Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor Slewen Jual Bayi


ARKIB : 04/11/2010

Polis siasat kenal pasti jumlah mangsa sindiket jual bayi

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti jumlah mangsa sindiket penjualan bayi yang didalangi sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini. Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini, hanya dua bayi diselamatkan kelmarin disahkan sebagai mangsa. Beliau berkata, kedua-dua bayi terbabit iaitu masing-masing seorang lelaki dan perempuan merupakan anak luar nikah dan sedia untuk diserahkan kepada ibu bapa angkat.

Malah, katanya, bayi perempuan diselamatkan disahkan sudah memiliki sijil kelahiran dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipercayai palsu kerana menamakan sepasang suami isteri yang membeli mangsa sebagai ibu bapa kandung. "Siasatan awal polis mendapati, hospital yang sudah beroperasi selama 30 tahun itu memang mempunyai lesen sah, manakala pemiliknya iaitu seorang doktor memang diiktiraf sebagai doktor perubatan. "Setakat ini, kita belum pasti sudah berapa lama hospital itu terlibat dalam sindiket penjualan bayi dan berapa ramai yang sudah menjadi mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada pukul 4.15 petang kelmarin, polis membongkar kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta selepas menahan enam suspek sebaik sahaja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000. Menurut Acryl Sani, enam individu yang ditahan terdiri daripada seorang doktor bergelar Datuk, isteri dan anaknya serta tiga pekerja hospital terbabit untuk siasatan lanjut. Beliau berkata, pihaknya kini menyiasat jika terdapat individu lain terlibat dalam sindiket tersebut dan meminta mana-mana pihak yang memperoleh bayi dalam keadaan meragukan supaya tampil menyalurkan maklumat.

Dalam pada itu, katanya, polis juga akan bekerjasama dengan JPN dalam menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada wujud kerjasama antara kakitangan jabatan itu dan kumpulan sindiket berkenaan. Dalam kes berasingan, Acryl Sani berkata, polis semalam menahan pemilik sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Jalan Klang Lama di sini, selepas seorang sukarelawan yang merupakan bekas jurugambar sebuah akhbar mendakwa lelaki terbabit sering mendera kanak-kanak di bawah jagaannya. Katanya, sukarelawan berusia 58 tahun tersebut sebelum ini menyerah diri kepada polis selepas didakwa melakukan jenayah seksual terhadap beberapa kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 14 tahun.

"Hasil siasatan mendapati suspek (sukarelawan) itu mencabul tiga kanak-kanak lelaki sebelum suspek membuat laporan polis dengan mendakwa pemilik pusat tersebut juga sering memukul kanak-kanak terbabit," katanya.Menurutnya, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah memberi keterangan, manakala pemilik pusat jagaan berusia 42 tahun itu ditangkap dan direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut. 

"Kita belum pasti sama ada dakwaan suspek terhadap pemilik pusat jagaan ini benar atau sebaliknya kerana hanya dia seorang mendakwa menyaksikan perbuatan itu namun polis tetap menjalankan siasatan memandangkan tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah," ujarnya. Mengenai nasib mangsa pula, beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjejaki ibu bapa atau waris kanak-kanak terbabit, manakala yang lain ditempatkan di bawah jagaan JKM.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.