ARKIB : 07/07/2010
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_07.htm
Ubat tamat tempoh didakwa punca telinga bernanah
NORIYAH Cheklah menunjukkan ubat
titis tamat tempoh yang digunakan anaknya, Nor Shamira Adila Mohd. Shah
sehingga menyebabkan sakit telinga anaknya semakin kronik ketika ditemui di
Melaka, baru-baru ini.
|
MELAKA 6 Julai - Seorang suri rumah mendakwa kecuaian kakitangan sebuah
klinik swasta di daerah Melaka Tengah memberi ubat yang telah tamat tempoh
menyebabkan telinga kiri anak perempuannya bernanah.
Noriyah Cheklah, 32, dari Klebang Besar di sini mendakwa anak tunggalnya,
Nor Shamira Adila Mohd. Shah, 8, terpaksa menanggung kesakitan apabila
telinganya mengalami kegatalan sehingga mengeluarkan nanah dan berbau.
''Saya membawa Shamira ke sebuah klinik swasta pada 26 Jun lalu dan
doktor yang memeriksa memberitahu telinga anak saya mengalami jangkitan dan ada
kulat.
''Doktor kemudian memberi tiga jenis ubat iaitu antibiotik, ubat tahan
sakit dan sejenis ubat cecair untuk dititiskan ke dalam telinga anak saya
dengan bayaran sebanyak RM35," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat aduan mengenai kejadian yang
menimpa anaknya itu di pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) negeri di sini
kelmarin.
Menceritakan lanjut mengenai kejadian itu kata Noriyah, selepas tiga
hari mendapatkan rawatan di klinik berkenaan, keadaan anaknya tidak menampakkan
sebarang perubahan malah sakit telinga yang dihadapinya semakin serius.
''Saya hairan melihat keadaan anak saya semakin teruk malah dalam
telinganya berair dan bernanah walaupun sudah diberi ubat.
''Namun, apabila saya amati semula botol ubat titis itu, baru saya sedar
ia sudah tamat tempoh sejak Disember tahun lalu. Saya bimbang kemungkinan ubat
itu yang menjadi punca sakit telinga anak saya semakin teruk," katanya.
Menurutnya, dia telah membawa anaknya melakukan pemeriksaan dengan doktor
pakar telinga di Hospital Melaka.
''Selepas tiga hari menggunakan ubat yang diberikan oleh pihak hospital,
bahagian telinga anak saya yang mengalami jangkitan mula kering dan beransur
pulih," katanya.
Menurut beliau, tujuan aduan itu dikemukakan kepada Pembela BN ialah
untuk memastikan tiada pengguna sepertinya ditimpa masalah yang sama dan dia
ingin mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkaitan.
''Jika dilihat keadaan anak saya sekarang, sakitnya sudah beransur baik
walaupun belum sepenuhnya, tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa
depan kesan daripada kecuaian klinik terbabit," katanya
Sementara itu Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata,
pihaknya kesal dengan sikap petugas di klinik terbabit yang cuai memberikan
ubat yang sudah tamat tempoh kepada kanak-kanak berkenaan.
''Pihak kami sudah menghubungi klinik terbabit bagi mendapatkan
penjelasan dan mereka mengakui kesilapan dan bersetuju untuk membiayai kos
perubatan susulan Shamira dengan pakar telinga di hospital," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.