ARKIB : 31/12/2010
HUSM, doktor disaman RM8 juta
Oleh
AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
azran.rahim@utusan.com.my
Musa Abdul Kadir (kanan) bersama peguamnya, Mohd. Syukran
Mohd. Noordin menunjukkan writ saman yang difailkan di Kaunter Pendaftaran
Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, semalam.
|
KOTA
BHARU 30 Dis. - Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
hari ini mengemukakan saman RM8 juta terhadap Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) dan seorang doktornya kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan
isterinya meninggal dunia, tiga bulan lalu.
Dalam
saman tersebut, Musa Abdul Kadir, 47, mendakwa isterinya, Aummil Khairy Abdul
Razak, 44, meninggal dunia pada 21 September lalu akibat sakit teruk selepas
menjalani tiga kali pembedahan mengeluarkan kain kapas yang tertinggal dalam
rahimnya.
Writ
saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Rosnelim Yusoff & Co. di
Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 10.30 pagi ini.
Selain
Musa selaku plaintif pertama, empat lagi plaintif terdiri daripada empat
anaknya iaitu Nurnabihah, 7; Noor Muhamad Firdaus, 6; Nur Nabilah, 4; dan anak
bongsunya yang berusia empat bulan, Noor Muhamad Faiq.
Pihak
Plaintif menamakan pegawai perubatan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HUSM,
Dr. K. Bheena Vyshali; HUSM dan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai
defendan pertama sehingga ketiga.
Musa
turut hadir di mahkamah hari ini dengan ditemani peguamnya, Mohd. Syukran Mohd.
Noordin.
Dalam
pernyataan tuntutannya, plaintif pertama mendakwa, isterinya dimasukkan ke wad
bersalin hospital itu dan melahirkan bayi lelaki secara pembedahan oleh
defendan pertama pada 17 Ogos lalu.
Selepas
pembedahan tersebut, beliau mendakwa, isterinya masih merasai kesakitan yang
amat sangat dalam perutnya selama beberapa hari secara berterusan sehinggalah
beberapa doktor membuat pemeriksaan susulan pada 22 Ogos lalu.
Katanya,
kumpulan doktor itu memberitahu bahawa satu pembedahan susulan perlu dibuat
kerana mengesyaki terdapat kain kapas dalam rahim Allahyarham yang tertinggal
semasa pembedahan untuk melahirkan bayi itu.
Dakwa
Musa, beliau mengetahui mengenai kain kapas tersebut selepas dimaklumkan oleh
defendan kedua melalui doktor yang melakukan ujian X-Ray ke atas isterinya.
Pada
hari yang sama, pembedahan kedua dilakukan untuk mengeluarkan kain kapas tetapi
ia semakin serius sehingga menyebabkan Aummil Khairy tidak dapat membuang air
kecil atau besar.
Menurutnya
lagi, Aummil Khairy kemudian telah koma dan ditempatkan di wad Unit Rawatan
Rapi (ICU) dengan alat bantuan pernafasan.
Musa
mendakwa, beberapa hari kemudian, isterinya telah dibawa untuk pemeriksaan
imbasan (scan) ke atas perutnya selepas dipercayai ia semakin membengkak
sebelum dimaklumkan pembedahan ketiga perlu dilakukan.
Pembedahan
ketiga dilakukan pada 8 September lalu dan pakar perubatan yang menjalankan
pembedahan itu memaklumkan terdapatnya jangkitan kuman serta kebocoran usus
perut Allahyarham yang serius dan berada dalam keadaan kritikal.
Allahyarham
meninggal dunia pada 21 September lalu akibat jangkitan kuman dan komplikasi
kegagalan fungsi organ dalaman yang amat serius.
Tambahnya,
akibat kecuaian pihak defendan, beliau bersama anak-anak menanggung kesedihan,
terkejut, kehilangan orang yang tersayang dan mengalami kesusahan yang amat
sangat sehingga sekarang.
Pihak
plaintif memohon ganti rugi am RM5 juta, ganti rugi khas, ganti rugi teladan
RM2 juta dan ganti rugi teruk RM1 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.