Kira-kira satu pertiga daripada semua jenis
kanser sebenarnya boleh dicegah setiap tahun jika orang ramai mengamalkan corak
pemakanan yang sihat, tidak mengambil minuman beralkohol dan lebih banyak
bersenam.
Pakar
Kesihatan dari Institut Penyelidikan kanser Amerika Syarikat (AICR) dan Dana
Penyelidikan Kanser Dunia (WCRF) percaya bahawa membuat sedikit perubahan mudah
bagi gaya hidup seharian boleh mencegah kira-kira 40 peratus kanser payu dara
di Britain dan Amerika Syarikat.
Begitu
juga bagi beribu-ribu kes kanser usus, perut dan prostat.
"Sungguh
menyedihkan apabila melihat tahun 2011 masih ramai orang yang mati akibat
kanser yang sepatutnya boleh dicegah melalui diet, mengekalkan berat badan yang
sihat, aktiviti fizikal dan faktor-faktor gaya hidup yang lain," kata
MArtin Wiseman, Penasihat Perubatan dan Saintifik WCRF.
Menurut
Wiseman, di China saja sebanyak 620,000 kes kanser atau 27 peratus boleh
dicegah, manakala di AS sebanyak 35peratus atau 340,000 kes dan di Britain
sebanyak 37 peratus.
Gaya
hidup yang sihat juga dapat mencegah 61,000 kes kanser di Brazil dan 79,000 kes
di Britain.
Penemuan
WCRF tersebut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut
menyarankan bahawa kerap berenam boleh menghalang banyak penyakit seperti
kanser, sakit jantung dan diabetes.
Kanser
merupakan punca kematian utama di seluruh dunia dan insidennya terus meningkat.
Setiap
tahun kira-kira 12.7 juta orang didapati menghidap kanser dan 7.6 juta orang
mati disebabkan penyakit yang berbentuk kanser. Terdapat kira-kira 200 jenis
kanser yang diketahui.
Mengikut
Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), kanser akan
membunuh lebih daripada 13.2 juta orang setahun menjelang tahun 2030, iaitu
hampir dua kali ganda daripada jumlah yang mati pada 2008 dan majoriti kematian
adalah di negara-negara yang lebih miskin.
Sementara
itu dalam kenyataan berasingan, WHO yang beribu pejabat di Geneva menyebut,
kadar aktiviti fizikal yang rendah menjadi punca utama kepada anggaran 21
hingga 25 peratus kes kanser payu dara dan usus, 27 peratus bagi kes diabetes
dan 30 peratus kes penyakit jantung di seluruh dunia.
Timbalan
Ketua Bahagian Sains WCRF, Rachel Thompson, berkata walaupun mesejnya mudah -
iaitu jangan merokok, makan makanan yang baik dan mengekalkan berat badan yang
sihat boleh membantu mengelak kebanyakan jenis kanser - namun ia sukar untuk
difahami oleh orang ramai.
"Kita
sudah cuba sebaik mungkin untuk sampaikan mesej tentang ini yang anda perlu
makan dan jumlah ini yang sepatutnya anda lakukan senaman, tetapi masih sukar
untuk difahami".
WHO
turut menyebut bahawa individu dewasa sepatutnya melakukan senaman sederhana
sekurang-kurangnya 150minit seminggu.
Ini
boleh dilakukan hanya dengan berjalan kaki selama 30minit lima kali seminggu
atau berbasikal ke tempat kerja setiap hari.
Dalam
pada itu Ketua Yayasan Paru-Paru Sedunia, Peter Baldini juga menyeru semua
kerajaan di seluruh dunia memperkenalkan undang-undang bebas rokok dan
menaikkan harga rokok.
Ini
kerana rokok telah membunuh berjuta-juta perokok setiap tahun dan kanser
paru-paru berkaitan dengan tabiat merokok juga telah membunuh beribu-ribu orang
yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok.
Memang
tidak ada peluru ajaib yang dapat menyembuhkan semua bentuk kanser, tetapi kita
ada peluang dan obligasi untuk melindungi diri dan orang tersayang daripada apa
juga bentuk kanser dalam apa juga cara," kata Baldini.
UTUSAN MALAYSIA - 8
Februari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.