Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor Jual Dadah


ARKIB : 13/10/2011

Klinik   jual  ubat  penenang tanpa lesen diserbu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_06.htm

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Hanya perlu menyebut kata laluan 'maruku', para penagih ubat psikotropik boleh membeli ubat penenang itu dari sebuah klinik swasta milik seorang doktor yang menggelarkan dirinya Tan Sri di Batu Caves dekat sini.

Doktor berusia 57 tahun yang pernah dikenakan tindakan gantung Sijil Amalan Tahunan (APC) oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) pada tahun 2009 hingga tahun lalu, mengambil kesempatan menjual ubat psikotropik dari Pakistan yang tidak didaftarkan di negara ini pada awal pagi setiap hari.

Perbuatan tersebut menyalahi undang-undang kerana ubat psikotropik yang digunakan untuk merawat pesakit insomia (masalah sukar tidur) dan 'anxiety' (gelisah) hanya boleh diberikan sekiranya mendapat nasihat bertulis oleh doktor. Ubat ini hanya boleh diambil sebiji sehari dalam tempoh dua atau tiga hari kerana pengambilan melebihi dua minggu akan menyebabkan pesakit menjadi ketagih dan bergantung kepadanya. Namun, aktiviti haram yang memberi keuntungan lumayan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan kepada doktor itu akhirnya terbongkar apabila orang awam memaklumkan kegiatan itu kepada wartawan yang kemudian melaporkan kegiatan tersebut kepada Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hasil maklumat itu, seramai 10 pegawai penguat kuasa Farmasi dari ibu pejabat KKM dan cawangan Selangor menyerbu klinik terbabit pada pukul 6.30 pagi ini.Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Farmasi Selangor, Mohd. Zahariman Harun memberitahu, empat pegawainya menyamar sebagai pelanggan di klinik itu bagi mengesahkan berlaku kegiatan penjualan ubat psikotropik secara haram di premis tersebut.

"Hasil penyamaran, sesiapa sahaja dengan mudah boleh membeli ubat psikotropik di kaunter tanpa perlu menyertakan surat pengesahan doktor dengan harga RM7 untuk satu tablet. "Penjualan ubat itu hanya dilakukan awal pagi iaitu mulai pukul 6 hingga 7 pagi dan bagi mengelak daripada terbongkar, pelanggan perlu menyebut perkataan 'maruku' sebagai kata laluan untuk berurusan dan menunjukkan mereka pelanggan tetap," katanya ketika ditemui di tempat serbuan hari ini.

Mohd. Zahariman berkata, selain menjual ubat psikotropik tanpa kawalan, doktor berkenaan turut dikesan menjual sijil cuti sakit palsu apabila menemui sejumlah buku sijil cuti sakit yang sudah dikeluarkan.Dengan penjualan sijil cuti sakit palsu itu, doktor itu mampu mengaut keuntungan lumayan kerana bayaran dikenakan antara RM10 hingga RM25.Dalam serbuan itu, kata beliau, pihaknya merampas pelbagai jenis dokumen, enam jenis ubat psikotropik yang tidak didaftarkan dengan KKM seperti 'Midazolam' dan 'Triazolam' bagi pesakit insomia serta 'Alprazolam' dan 'Diazepam' bagi penghidap 'anxiety' bernilai kira-kira RM7,000.
"Doktor terbabit kini disiasat di bawah Peraturan Bahan Psikotropik 1987, Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952," ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.