Ahad, 7 April 2013

produk mengandungi bahan beracun


47 produk mengandungi bahan beracun disenarai hitam

 

Sebanyak 47 produk pelangsing badan, kosmetik dan ubat-ubatan tradisional yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan disenarai hitam kerana dikesan mengandungi bahan kimia beracun termasuk steroid yang boleh memudaratkan pengguna. Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail, berkata kebanyakan pengeluar apabila mahu mendaftarkan produk mereka dengan kementerian, akan memberikan sampel yang mengandungi kandungan produk herba.

 

“Bagaimanapun, selepas mendapat kelulusan, secara sembunyi mereka mencampurkan produk itu dengan bahan memudaratkan bagi memberi kesan segera kepada pengguna, sebelum diedarkan di pasaran,” katanya kepada Berita Minggu. Katanya, ada pengguna meninggal kerana menggunakan produk ini dan dikhuatiri ramai mendapat penyakit kronik, termasuk gila jika memakan campuran bahan berkenaan secara sesuka hati tanpa pengetahuan dan nasihat doktor.

 

Beliau berkata, syarikat pengeluar mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit setiap bulan berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna apabila melihat kesan segera apabila menggunakan produk itu.

 

Antaranya ialah 12 produk pelangsing badan yang dicampur bahan aktif sibutramine untuk mengurangkan selera makan; 17 produk kosmetik dicampur bahan pemutih hydroquinone dan tretinoin serta 18 produk tradisional dicampur dengan steroid dan antihistamine.

 

“Produk ini terkenal dan mendapat permintaan tinggi di pasaran, walaupun harganya mahal dengan pengeluar mencatat keuntungan jutaan ringgit setiap bulan.

 

Mazlan yakin masih banyak produk sedemikian dijual di pasaran, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dilakukan termasuk merampas dan menggantung lesen syarikat pengeluar terbabit.

Beliau berkata, produk itu banyak dijual di toko jamu, kedai ubat tradisional dan syarikat jualan langsung.

 

“Produk beracun ini mudah dikenal pasti menerusi iklan dan tuntutan yang meragukan serta menarik perhatian,” katanya.

 

Katanya, nilai rampasan setiap produk itu juga tinggi dan meningkat setiap tahun dengan produk pelangsing RM966,871 bagi 2007; RM858,522 (2008); RM1,136,004 (2009) dan RM1,047,592 (sehingga Jun ini).

 

Mereka yang bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952 yang mengenakan denda minimum RM5,000, manakala bagi Akta Jualan Dadah, denda maksimum RM50,000.

 

INFO


Produk disenarai hitam Kementerian Kesihatan

 

Produk pelangsing badan berdaftar ada sibutramine

  Kintop

  Body Beaus

  BMI-9 Xylimming Capsule

  Senna Plus Capsule

 

Produk tidak berdaftar mengandungi sibutramine:

  Lami

 

Produk berasaskan makanan mengandungi sibutramine:

  Obexlim

  Slimax Coffee

  Beaute Fit Body Contour

  Body Trimz

 

Produk tradisional berdaftar yang mengandungi steroid:

  357 Nasal Spray

 

Produk tradisional tak berdaftar mengandungi steroid:

  Makjun Taufiq Dua Istimewa

  Majun Dua Istimewa

  Ginseng Jin Fui Wan

  Maajun Tenaga Herba Ubi Jaga

  Jamu Tradisional Jaya Asli (Anti Asam Urat)

  Red Brand Ginseng Plus Zheng Fei Capsule

  Ren Sem Tu Chon Chin Kuo Pill

  Makjun Syafiq 3 Istimewa

  Reepo

 

Produk berasas makanan yang mengandungi steroid:

  Air Ikan Haruan

 

Produk kosmetik yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin atau salah satu:

  Eriesya Spa Beauty Cream

  Atika Beauty Renewal Cream

  Temulawak Whitening Pearl Cream Papaya

  Ratna Sari Whitening Night Cream

  Tia Amelia Krim Jeragat

  Chantique Whitening Night Cream

  RZAC White Pearl Cream

  Nuriz Day and Night Cream

  Elite Rias Er Cream

  R&Z Whitening Night Cream

  Beauty Line Beautitude Multipurpose Cream

  Pigmentation Recovery Complex

  Zara Rejuvenation Cream

  Natasya Krim Herba Gold

  De Putih Night Cream

 

Produk tradisional berdaftar ada antihistamine

  Eng Leong Cordyceps Chuanbei Plus Cough Pill

 

Produk tidak berdaftar mengandungi antihistamine

  Pil Zhen Zhu Bai Fong Wan

  Qian Tong Dan

  Raja Ubat Resdung

  Coral Plus UA 350MG

 

Oleh Faiza Zainudin (Berita Harian)

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.