Pencemaran elektromagnet ancaman baru
Oleh LAUPA JUNUS laupa.junus@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm
MANUSIA dan telefon bimbit tidak
dapat dipisahkan. Sekurang-kurangnya mereka yang mampu pasti memiliki seunit
gajet tersebut. Mereka memerlukan telefon bimbit untuk pelbagai kegunaan,
khususnya untuk berkomunikasi. Tambahan pula dengan teknologinya yang
berkembang pantas, menjadikan ia alat perhubungan utama ketika ini.
Bukan setakat berbual, malah
melalui telefon bimbut kita boleh berkongsi gambar dan video serta aplikasi
lain. Sebab itu pengeluar alat selular itu berlumba-lumba menampilkan teknologi
terkini dalam produkmereka untuk menarik pembeli.
Kadang-kadang di sebalik segala
kebaikan dan kemudahan yang ada timbul pula kesan negatif. Begitu juga dengan
penggunaan telefon bimbit. Di samping kemudahan yang ditawarkan, ia turut
dikatakan mempunyai elemen negatif. Ada yang mengatakan ia boleh mengundang
penyakit tertentu jika pendedahan terlalu lama.
Dalam setiap kepesatan penggunaan
teknologi pasti ada harga yang perlu dibayar. Sama harga pada barangan yang
kita beli, atau kesan kepada hidup dan kesihatan yang kita tidak nampak. Namun
peraturan antarabangsa telah menetapkan bahawa setiap penghasilan barangan
elektrik dan elektronik perlu mematuhi piawaian kualiti dan peraturan yang
telah ditetapkan.
Selain kualiti barangan dalam
bentuk fizikal seperti reka bentuk dan saiz, aspek yang turut diberikan
perhatian kini ialah kadar pancaran gelombang elektromagnet yang terhasil
daripada penggunaan produk-produk berkenaan. Lagi pula dalam sistem komunikasi
tanpa wayar atau dalam kata lain penggunaan telefon bimbit ia bergantung
sepenuhnya kepada gelombang elektromagnet. Sudah tentu sedikit sebanyak ia akan
memberi kesan kepada kehidupan kita. Tetapi sejauh mana gelombang elektromagnet
ini memberi kesan dan boleh menjejaskan kehidupan kita?
Menurut seorang pakar bidang
terbabit , Prof. Dr Mohd. Zarar Mohd. Jenu dari Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia (UTHM), gelombang elektromagnet terdiri daripada medan magnet dan
elektrik yang saling berpasangan serta mempunyai spektrum frekuensi yang lebar
sehingga ke sinaran gamma.
Mohd. Zarar yang juga Ketua Pusat
Keserasian Elektromagnet UTHM berkata, frekuensi gelombang yang mempunyai
banyak aplikasi terutama bidang komunikasi adalah yang berada pada julat antara
30 MHz hingga 30 GHz.
''Dewasa
ini semakin banyak peralatan elektrik dan elektronik dihasilkan dan setiap alat
ini akan memancarkan gelombang elektromagnet secara sengaja atau tidak sengaja.
Akibatnya alam sekitar semakin dicemari oleh fenomena ini.
''Inilah yang dinamakan pencemaran elektromagnet.
Masalah daripada pencemaran ini ialah kemungkinan sesuatu peralatan tidak dapat
berfungsi dengan baik jika ia berada dalam persekitaran pencemaran itu,''
katanya.
Beliau
menjelaskan, masalah pencemaran air dan udara boleh kelihatan atau dirasai dan
manusia boleh mengelakkannya. Tetapi tidak ada apa yang mereka boleh lakukan
terhadap pencemaran elektromagnet.
Pancaran gelombang elektromagnet
bukan sahaja tidak kelihatan malah tidak berbau. Tetapi ia mengancam manusia
sepanjang 24 jam apabila menggunakan telefon bimbit, komputer, barang elektrik
dan peralatan yang mengeluarkan pancaran gelombang.
Katanya, sebelum ini jika ada
aduan mengenai bahaya pencemaran gelombang pada menara komunikasi, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Nuklear Malaysia akan
membuat ujian mengesahkan masalah tersebut.
Apa yang berlaku ialah kesemua
ujian mengesahkan tidak berlaku ancaman gelombang elektromagnet tersebut.
Ukuran yang dibuat dalam ujian tersebut tidak menunjukkan berlaku jumlah
pancaran yang melepasi had di tetapkan piawaian antarabangsa.
Had itu pula ditentukan bagi memastikan
tidak ada kemungkinan berlaku kenaikan suhu badan keseluruhan melebihi satu
darjah Celsius.
Maka, kata Mohd. Zarar, jika
pengukuran adalah di bawah had yang ditetapkan kesan jangka pendek seperti
kenaikan suhu tisu yang boleh menjejaskan kesihatan tidak akan berlaku.
Namun demikian menurutnya,
pendedahan yang lama terhadap gelombang elektromagnet berkuasa rendah
berpotensi memberi kesan kepada kesihatan manusia.
''Ia (kesan) bukan kelihatan
serta merta kerana mungkin akan menjejaskan sel manusia pada masa akan datang
jika terdedah terlalu lama," katanya.
Menurut beliau, ini kerana
gelombang itu mampu menyusup ke dalam sel manusia dan mengubah struktur
atomiknya.
Kenaikan suhu badan tidak sesuai
lagi diambil sebagai ukuran mutlak sebagai bukti berlakunya ancaman gelombang
elektromagnet terhadap kesihatan manusia kerana kesan yang berbentuk mikro
perlu diberi perhatian dalam jangka masa panjang.
Beliau mendakwa, gelombang yang
terkena pada badan manusia boleh membawa kepada berlakunya gerakan anggota badan
tidak dapat dikawal dan juga mengganggu tindakbalas kognitif.
Ini kerana tubuh manusia secara
semula jadi mempunyai sistem elektrik yang kompleks berdasarkan kepada gerakan
anggota badan yang berlaku atas arahan otak menerusi impuls saraf.
Jika sistem elektrik badan ini
diganggu pula dengan pancaran gelombang elektromagnet daripada luar, ia
berpotensi membawa kesan kepada manusia yang tidak dijangka.
Beliau juga menjelaskan kaedah
yang digunakan bagi menjamin tahap pancaran telefon bimbit adalah terkawal.
Ukuran yang digunakan adalah
kadar tenaga yang diserap oleh bahagian kepala (Specific Absorption Rate atau SAR)
menggunakan unit Watt bagi setiap kilogram.
Berdasarkan had antarabangsa, SAR
yang dibenarkan adalah sehingga 2 W/kg, tetapi sesetengah negara seperti
Amerika Syarikat pula hanya membenarkan SAR pada tahap maksimum 1.6 W/kg untuk
memastikan telefon bimbit berkenaan tidak mendatangkan masalah kepada pengguna
di negara itu.
Oleh itu sudah sewajarnya setiap
pengguna telefon bimbit memeriksa SAR telefon bimbit masing-masing atau
sekurangya bertanya kepada penjual.
Mohd
Zarar membayangkan masalah ancaman gelombang elektromagnet ini semakin
membimbangkan memandangkan teknologi wayarles kini semakin diutamakan dan
dipromosikan sebagai satu gaya hidup masyarakat moden.
Beliau menyimpulkan bahawa kesan
pencemaran itu serius kerana berpotensi memberi kesan kepada manusia dalam
jangka panjang.
Kata beliau, kes-kes berkaitan
antaranya gangguan pada televisyen ketika sedang menggunakan mesin pengisar,
kereta yang sistem brek automatik (ABS) nya berfungsi secara sendiri, dan
juruterbang pesawat mendengar suara kanak-kanak di kokpit.
Selain itu masalah kebakaran
kereta ketika menggunakan telefon bimbit semasa mengisi minyak adalah contoh
betapa seriusnya implikasi pencemaran elektromagnet itu jika tidak dikawal. apa
yang perlu dilakukan ialah supaya barangan elektrik dan elektronik yang berada
di pasaran memenuhi keperluan keserasian elektromagnet (electromagnetic
compatibility (EMC)).
Ia bagi memastikan barang
tersebut tidak mengeluarkan pancaran gelombang elektromagnet yang melebihi
paras tertentu dan pada masa yang masa barangan tersebut adalah kebal dari
gangguan gelombang di persekitaran nya.
Beliau berkata, pada masa ini, negara-negara
maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun telah menetapkan
peraturan EMC yang perlu dipatuhi oleh negara pengeksport seperti Malaysia.
Lebih penting kata beliau ialah
kesedaran terhadap peraturan EMC amat penting kepada pengeluar tempatan untuk
memastikan barangan mereka dapat terus dipasarkan dan menyumbang kepada ekonomi
negara ini.
Selain itu, kesan gelombang
elektromagnet terhadap kesihatan manusia telah banyak dipersoalkan oleh
pelbagai pihak. Badan antarabangsa seperti International Committee on Non-Ionizing
Radiation (ICNIRP) telah mengeluarkan had bagi pendedahan kepada radiasi
gelombang elektromagnet sehingga ke frekuensi 300 GHz.
Namun demikian had ini terbatas
kepada kesan peningkatan suhu dalam tisu manusia atau kesan 'thermal'. Ujian
yang dijalankan setakat ini menunjukkan kesemua pemancar gelombang berkenaan
memancarkan tenaga elektromagnet yang jauh lebih kecil dari had yang
ditetapkan.
Namun demikian banyak kajian yang
telah dijalankan menunjukkan walaupun tahap radiasi adalah rendah dan tiada kesan
'thermal' yang membahayakan, kesan mikro pada tahap sel manusia tidak boleh
diabaikan begitu saja.
Kesan sebenar dalam jangka masa
panjang terhadap pendedahan berterusan kepada radiasi gelombang elektromagnet
tahap rendah mungkin boleh
membawa implikasi serius. Ini boleh dinamakan sebagai pembunuh senyap.
Untuk itu, UTHM mendahului universiti lain di negara ini dalam memberi
perhatian yang serius terhadap bidang yang berkaitan kesan gelombang
elektromagnet terhadap alatan dan manusia dengan mewujudkan pusat berkenaan.
Pusat Keserasian Elektromagnet
UTHM menyedikan khidmat untuk menguji tahap pancaran elektromagnet dari alatan
IT, Audio-Video and alat rumah mengikut piawaian antarabangsa.
Beliau boleh dihubungi di zarar@uthm.edu.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.