CIRI-CIRI INSAN YANG BAIK
Tadi dah jenuh disajikan
dengan manusia yang kita muskil kredibilitinya atau wibawanya... Nah di sini di
tampilkan pula ciri ciri doktor atau insan yang anda boleh cari dan percaya
mereka merawat anda dengan ikhlas dan suci hati tanpa meletakkan wang ringgit
terlebih dahulu di hadapan mereka .....
Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah
suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam
apabila wafatnya junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W, maka seorang
khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum
pemakaman baginda S.A.W dilangsungkan. Ijma’ sahabat sepakat bahwa haram
hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih
dari tiga hari tiga malam.
Sabda Nabi S.A.W:
“Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka
hendaklah dilantik
seorang ketua”. (Riwayat Abu
Daud)
Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk
mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan
kemaslahatannya adalah wajib. Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat
soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.
Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menjadi
pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa pemimpin yang baik akan memberikan kesan
yang amat besar terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.
Kita juga hendaklah memahami bahawa soal kepimpinan
mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah
sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah
terhadap kita pada hari kiamat kelak.
Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38:
“Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa
yang telah
dikerjakannya”.
Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas
secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita
gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat
maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41:
“Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang
menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari Kiamat pula mereka tidak mendapat
sebarang pertolongan”.
Islam telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk
menjadi pemimpin yang baik. Berikut adalah antara ciri-ciri utama sebagai
seorang pemimpin yang baik;
1. Seorang yang berupaya untuk menjaga agama dan
menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama
sebagai ‘istihza’ atau dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin
sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W ‘niabatan
‘anin nabi saw’
untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat
Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan
mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi
zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan
kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan
segala urusan”. 2. Seseorang
yang memiliki ‘al-Quwwah’ yakni kekuatan dari semua sudut samada
fizikal, spiritual dan mental. Dalam al-Qur’an telah dijelaskan kisah dua anak
perempuan Nabi Syu’aib meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala
kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah, inikan lagi soal
memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih luas dan
amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26:
“Salah seorang antara perempuan yang berdua itu
berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya
sebaik baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi
amanah”.
3. Seseorang yang memiliki sifat taqwa, kerana
ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegrit dan takutkan
Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 103:
“Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan
bertaqwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi
Allah itu
adalah lebih baik, seandainya
mereka mengetahuinya”.
4. Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil
dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya.
Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan
menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran
untuk menjamin kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi.
Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya
menyerahkan segala
jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya). Apabila
kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu
menghukum dengan adil…”.
5. Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab
dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap
bertanggungjawab dan peka dalam semua perkara ditunaikan kepada orang
bawahannya dengan penuh kasih sayang dan kemesraan tanpa ada pemisah atau
jurang kesombongan.
Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah 128:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang
Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang
mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan
kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang
terhadap orang yang beriman”.
6. Seseorang pemimpin itu hendaklah tegas dan
berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil
tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang
terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun
lawan. Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya
aku akan
memotong tangannya”. (Riwayat al-Bukhari)
7. Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik
budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya.
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W
bersabda:
“Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya
adalah mereka yang paling baik akhlaknya”. (Riwayat at-Tirmidzi)
8. Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan
janji-janjinya kepada
orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji
adalah pemimpin
yang disenangi dan dipercayai oleh orang
bawahannya, bukan berdusta
dan menghampakan orang bawahannya.
Sabda Nabi S.A.W:
“Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin
rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya,
maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan
yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam
al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab ‘Al-Jamik li Ahkamil Quran’ bahawa, Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin
mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim
mereka tidak layak menjadi pemimpin”.
Hadis daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah S.A.W
bersabda
yang bermaksud:
“Bahawasanya akan wujud (akan datang) para
pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan
pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan
daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia
tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa
yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman
mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia
akan menemuiku di haudh”. (Riwayat Imam Ahmad)
Marilah kita menjadi Insan, doktor, guru, peguam, polis,
profesional dan pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya.
Kerana hanya insan yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu
menjalankan tanggungjawabnya sebagai apa apa bidang kerja dengan jujur, amanah
dan adil.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan-ejekan dan permainan
di kalangan orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang kafir
musyrik itu sebagai pemimpin dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu
benar-benar orang yang beriman”. (Al-Maidah
: 57)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.