Pesara tentera
'disimpan' lima jam
Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan TAJUL SAFUAN ABU
HASSAN
berita@kosmo.com.my
berita@kosmo.com.my
FATIMAH (tengah) bersama dua
anak perempuannya melihat sijil kematian Othman yang didakwa akibat dipatuk
ular tedung.
KUALA KANGSAR - "Kalau
sudah tahu tiada vaksin untuk ular tedung selar, mengapa suami saya 'disimpan'
di wad hampir lima jam. Lebih memeranjatkan, seorang doktor pula ketika mahu
memindahkan Allahyarham ke Hospital Taiping (HT), mengaku hospital itu
sememangnya tidak ada penawar."Demikian cerita seorang suri rumah, Fatimah
Itam Sabki, 50, yang mendakwa kakitangan Hospital Kuala Kangsar (HKK) di sini
cuai kerana hanya 'membiarkan' suaminya, Othman Basir Bani, 51, menderita
kesakitan hingga akhirnya meninggal dunia akibat patukan ular tedung selar tiga
hari lalu.
|
Fatimah mendakwa, beliau terkejut
besar sejurus mendengar 'pengakuan' doktor terbabit lebih-lebih lagi selepas
mendapati sepanjang suaminya dirawat, hanya ubat tahan sakit diberikan oleh
kakitangan HKK."Sampai sahaja di HT, ada doktor dan kakitangan hospital
berkenaan yang bertanya saya mengapa tidak disegerakan penghantaran suami lebih
awal kerana menurut mereka, arwah suami boleh diselamatkan sekiranya dirawat di
situ."Jadi, saya dan keluarga sehingga kini tidak berpuas hati dan mengapa
kakitangan khususnya doktor di HKK sememangnya sudah tahu mereka tidak
keupayaan untuk merawat, tetapi 'membiarkan' sahaja?
"Adakah kerana doktor
terbabit tidak tahu prosedur atau nilai nyawa suami saya tidak penting kepada
mereka?," katanya kepada KOSMO! di rumahnya di Kampung Ribu Hilir
di sini semalam.Jelasnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30
pagi pada 31 Januari lalu itu, ular berbisa sebesar lengan lelaki dewasa itu
telah mematuk bahagian bawah paha kiri pesara tentera itu sewaktu menebas
rumput di kebun getah yang terletak lebih dua kilometer dari
rumahnya."Bayangkan suami yang menahan kesakitan memandu memecut sendirian
ke HKK kira-kira pukul 12.30 tengah hari untuk selamatkan diri, namun nampaknya
kakitangan hospital pula langsung tidak 'membantu' untuk menyelamatkannya.
"Bayangkan, sepanjang
dirawat di wad kecemasan, pahanya cuma diikat menggunakan sarung tangan getah
dan hanya diberi ubat tahan sakit, itupun selepas didesak oleh bapa saudara
yang menemani ketika itu," ceritanya lagi.Namun, kira-kira pukul 4 petang
keadaan suaminya mula semakin kritikal dan dakwanya, ketika itulah doktor
'bersetuju' memindahkannya ke HT."Lebih memeranjatkan, pihak HT juga
sangat hairan kenapa HKK begitu lambat mengambil tindakan. Selepas dirawat di
Unit Rawatan Rapi (ICU) HT, suami akhirnya meninggal dunia pada 1.51 pagi Sabtu
lalu," katanya kesal. Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, Wahid Md.
Yusuf, 59, berkata, beliau dan ahli keluarga lain bercadang untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap kakitangan HKK terlibat jika terbukti mereka
cuai dalam menangani kes Othman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.