NUSAJAYA
11 Feb. – Sepasang suami isteri berketurunan Iban hanya sempat menimang cahaya
mata sulung mereka enam hari apabila bayinya itu meninggal dunia semalam akibat
tersedak susu.
Kejadian
tersedak susu itu didakwa berlaku di wad Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor
Bahru setelah bayi itu dirawat di situ selama dua hari.
Ibu
bayi terbabit, Cassindra Gelungan, 25, mendakwa, anaknya yang diberi nama Angel
Cassandra dilahirkan dalam keadaan normal dan sihat pada 4 Februari lalu.
Namun,
katanya, disebabkan dilahirkan tidak cukup bulan iaitu berusia 35 minggu, Angel
terpaksa ditahan di wad HSA.
“Sepanjang
tempoh itu, saya sendiri datang melawat dan menjaganya. Namun ketika tiba di
wad yang menempatkan bayi saya pada Rabu lalu, ada kesan lelehan susu kering di
bahagian tepi mulutnya.
“Angel
tidak memberi sebarang respons pergerakan. Saya segera maklumkan kepada
jururawat bertugas dan rawatan kecemasan dilakukan. Dan ia berjaya membuatkan
jantung Angel kembali berdegup sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Sejak
insiden itu, anak saya berada dalam keadaan kritikal dan pada semalam,
keadaannya amat lemah dan pukul 4.20 petang, anak saya disahkan meninggal dunia
oleh doktor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman
Nusantara di sini hari ini.
Bapa
bayi itu, Jacbelin Jemmy, 23 memberitahu, dua laporan polis berkaitan kes
terbabit di buat di Balai Polis Johor Bahru Sentral hari ini.
Jacbelin
dalam nada kesal bagaimanapun memberitahu, dia kecewa dengan sikap sambil lewa
kakitangan HSA yang cuai menjaga bayinya walaupun katil Angel berada dekat
dengan kaunter jururawat dan laluan utama mereka.
Sementara
itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr. Mohd Khairi Yakub ketika dihubungi
berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat secara
terperinci mengenai kematian Angel.
“Kita
melakukan bedah siasat dan mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
kematian bayi berkenaan. Bagaimanapun, kami akan menyiasat perkara ini dengan
lebih teliti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.