Bayi hilang jari:
Pasangan dakwa doktor cuai
10/07/2011 8:45pm
MACHANG — Sepasang suami
isteri mendakwa bayi mereka yang berumur enam bulan mungkin kehilangan kesemua
lima jari tangan kiri akibat kecuaian doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab
II di Kota Bharu semasa merawat anak mereka pada Mei lepas. Ismail Lee
Abdullah, 30, dan isterinya Zuhariana Baharom, 30, berkata, anak mereka Nur
Ayreen Imanie yang dilahirkan sempurna sudah kehilangan tiga jari selepas
mendapat rawatan di hospital itu. Dua batang jari lagi kemungkinan akan hilang
kerana ianya semakin mengecut dan kebiruan, kata Ismail kepada pemberita ketika
ditemui di rumahnya di sini, hari ini. Beliau berkata, anaknya telah disuntik
semasa mendapatkan rawatan di hospital itu kerana mengalami masalah pernafasan
ketika berumur dua minggu. "Pada mulanya tangan kiri anak saya berubah
menjadi hitam dan kebiru-biruan dari paras siku hingga ke jari dan apabila
doktor menjalankan ujian imbasan mendapati saluran darah tersumbat pada
bahagian bekas suntikan. "Doktor kemudiannya bertindak memberikan ubat
pencair darah sebagai tindakan awal. Jari anak saya semakin teruk pada
keesokkannya dan mula mengecut, namun doktor hanya kata tunggu dan lihat,”
katanya. Beberapa hari kemudian doktor cuba merawatnya namun tidak berjaya dan
memaklumkan sudah tiada harapan untuk menyelamatkan jari itu, katanya. Ismail
berkata, beliau menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang namun hanya
akan berbuat demikian selepas menerima laporan lanjut daripada hospital yang
dijangka dalam masa terdekat. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.