Ubah gaya hidup lawan kanser
Oleh RABIATUL
ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
adawiyah.koh@utusan.com.my
ILA doktor beritahu saya kena kanser tahap empat, rasa dunia saya gelap. Macam-macam yang saya fikir ditambah pula dengan perasaan takut, risau dan kadang-kala tidak tahu apa yang perlu saya lakukan.
"Beliau menyarankan saya segera menjalani pembedahan kerana kanser prostat saya di tahap yang serius.
"Saya terduduk dan terdiam. Saya tidak dapat membuat keputusan. Malam itu, saya tidak dapat tidur. Ahli keluarga saya pula terkejut dengan berita yang saya sampaikan. Sebelum ini, saya cuma dengar tentang penyakit ini, bila terkena pada diri sendiri, saya jadi bingung," ujar Dhanaraj Kumar, 58, mengimbas semula peristiwa pada Mac 2010.
Keesokan harinya, Dhanaraj sudah sedia memberitahu doktor keputusan yang dibuatnya.
Walaupun bagi orang lain keputusan itu mungkin salah, Dhanaraj cuba berfikiran positif.
"Saya tidak mahu melakukan pembedahan kerana belum bersedia. Doktor kemudian memberi saya ubat. Usaha saya tidak berhenti setakat itu sahaja. Saya berjumpa dengan beberapa orang pakar onkologi untuk mengetahui status penyakit dan rawatan yang saya perlukan.
Pembedahan"Rata-rata mereka menyarankan saya melakukan pembedahan. Cuma saya tertarik dengan pendapat seorang doktor ini. Beliau memberi saya dua pilihan, pembedahan atau hidup positif dengan mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.
Kata-kata doktor itu memberi sedikit harapan buatnya. Bukan dia mengingkari arahan atau menidakkan pendapat doktor sebelum ini. Cuma pengalaman beberapa ahli keluarganya sendiri yang menghidap kanser tidak menemui pengakhiran hidup yang positif. Semuanya pergi dalam masa yang singkat membuatkan Dhanaraj risau untuk melakukan pembedahan.
Justeru dia mengambil keputusan untuk memperbaiki gaya hidupnya untuk melawan penyakit itu.
Ditanya bagaimana beliau boleh mendapat penyakit tersebut, Dhanaraj sendiri tidak pasti apa punca kanser yang dihidapinya itu.
"Doktor pun belum dapat mengenal pasti puncanya, mungkin faktor pemakanan tetapi ia tidak dapat dipastikan," katanya.
Menurutnya, doktor menasihatkan dia mengubah cara makan, bersenam dan berhenti merokok.
"Nasihat itu saya ikut. Selama hampir setahun lebih ini, saya tidak lagi keluar bersuka-ria bersama-sama rakan-rakan sampai lewat malam. Kehidupan saya banyak dihabiskan bersama keluarga di rumah.
"Setiap hari saya akan tidur awal dan bangun pukul 5 pagi. Kemudian, saya akan berjalan kaki di sekitar rumah. Paling penting, saya tidak makan makanan segera. Saya banyakkan makanan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, halia dan bawang. Saya hanya bersarapan pagi dengan oat," katanya yang turut melakukan kaji selidik mengenai kanser prostat dan gaya hidup sihat.
Dhanaraj juga bersyukur kerana seorang rakannya memperkenalkan sejenis suplemen herba yang membantu dirinya mengawal kanser merebak lebih serius.
Hasil pemeriksaan kesihatan yang dilakukan Dhanaraj, paras prostat spesifik antigen (PSA) menurun dan berada pada tahap yang stabil.
Dalam hal ini, dia menyeru orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat jika mahu kesihatan mereka pulih atau bertambah baik.
"Persoalan sekarang bukan tentang apa yang perlu orang lain lakukan untuk anda. Tetapi pilihan atas anda sendiri. Macam saya, walaupun tidak mahu dibedah, saya mengubah cara pemakanan, tidur dan amalan seharian. Anda juga begitu. Lakukan perkara yang anda rasa baik," katanya yang cukup berterima kasih kepada isteri dan anak-anaknya yang tidak putus-putus memberi sokongan untuknya mengharungi hidup dengan positif walaupun menghidap kanser.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.