sesuatu yang menarik, di Malaysia kebanyakan ubat tiruan adalah ubat-ubatan herba. Lebih menarik, kebanyakan ubat itu adalah ubat kuat. Antaranya tongkat ali super power, maajun kuat, spanish fly, kapsul tongkat ali asli.

Kebanyakan ubat tiruan ini disahkan mengandungi racun berjadual oleh Biro Perkhidmatan Farmasi, manakala spanish fly disahkan mengandungi sildenafil. Ahmad Nozrin berkata, pada Mei 2005, kementerian memperkenalkan logo hologram bagi menangani fenomena ubat tiruan. Sejak itu, jumlah ubat tiruan yang disita menurun setiap tahun.

 Begitupun ia tidak bermakna ia sudah berjaya ditangani sepenuhnya. Apatah lagi, selain masalah ubat tiruan, di Malaysia wujud lambakan ubat-ubatan herba yang dihasilkan tanpa kajian dan ujian klinikal. Sama ada dalam bentuk tablet, kapsul dan pil ia turut dipromosikan sebagai makanan tambahan.

 Begitupun sejauh mana keberkesanannya pada pengguna turut dipertikaikan. Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh disalahkan kerana menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sejumlah dana sudah disediakan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Menerusi dana berkenaan golongan berkaitan boleh bekerjasama dengan universiti tempatan dalam menjalankan kajian dan ujian klinikal.

 

Kementerian Kesihatan kerjasama dengan SKMM pantau produk tiruan Ruj: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Akta Farmasi yang sedang digubal dan menggabungkan lima akta sedia ada memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan menangani masalah lambakan ubat dan produk kosmetik tidak berdaftar dan tiruan, termasuk produk dijual secara online. Akta itu juga memperuntukkan hukuman lebih keras, iaitu penjara minimum setahun dan denda minimum RM200,000, berbanding akta sedia ada yang memperuntukkan hukuman denda RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu menjual ubat dan kosmetik tiruan dan tidak berdaftar. Menerusi akta itu kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau penjualan ubat tiruan dan produk kosmetik tidak berdaftar secara online yang mengandungi racun berjadual dikawal penggunaannya seperti steroid, sildenafil (ubat kuat lelaki), tadalafil, verdanafil dan sibutramine. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Rang Undang-Undang Farmasi sudah dihantar ke pejabat Peguam Negara dan bacaan pertama di Parlimen dijangka akhir tahun ini. Katanya, penggubalan akta lebih tegas itu bertujuan menangani masalah lambakan ubat tiruan dan produk kosmetik tidak berdaftar dengan lebih menyeluruh. “Kementerian tidak benar racun berjadual dijual secara online. Kementerian akan bekerjasama dengan SKMM untuk siasatan dan serbuan serta sekat laman web terbabit,” katanya kepada Berita Harian. Racun berjadual seperti sibutramine kebiasaannya terkandung dalam produk melangsing badan dan sildenafil dikawal penggunaannya kerana boleh membawa mudarat kepada pengguna jika diambil tanpa pengawasan doktor. Penggunaan racun berjadual juga boleh menyebabkan penyakit kronik, termasuk gila jika individu memakan campuran bahan berkenaan tanpa nasihat doktor. Semua ubat dan produk kosmetik perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan untuk dijual dan digunakan pengguna, yang mana ubat racun akan ditandakan huruf A pada hujung nombor pendaftaran (contoh: MAL1999244A) dan hanya boleh diperoleh di klinik atau farmasi, ubat bukan racun (OTC) ditanda X (contoh: MAL199955080X).

 

Penjara untuk penjual ubat tiruan: Ruj: Metro

KUANTAN: Akta Farmasi yang bakal menyaksikan individu didapati mengedar dan menjual ubat tiruan dikenakan hukuman lebih berat dijangka boleh dikuatkuasakan mulai tahun depan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan membentangkan rang undang-undang mengenai perkara itu pada sidang Dewan Rakyat, Mac depan supaya penguatkuasaannya dapat disegerakan, sekali gus mencegah isu lambakan ubat tiruan di pasaran. Akta Farmasi itu akan menggantikan lima akta berkaitan ubat, racun dan pendaftaran perubatan iaitu Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Jualan Ubat 1952, Akta Pendaftaran Farmasi 1951 dan Akta Ubat (Jualan dan Iklan) 1956 sekali gus memudahkan pihaknya mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terbabit. “Akta sedia ada hanya memperuntukkan hukuman denda dan saya dapati peniaga termasuk penjual ubat tradisional tidak serik berbuat demikian, malah dapat memperoleh keuntungan besar dengan menipu pengguna. “Oleh yang demikian, kita berharap Akta Farmasi yang dikuatkuasakan itu bukan saja membolehkan individu didapati bersalah dikenakan denda, tetapi dipenjara mengikut kesalahan masing-masing,” katanya. Beliau berkata demikian selepas melawat wartawan akhbar China Press, Chow Siew Chin, 26, yang kerugian lebih RM48,000 selepas disamun lelaki bersenjatakan pisau yang turut melarikan Perodua Myvinya dalam kejadian Selasa lalu. Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani. Liow yang juga Timbalan Presiden MCA yakin Akta Farmasi itu akan memberi dimensi baru dalam usaha kerajaan membanteras lambakan ubat tiruan termasuk ubat tradisional dari luar negara yang dijual secara berleluasa tanpa pengetahuan kementerian. Sementara itu, Chow berkata, kejadian itu menyebabkan dia trauma dan tidak berani keluar rumah sehingga terpaksa ditemani ahli keluarga jika mahu ke mana-mana.

 


P/S : Di Akhir zaman ini, wang besar, mengejar kekayaan dan pangkat yg bersifat duniawi  lebih penting diutamakan dari kasih sayang menjaga nyawa manusia!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.