Baju buluh tahan busuk
MIANG pokok buluh boleh menyebabkan
kegatalan jika tidak kena cara memegangnya.
Namun, tumbuhan yang banyak terdapat
di negara ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat tersembunyi yang bermanfaat
untuk manusia.
Malah, buluh yang sama keluarga
dengan rumput itu turut enak jika rebungnya dimasak gulai. Bagi orang Melayu di
Negeri Sembilan, Perak dan Pahang, hari raya pasti tidak lengkap tanpa lemang.
Bukan itu sahaja tarikan tersendiri
tumbuhan ini. Buluh digunakan secara meluas untuk pembinaan jambatan, rumah
selain akar dan daunnya didakwa berkhasiat untuk merawat beberapa penyakit.
Ironi, buluh digunakan secara meluas
sebagai bahan utama Jambatan Sinchuan, China yang kini berusia lebih 1,000
tahun.
Selain itu, kediaman yang diperbuat
daripada buluh tidak mudah roboh atau musnah apabila dirempuh gempa bumi kerana
sifat elastiknya.
Kini, terdapat lebih 1 billion penduduk
di seluruh dunia menggunakannya untuk membina rumah.
Namun, bagi dua adik-beradik,
Shazila dan Shahiza Ghazi, mereka memaksimumkan buluh dengan cara tersendiri
dengan diterjemahkan dalam bentuk produk fabrik seperti pakaian, tuala, alas
lantai serta tudung.
Malah, syarikat milik mereka iaitu
Bamboo Malaysia Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2009 menjadi tempat dua wanita
ini bereksperimen dengan buluh sehingga dijadikan pakaian dalam lelaki dan juga
wanita.
Bertempat di Plaza Mont Kiara,
kedua-dua wanita ini teruja menceritakan erti buluh kepada kru Jurnal.
Menurut Shazila yang tampil menarik
memakai baju-T berwarna merah yang bahannya diperbuat daripada 70 peratus
buluh. Idea itu mula dijana dalam bentuk komersial oleh ayahnya, seorang bekas
senator, Datuk Ghazi Ramli.
“Ayah menubuhkan Yayasan Inovasi
Alam Sekitar Global (GIEF) pada 2010 yang memberi tumpuan kepada pembangunan
kreativiti dan inovasi berasaskan buluh.
“Menerusi GIEF, beliau mewujudkan
Dunia Bambu yang menekankan kepada penggunaan buluh untuk produk makanan,
perlindungan, pakaian, hiburan dan pengangkutan,” cerita Shazila dengan nada
teruja.
Tambahnya, dia dan adiknya, Shahiza
memperkembangkan idea ayah mereka pula dalam bentuk produk tekstil dan
cenderamata.
Baju buluh
Salah satu keunikan ‘idea’ mereka
ialah baju-T berasaskan buluh.
“Baju berasaskan buluh teksturnya
agak lembut, selesa dipakai selain mudah dibasuh. Selain itu, anda tidak perlu
menggunakan pelembut kain kerana pakaian itu sememangnya lembut dan ringan.
“Malah, baju ini juga tidak perlu
digosok dengan seterika kerana sifatnya yang elastik,” ujarnya.
Shazila juga mendakwa baju itu tidak
akan berbau hapak walaupun lencun terkena peluh berhari-hari.
Adiknya, Shahiza tampil mencelah
dengan mendakwa dia menggunakan baju itu selama tiga hari dan nyata masih
berbau harum kerana disembur dengan minyak wangi.
“Saya sebenarnya malas untuk
menggosok baju menggunakan seterika jadi ini satu perkara yang agak praktikal,”
katanya.
Tambah Shahiza, buluh bercirikan
anti bakteria, lembut serta teguh.
“Sebenarnya, produk tekstil
berasaskan buluh telah digunakan secara meluas di China, Australia, Taiwan,
Korea dan Jepun.
“Mereka menganggap pakaian
sedemikian lebih menjaga alam sekitar selain selesa digunakan,” ujarnya.
Cuma kos untuk produk berkaitan
buluh 20 peratus lebih mahal berbanding kapas.
Malah, jenis buluh yang sesuai
digunakan ialah moso yang hanya terdapat di China, Korea Selatan dan Jepun.
Pakai sendiri
Shazila memberitahu, sambutan rakyat
negara ini masih belum meluas kerana tidak banyak produk berkaitan buluh
terdapat di pasaran.
Setakat ini, produk mereka hanya
dijual secara online atau pameran dan ekspo tertentu.
Namun, pelbagai cerita lucu dan
komen yang mereka terima daripada pelanggan.
“Ramai yang bertanyakan adakah
memakai baju atau tuala buluh akan menyebabkan kegatalan dan miang pada tubuh
badan.
“Selain itu, ada pelanggan yang
bertanya sama ada mereka tidak menemui cebisan buluh baju, tudung dan sapu
tangan serta tuala,” katanya sambil ketawa.
Cerita Shazila lagi, ada juga pelanggan
lelaki yang segan untuk membeli seluar dalam.
“Biasanya kami hanya meletakkan
kotak seluar dalam lelaki di rak pameran. Sekiranya mereka ingin membelinya
baru kami akan memberikan bersama isi.
“Cuma mereka akan berasa malu-malu
untuk bertanya apa perbezaan berbanding seluar dalam berasaskan kapas dan
getah,” ujarnya.
Wanita yang masih bujang ini juga
bersyukur kerana keluarga, saudara-mara dan rakan-rakannya banyak membantu
melariskan jualan produknya.
“Tidaklah sampai memaksa mereka
membelinya cuma ingin mempromosikannya tanpa sebarang paksaan,” katanya.
Harga bagi setiap produk antara RM5.90 hingga RM600.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.